Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFauzi Naeim membincangkan hal ilmu dan kaitannya dengan kuasa menurut pemikiran Friedrich Nietzsche.
Manusia mengambil peduli dan tidak peduli terhadap sesuatu perkara kerana hubungannya dengan kepentingan manusia.
Ilmu dilihat oleh Friedrich Nietzsche sebagai salah satu nilai kuasa. Dalam The Will to Power, beliau menyebut, “Ilmu bergerak sebagai peralatan yang berkuasa, maka ia mudah didapati malah bertambah bagi setiap penambahan kuasa.”

Maksud “ilmu” di sini, sama seperti “kebaikan” dan “kecantikan”. Konsep ini mesti dilihat dalam satu antroposentrik dan keadaan biologikal yang lurus dan nipis. “Untuk suatu spesies mempertahankan dirinya dan menambahkan kuasanya, pengamatannya terhadap realiti mestilah memahami secukupnya pengiraan dan penerusan untuk ia mengasaskan satu skema tingkah laku terhadapnya.”[i]
Hal yang dimaksudkan oleh Nietzsche di sini ialah, nilai-nilai yang sedia ada seperti “kecantikan” dan “kebaikan” bukanlah sesuatu yang datang daripada luar manusia, tetapi terhasil daripada kuasa dalam keinginan kita sendiri.
“Nilai baik,” menurut Nietzsche, “ialah penyalahfahaman terbesar kita.”[ii] Penambahan dan pemerosotan nilai adalah seiring dengan kekuatan dan kelemahan keinginan kita. Ayam goreng KFC menjadi enak bukan sahaja kerana bahan rempah atau ayam tersebut, tetapi sejauh mana seseorang itu benar-benar inginkan ayam tersebut. Keinginan ialah apa-apa yang meningkatkan prestasi kelazatan ayam goreng. Setiap manusia yang dianggap sebagai ilmuwan – profesor, doktor, jurutera, dan ulama – ialah nilai yang manusia sama lampiaskan kepada jawatan yang dipegang oleh orang-orang yang berilmu ini.
Sama seperti kuasa, ilmu ialah relatif. Ilmu amat kontekstual. Kepentingannya bergantung pada penggunanya dan bagaimana ilmu itu digunakan dalam sesuatu masa dan keadaan. Dalam The Gay Science, Nietzsche mengusik: “(Terdapat) Keterhadan deria (dalam) pendengaran kita. Seseorang hanya mendengar soalan kepada mana dia boleh mendapatkan jawapan.”[iii]
Di sini, para pembaca dapat melihat psikologi manusia yang berfikir dan bergerak secara selektif. Manusia mengambil peduli dan tidak peduli terhadap sesuatu perkara kerana hubungannya dengan kepentingan manusia. Ilmu ialah apa-apa yang boleh digunakan, sebagai satu benda yang berfungsi. Barangkali hal ini juga sebabnya mengapa di universiti Malaysia, tiada fakulti dalam falsafah – kerana keinginan berkuasa yang menarah manusia menyebabkan manusia ini bertanya, “Apa gunanya falsafah sebagai ijazah?”
Nietzsche menulis lagi: “Makanya, kekuatan ilmu tidak bergantung atas darjah kebenarannya tetapi atas zamannya – atas darjah kepada mana ia telah digabungkan, atas sifatnya sebagai pembentukan kehidupan”[iv] Ilmu juga tiada kaitan terhadap kebenaran. Nietzsche amat pantang kalau ada orang mendakwa yang orang itu membawa kebenaran hanya kerana mempunyai kelebihan ilmu. Hal ini kerana, apa-apa yang akan berlaku – dan telah berlaku sepanjang zaman – ialah orang yang berilmu tersebut akan menggunakan posisinya sebagai ilmuwan untuk menaikkan statusnya dalam masyarakat untuk mengawal masyarakat, dan lantas menentukan kebenaran.
