Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Drama rantaian adaptasi novel 13 episod, Ayahanda, memperoleh penontonan tertinggi, iaitu sebanyak 61.1 peratus semasa ditayangkan menerusi slot Lestary TV3 dari 10 Julai hingga 31 Julai 2021, pukul 9.00 malam.
Penonton paling ramai Ayahanda yang diadaptasi daripada novel berjudul serupa, karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah ini adalah daripada kelompok Gen Z, iaitu kumpulan penonton yang berumur 12 hingga 29 tahun.
Hal tersebut didedahkan oleh Profesor Dr. Salasiah Hanin Hamjah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semasa menjadi panel pertama Bengkel Pembentangan Dapatan Kajian Impak Adaptasi Karya Sastera DBP ke Skrin, pagi semalam di Dewan Dato’ Abdul Rahim Abu Bakar, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Program tersebut menumpukan impak tontonan dan cita rasa khalayak penonton adaptasi novel, cerpen atau sajak terbitan DBP yang disiarkan dalam format drama rantaian atau telefilem di televisyen.
Jelas Profesor Dr. Salasiah, penyelidikan tersebut dijalankan oleh UKM bersama-sama DBP, melibatkan 162 orang responden, merangkumi 42.6 peratus lelaki dan 57.4 peratus wanita.
“Kajian dibuat mengikut kemampuan dana untuk pengkaji mencari individu yang pernah menonton antara 12 buah drama adaptasi karya DBP, atau sekurang-kurangnya sebuah sahaja, menerusi borang soal selidik fizikal dan dalam talian,” ujar beliau.
Ayahanda diarahkan oleh Dato’ Ahmad Tamimi Siregar hasil lakon layar tulisan Maizura Ederis dan Wan Mahani Wan Hassan, menampilkan pelakon A. Jalil Hamid, Fauziah Dato’ Ahmad Daud, Fikry Ibrahim, Hairi Safwan, Shah Jaszle, Noorkhiriah, Mimi Ernida, Rita Nadira, dan Dato’ Ahmad Tamimi sendiri.
Drama rantaian kedua paling ramai ditonton ialah Korban Kasih (slot Widuri TV1 dari 24 April hingga 23 Mei 2020) yang disiarkan sebanyak 30 episod.
Drama ini diadaptasi daripada novel berjudul serupa, karya Fatimah Saidin, hasil skrip Farhana Fauri, arahan Mohd. Fazli Yahya.
Berikutnya, diikuti oleh drama rantaian Korban Kasih 2, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, dan Kemboja di Hati, yang skripnya ditulis oleh Maizura Ederis, selaku moderator bengkel berkenaan.
Dr. Salasiah dalam perbicaraannya menyimpulkan bahawa DBP hanya mencapai kejayaan sederhana, kerana hanya dua buah drama rantaian yang paling diminati masyarakat, selain menyatakan rakyat Malaysia tidak banyak membaca, iaitu kurang daripada tiga jam seminggu dan hanya 20 buku setahun, walaupun jumlah ini meningkat.
Dalam hal kejayaan Ayahanda dan Korban Kasih, beliau memberitahu bahawa kajian mendapati, kedua-dua drama tersebut menghiburkan dari aspek kekeluargaan dan memenuhi perasaan penonton Gen Z.
Penonton Gen Z mula mencari cinta dan pasangan hidup, serta ada yang menghadapi krisis jurang generasi, yang menyebabkan kumpulan ini boleh belajar menangani masalah perbezaan generasi melalui tontonan drama sebegini.
Kajian turut mendapati terdapat tema percintaan, kekeluargaan, pelakon yang diminati, dan pengaruh media yang menyebabkan mereka menonton drama bersiri tersebut.
“Ayahanda misalnya, ditonton ramai, termasuk daripada kalangan anak muda atau remaja yang terpaksa berkurung di rumah kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat wabak pandemik maut COVID-19.
“Terpaksa atau tidak, mereka turut menontonnya bersama-sama orang tua dan adik-beradik,” jelas Salasiah, yang turut menyarankan agar DBP memanfaatkan media sosial seperti TikTok untuk mempromosi drama adaptasi karyanya.
Faktor pengarah dan pelakon berwibawa juga menarik minat penonton, seperti Jalil Hamid, Fauziah Ahmad Daud dan Ahmad Tamimi.
Korban Kasih pula dibintangi oleh aktor kacak Saharul Ridzwan serta aktres terkenal Zara Zya, Ummi Nazeera dan Dynas Mokhtar.
Panel kedua, Profesor Madya Dr. Rosmawati Mohamad Rasit menjelaskan bahawa kajian menghadapi masalah getir ketika COVID-19 sehingga terpaksa menggunakan borang dalam talian.
Menurut beliau, sambutan terhadap drama adaptasi karya DBP disebabkan oleh beberapa faktor utama, termasuk jalan cerita karya, sokongan sosial dan pendedahan media.
“Dari segi karya, jalan cerita yang menarik menjadi pilihan utama, karya adaptasi DBP menjadi pilihan dalam hal ini.
“Selain itu, ulasan yang baik seperti dalam Facebook dan mengekalkan budaya setempat,” jelas Dr. Rosmawati.
Rosmawati turut menyentuh soal impak yang pada mulanya dibimbanginya tiada. Sebagaimana Salasiah, beliau turut memberitahu tahap tersebut hanya sederhana.
“Ada tiga jenis impak adaptasi, iaitu kognitif, afektif dan tingkah laku. Impak kognitif dan afektif paling banyak. Impak tingkah laku pula sebaliknya kerana menonton drama adaptasi karya DBP,” jelas Rosmawati.
Impak kognitif, tambah beliau, melibatkan akal, pemahaman, ilmu, dan pandangan penonton. Afektif pula banyak bermain dengan perasaan yang lazim terdapat dalam drama Melayu, sementara tingkah laku melibatkan perubahan nilai sosial hasil menonton drama luar negara, seperti Korea Selatan.
“Tahap impak adaptasi paling banyak ialah sederhana, iaitu 64.2 peratus.
“Pengadaptasian ini boleh menjadi peluang perniagaan baharu untuk DBP yang walaupun usaha ini bukan bermatlamatkan keuntungan,” jelas beliau.
Panel terakhir, Dr. Wardah Mustafa Din menyatakan, sepanjang kajian dijalankan, penonton Gen Z yang paling cepat menjawab soalan kajian kerana mereka lebih mesra teknologi maklumat
“Generasi Baby Boomers paling lambat menjawab kerana kesibukan pelbagai urusan, termasuk yang hakiki,” jelas Wardah.
Beliau menyatakan hipotesisnya bahawa masih ramai Gen Y dan Gen X menonton TV1 daripada Gen Z yang lebih meminati TV3.
“Bantuan promosi menerusi pempengaruh di TikTok misalnya memang dapat membantu (mempromosi karya adaptasi).
“Penyelidikan lanjutan juga penting sebagai maklumat kepada pihak industri, misalnya dalam hal penetapan waktu siaran dan pemilihan pelakon,” tegas Wardah.
Bengkel selama tiga jam ini turut dihadiri oleh Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP; Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Sastera dan Penyelidikan DBP; Encik Saifulizan Yahya, Ketua Bahagian Sastera dan Penyelidikan DBP, Mior Hashim Manap, pengarah filem Imam; A. Wahab Hamzah; Zakaria Ariffin; serta Dato’ Ahmad Tamimi.