Diterbitkan pada 10 Julai 2025, 22:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Penilaian karya bagi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 bagi setiap kategori dinilai berdasarkan kriteria-kriteria tertentu, tanpa berlaku sebarang perubahan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Menurut wakil panel penilai, Prof. Dr. Abdul Halim Ali, setiap penyertaan telah melalui proses penapisan dan fasa-fasa tertentu secara telus bagi memastikan hanya karya-karya terbaik yang dipilih untuk menerima pengiktirafan.

“Secara umumnya, para penulis yang menghantar penyertaan bagi HSPM telah melepasi tahap penilaian awal.

“Namun, untuk memilih yang terbaik antara yang baik, kami menilai karya-karya ini berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan,” katanya ketika sesi Canai Bahasa dan Sastera: Ada Apa dengan Hadiah Sastera Perdana Malaysia? yang berlangsung di Hotel Zenith petang tadi.

Sementara itu, wakil panel penilai kedua, Dr. Norhayati Ab. Rahim memaklumkan bahawa walaupun jumlah keseluruhan penyertaan yang diterima mencecah lebih 3,000 karya, terdapat kategori yang masih menerima bilangan penyertaan yang amat rendah.

“Malangnya, penyertaan bagi kategori buku deskriptif atau ilmiah tidak mencapai 10 penyertaan.

“Bagi kategori esei dan kritikan (makalah ilmiah), hanya menerima 13 penyertaan, manakala esei kritikan (separa ilmiah) pula sebanyak 17 penyertaan sahaja.

“Persoalannya, ke manakah arah tuju penulisan ilmiah? Majoriti karya ilmiah dihasilkan oleh para sarjana, namun orientasi universiti masa kini lebih memberikan keutamaan kepada penerbitan jurnal berimpak antarabangsa dan mengabaikan penghasilan buku ilmiah dalam bahasa Melayu,” tegas beliau.

Dr. Norhayati turut menegaskan bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kekal sebagai satu-satunya institusi yang terus memberikan ruang dan peluang besar kepada para sarjana untuk menghasilkan makalah ilmiah dan separa ilmiah, termasuk menerusi penerbitan dalam Dewan Sastera.

HSPM anjuran DBP merupakan platform pengiktirafan tertinggi bagi karya sastera kebangsaan yang diterbitkan di media tempatan.

HSPM menilai karya dalam pelbagai kategori, termasuklah cerpen, puisi, drama,  novel, esei/kritikan, kajian, autobiografi, serta penulisan remaja dan kanak-kanak.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi