Diterbitkan pada 26 Mei 2025, 23:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Transliterasi naskhah kesusasteraan Melayu lama bukan tugas mudah,” ujar YBrs. Puan Fathenwan Wan Mohd Nor, editor buku Siri Warisan Sastera Klasik Hikayat Ular Nangkawang, dalam sesi Sembang Buku pada petang tadi bersempena dengan pelancaran buku audio karya klasik tersebut oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Menurut beliau, kesukaran utama dalam transliterasi adalah untuk menganalisis dan mengenal pasti bentuk penulisan asal kerana tidak semua penulis hikayat menggunakan gaya penulisan yang sama.

“Ada (tulisan) yang jelas, ada yang kurang jelas dan ada yang langsung tidak boleh dibaca,” katanya.

Fathenwan turut menerangkan bahawa proses ini memerlukan pendekatan filologi, iaitu kajian terhadap manuskrip bertulis tangan Melayu lama. Kajian ini meliputi aspek fizikal manuskrip seperti asal usul, bilangan baris, warna dakwat (makna di sebalik penggunaan dakwat merah dan biru), serta makna garisan-garisan yang digunakan. 

“Di dalamnya (karya kesusasteraan Melayu lama), ada hasil karya, budaya dan kearifan tempatan yang perlu diselongkar dan perlu dipastikan kebenarannya dari segi deskripsi naskhah, yang juga dikenali sebagai asal usul, latar belakang atau ‘surat beranak’ naskhah bagi menentukan ketulenan bentuk ceritanya dan (ketepatan) maknanya. 

“Dari segi tulisan tangan pula, karya Hikayat Ular Nangkawang dikenal pasti ditulis oleh seorang penulis sahaja, berdasarkan konsistensi tulisan al-Fatihah pada awal muka surat hingga ke penutupnya,” tambahnya.

Editor buku Siri Warisan Sastera Klasik Hikayat Ular Nangkawang, Fathenwan Wan Mohd Nor berkongsi tentang proses kreatif penerbitan buku tersebut oleh Bahagian Penyelidikan Sastera.

Disusun dalam format audio yang lebih segar dan terangkum, buku audio Hikayat Ular Nangkawang mengangkat tema fitnah dan pemikiran tentang nilai moral serta budi.

Buku audio ini merupakan hasil kerjasama antara Bahagian Multimedia dengan Bahagian Penyelidikan Sastera DBP sebagai sebahagian daripada usaha memartabatkan sastera klasik Melayu dalam medium moden.

Fathenwan menjelaskan bahawa Hikayat Ular Nangkawang juga menampilkan semua elemen cerita lipur lara: watak putera-putera raja, bahasa klasik istana, latar istana dan alam ghaib, unsur syair, plot peperangan, serta binatang yang boleh bercakap.

“Ceritanya (seperti lipur lara) berakhir dengan kegembiraan, menjadikannya sebuah karya tradisional yang kekal relevan, sarat dengan pengajaran dan menghiburkan.”

Menurut moderator sesi Sembang Buku, YBrs. Encik Rusdi Abd Rahman, rakaman dan penyuntingan buku audio ini dilakukan sepanjang bulan Februari dan Mac lalu oleh 19 pegawai DBP berbakat dalam lakonan suara dan penyuntingan multimedia.

Buku audio ini telah mula dijual sejak bulan April, walaupun pelancarannya secara rasmi diadakan hari ini.

Empat episod Hikayat Ular Nangkawang yang dilancarkan termasuklah “Sakit Itu Sementara (episod satu), “Muslihat Puteri Keenam: Dendam di Sebalik Senyuman(episod dua), “Pertemuan, Persengketaan dan Pertarungan” (episod tiga), dan “Air Mata di Awan, Kembali ke Pangkuan (episod empat).

Manuskrip asal hikayat ini berasal daripada koleksi John Leyden dan diperoleh daripada India Office Library pada tahun 1824.

Kini, manuskrip ini disimpan dalam bentuk digital di British Library dengan kod rujukan Mss Malay A.1 dan Add. 12382.

Manuskrip ini merupakan salah satu naskhah yang dikenal pasti ditulis dengan menggunakan kertas Cina, bahan yang jarang-jarang digunakan dalam manuskrip Melayu lama.

Sebagai rekod, inisiatif buku audio ini selari dengan usaha DBP untuk memperluas capaian pada karya sastera Melayu klasik, termasuk untuk golongan berkeperluan khas dan mereka yang lebih selesa menghayati karya dalam bentuk audio.

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi