18 Oktober 2024, 14:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Langkah atau pendekatan mengadaptasi karya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke skrin adalah selaras dengan perkembangan wahana penerbitan masa kini selain memberi impak kepada banyak pihak.

Sehubungan itu, DBP merancang bagi mempromosi atau menjual perdagangan hak cipta menerusi kaedah adaptasi dengan menggalakkan industri berkenaan membantu untuk melaksanakan kerja berkaitan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami Jahari berkata, DBP menyedari bagi melaksanakan kerja berkenaan bukan perkara mudah, sebaliknya memerlukan kos serta kepakaran khusus.

“Jadi, sebab itu dengan adanya penyelidikan ini akan memberi dapatan yang boleh kami jadikan landasan untuk bergerak pantas ke hadapan, bagaimana bidang pengadaptasian ini boleh memberi atau menjana pendapatan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Bengkel Pembentangan Dapatan Kajian Impak Adaptasi Karya Sastera DBP ke Skrin yang berlangsung di Dewan Dato’ Abdul Rahim Abu Bakar, Menara DBP.

Panel terlibat ialah pensyarah Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Rosmawati Mohamad Rasit, Profesor Dr. Salasiah Hanin Hamjah dan Timbalan Pengarah Pembangunan Kerjaya Pelajar UKM, Dr. Wardah Mustafa Din.

Menurut Hazami, selain memastikan karya-karya terbaik terbitan DBP ditonton dalam bentuk yang lebih baik, kaedah pengadaptasian mampu meningkat daya saing pasaran kemasukan filem dari negara luar.

“Jika terlaksananya kaedah pengadaptasian ini, novel misalnya ke layar, bukan DBP sahaja yang mendapat keuntungan. Pengarah, penerbit, pemain industri drama, dan barangkali stesen TV kita (mendapat habuan).

“Itu penyelesaian dari segi perdagangan. Dan kita lihat jauh lebih daripada itu ialah kita hendak juga pastikan karya-karya terbaik itu dibaca atau ditonton dalam bentuk yang lebih menarik,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, DBP akan mengusulkan usaha ini kepada pihak kerajaan bagi memohon dana khas dalam usaha merealisasikan kerja pengadaptasian tersebut.

Tambah beliau, jika pembentangan tersebut mempunyai asas dapatan yang kukuh, hal ini boleh dijadikan sebagai nota jemaah menteri mengenai industri kreatif dalam konteks mengadaptasikan karya terbaik sebagai satu program besar kerajaan.

“Cuma kita perlu meningkatkan kepakaran bagaimana kita boleh membentuk genre baharu adaptasi ini untuk membantu mereka yang berminat memindahkan daripada novel ke filem atau drama, sekali gus memberi impak kepada pembinaan negara bangsa menerusi karya terbaik,” jelasnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.