Baginya, tiada kebenaran mutlak di dalam dunia; yang ada cumalah siri-siri kesilapan. “Kita menubuhkan satu ayat pada satu tempat apabila kejahilan kita bermula, apabila kita tidak boleh melihat lebih lagi, sebagai contoh, perkataan ‘saya’, perkataan ‘buat’, perkataan ‘derita’: – kesemua ini mungkin kaki langit pengetahuan kita, tetapi bukannya ‘kebenaran.’”[v]
Saya petik beberapa ayat Nietzsche tentang “keinginan” dalam bahasa Melayu, yang mungkin dapat menambah seri nihilisme makalah ini.
“Berkeinginan bukannya berkehendak, berusaha, mendesak: ia dibezakan daripada kesemua ini dengan keadaan memerintahkan. Tidak ada perkara seperti ‘berkeinginan’, cuma ‘berkeinginan sesuatu’: seseorang tidak boleh membuang matlamat daripada keseluruhan keadaan – seperti yang para epistemologis lakukan.”[vi]
“‘Berkeinginan’: bermaksud berkeinginan satu pengakhiran. ‘Satu pengakhiran’ termasuklah satu penilaian. Dari mana datangnya penilaian? Adakah asasnya satu norma yang tegas, ‘menyelesakan’ atau ‘mengazabkan’? Kita telah melabur pada benda-benda dengan pengakhiran dan nilai: … (makanya, tiada yang berharga secara ‘sendirinya’).”[vii]
Selagi mana wacana kemanusiaan kekal di muka bumi, selagi itulah tiada benda yang betul-betul neutral. hal ini kerana, nilai ialah apa-apa yang ditafsirkan oleh manusia kepada benda, sehingga lahirnya sifat manusiawi di dalam benda, sebagai benda.
Kita boleh perhatikan kartun Doraemon atau para Dewa dalam karya Homer seperti Zeus dan Apollo. Rekaan muka Doraemon asalnya kucing, tetapi dimasukkan elemen manusia seperti boleh berdiri dan bercakap, dan kemudiannya ditambahkan lagi sifatnya sebagai robot yang datang dari zaman akan datang. Para Dewa Greek seperti Zeus dan Apollo mempunyai bentuk dan sifat seperti manusia, mempunyai perasaan marah dan gembira seperti manusia.

Kayu-kayan ditebang, supaya boleh dibentuk daripadanya, cebisan yang boleh diduduk, dan digelarkannya sebagai “kerusi” dan menjadi tempat istirehat manusia seharian. Mencipta ialah salah satu proses pemindahan kuasa daripada satu zat kepada satu zat yang lain. Membentuk sesuatu daripada permukaan atau bahan lain amat memuaskan semangat kreatif diri manusia, yakni penerusan kuasa oleh tukang masak, arkitek dan ahli kimia.
Manusia yang berkuasa akan terus-menerus cuba mengekalkan kekuasaan mereka. Namun usia dan kesihatan sentiasa menghalang penerusan penguasaan ini. Menyedari perkara ini, orang yang berkuasa akan cuba menyalurkan kekuasaan mereka kepada orang yang terdekat, yang mereka sayangi, seperti anak-anak dan ahli keluarga. Seorang pendekar akan cuba memindahkan pengetahuan silatnya kepada anak muridnya sebelum dia mati, manakala seorang raja akan menyalurkan pangkatnya kepada anaknya apabila dia sudah gering.
Di sini, kita dapat lihat bagaimana kuasa boleh diselarikan dengan perasaan kekaguman. Ada kekaguman pada persilatan pendekar tersebut, yang menyebabkan penguasaan silatnya memberikannya satu status yang tinggi dalam masyarakatnya. Raja yang berkuasa memberikan aura kekaguman kepada rakyat di bawahnya. Søren Kierkegaard, yang juga salah seorang pemikir eksistensialis tersohor selain Nietzsche, menulis: “Sudah menjadi satu kebenaran asas tentang sifat manusia bahawa manusia itu tidak mampu untuk kekal di atas, (dan) untuk terus-menerus mengagumi sesuatu.”[viii]
Manusia yang berkuasa akan terus-menerus cuba mengekalkan kekuasaan mereka.
Bagaimana pula pendapat Nietzsche terhadap hubungan kecantikan dengan metafizik kuasa? Kecantikan dan kehodohan juga membantu dalam menaikkan atau mengurangkan keinginan berkuasa.
Akan tetapi, pada masa yang sama, keinginan berkuasa juga menyebabkan sesuatu menjadi cantik, hodoh atau kedua-duanya serentak. Memetik beberapa kata-kata Nietzsche: “Apabila seseorang itu murung, dia sedang menghidu kehampiran sesuatu yang hodoh.”[ix]
“Ramai orang memikirkan bahawa dunia ini melimpah dengan kecantikan, – mereka lupa bahawa mereka sendiri ialah penyebabnya.”[x]
Kecantikan bermula daripada dalaman. Pemula dalaman ini ialah roh manusia yang mempunyai kuasa untuk memberi nilai. Dalam perenggan lain, Nietzsche melihat kecantikan sebagai hal yang mencapai ke arah kesempurnaan. “Dalam kecantikan, manusia meletakkan diri mereka sebagai pengukur bagi kesempurnaan; dalam kes-kes tertentu, mereka menyembah diri mereka di dalamnya.”[xi]
Hal ini amat ironik sekali. Setelah mereka cipta sesuatu kepada kecantikan, manusia pula menyembah rekaan mereka. Apa yang disembah bukanlah bentuk dan bahan rekaan tersebut, tetapi nilai yang telah mereka letakkan dan satukan ke dalam rekaan tersebut.
Catan Mona Lisa oleh Leonardo da Vinci yang terkenal ialah lukisan potret wanita, tetapi diangkat tinggi bukan kerana kepotretan wanita tersebut, tetapi kerana nilai yang diletakkan oleh manusia terhadap catan tersebut – kecantikan, keaslian, keluarbiasaan, rebutan, dan sebagainya. Hanya kerana adanya lahiriah “keinginan berkuasa”, maka nilai seperti “cantik”, “baik” dan “sempurna” dapat digerakkan, dan bukanlah sebaliknya.
“Manusia dalam keadaan sebegini menukarkan benda sehingga benda ini mencerminkan kuasanya – sehinggalah benda ini ialah pantulan bagi kesempurnaannya. Dorongan untuk menukarkan kepada yang sempurna ialah – seni.” [xii] Dalam istilah lain, manusia ialah golongan narsisistik, perasaan suka kepada diri sendiri. Menggemarkan kesempurnaan objek yang berada di persepsi ialah sifat suka kepada kehebatan diri.
Berlawanan dengan keinginan berkuasa ialah keinginan bersimpati. Simpati juga dianggap sebagai satu bentuk penguasaan, tetapi gayanya datang dalam keadaan melemahkan roh. Nietzsche memang pantang dengan perkataan ‘simpati’. Bersimpati, baginya, ialah perkara yang merugikan. Sebagai contoh, agama Kristian dianggapnya sebagai agama belas kasihan, agama yang terlalu bersimpati. Sambungnya lagi: “Simpati, ialah lawan bagi pengaruh tonik yang menaikkan tenaga bagi perasaan penting: simpati mempunyai kesan masyghul. Kau hilang tenaga apabila bersimpati.”[xiii]
Hero Nietzsche sepanjang zaman, Zarathustra, bersungguh-sungguh mengajak pembacanya supaya mengekang perasaan belas kasihan kerana baginya, perasaan ini akan memudaratkan kuasa manusia, mereka yang mempunyai kekentalan azam! Apabila bersimpati terlalu banyak, akan ada orang lain yang mengambil kesempatan terhadap si pembelas kasih itu, sehingga menunduknya dan memijaknya ke tanah.

Perlu diingatkan kepada para pembaca budiman bahawa apabila Nietzsche berpendapat bahawa metafizik dalaman manusia ialah keinginan berkuasa, tidaklah pula hal itu menjadi satu falsafah yang negatif atau positif. Hal ini cuma amatan bagi Nietzsche, walaupun istilah “berkuasa” sering kali disama-ertikan dengan “merajai” atau ‘“menekan” sesuatu atau seseorang.
Keinginan berkuasa juga berlaku kepada para pelajar yang bekerja keras membaca buku dan menghafal teori untuk berjaya dalam subjek Fizik supaya mendapat markah cemerlang dalam keputusan peperiksaan SPM, dan seterusnya boleh bersaing mendapat tempat di universiti pilihan. Tanpa perasaan untuk menguasai, tidak mampu seseorang pelajar berupaya membaca Bahasa Arab supaya membolehnya menghafal Al-Quran. Kata-kata Zarathustra amat menarik untuk diputarkan di sini: “Aku beritahu kau: seseorang mesti ada huru-hara dalam dirinya, untuk melahirkan bintang yang menari.”[xiv] Dalam maksud yang lain, berdispilin untuk berada di garisan yang lurus tidak cukup ampuh untuk menjadikan empunya manusia yang hebat; mesti ada kontra dalam diri, mesti juga ada semangat berlawanan dalam diri, barulah berat kuasa dapat bersinar secara dinamiknya.
Dalam aphorisme terakhir The Will to Power, Nietzsche mengujarkan: “Dunia ini ialah keinginan berkuasa – dan tiada selainnya! Dan kau sendirinya adalah sama keinginan berkuasa – dan tiada selainnya!”[xv]
Gegaran “keinginan berkuasa” ini amat besar lagi berpengaruh sepanjang sejarah kewujudan manusia di bumi ini, tetapi ia tidak berbentuk; ia memerlukan benda untuk memanifestasikannya dan ia suatu yang menyebabkan benda mempunyai nilai. Ia jugalah yang memberikan nafas kepada wujudiah manusia.
Berfalsafah, seperti telah disebut awal-awal tadi, ialah kekuatan dan keberanian untuk bertanya pada nilai dalaman manusia. Kegagalan bertanya dengan baik, dengan bersungguh-sungguh, akan akhirnya memberikan malapetaka akhlak kepada kehidupan di duniawi.
Tidak berhenti-henti Nietzsche bertanya, dan tidak terhenti-henti juga Nietzsche memberikan provokasi kepada nasib seorang insan yang mempunyai daya untuk berfikir melebihi daripada jasadnya. Kita akhiri tulisan ini dengan petikan daripada Nietzsche dalam suratnya kepada adiknya, bertarikh 11 Jun 1865: “Di sini cara manusia berpisah: sekiranya engkau berhajat untuk berusaha pada keamanan jiwa dan keseronokan, maka percayalah; sekiranya engkau berhajat untuk menjadi peminat pada kebenaran, maka bertanyalah.”[xvi]
[i] WP, §. 480.
[ii] WP, §. 54.
[iii] GS, §. 196.
[iv] GS, §. 110.
[v] WP, §. 482.
[vi] WP, §. 668.
[vii] WP, §. 260.
[viii] Søren Kierkegaard, The Present Age, terjemahan oleh Alexander Dru dan pengenalan oleh Walter Kaufmann (New York: Harper & Row, 1962:49). Saya menambah ‘dan’ untuk melancarkan ayat.
[ix] Nietzsche, 2005b, 202.
[x] Nietzsche, 2005b, 201.
[xi] Nietzsche, 2005b, 201.
[xii] Nietzsche, 2005b, 196.
[xiii] Nietzsche, 2005b, 6.
[xiv] Nietzsche, 2005a, 9.
[xv] WP, §. 1067.
[xvi] Kaufmann, 1974, 21.
_________________________
Dr. Fauzi Naeim merupakan pensyarah kanan di Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Information Technology. Sekarang, beliau asyik dengan pembacaan manga.