Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 7 Mei 2025, 16:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Pengelola Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan mengatakan bahawa Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari ialah seorang sasterawan yang mampu menyelami rasa dan menyulam kata-katanya dengan gaya bahasa yang menarik dan puitis.

“Puisi yang berunsurkan irama indah juga merupakan elemen kegemarannya.”

Anwar Ridhwan berucap sebagai mewakili ucapan perasmian Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Puan Fadhlina Sidek dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari: Anjakan Makna Memaknai Diri di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, pagi tadi.

Selain itu, beliau turut mengulas lanjut bahawa Dato’ Rahman Shaari mempunyai ketelitian tinggi dalam gaya bahasa puisinya untuk menyelami perasaan kolektif bagi mengungkapkan pelbagai persoalan masyarakat, sosiobudaya dan kehidupan.

“Rahman Shaari juga mempunyai kepintaran menyeimbangkan karyanya, antara emosi dengan intelektual dan juga seiring dengan bakat seninya yang meliputi beberapa dimensi yang ditekuninya, iaitu puisi, cerpen, novel, drama ,dan kritikan sastera,” ujar beliau.

Di samping itu, beliau menambah, “Saya melihat Rahman Shaari banyak memberikan sumbangan dalam bidang akademik yang luas melalui pendekatan Teori Anjakan Makna yang diperkenalkan oleh beliau, yang dapat diselami hasrat jiwa pendidiknya untuk mendidik anak-anak bangsa.”

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan yang mewakili YB Puan Fadhlina Sidek ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluannya berkata, Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari membuktikan bahawa wacana keilmuan itu penting kerana menjadi sumber untuk masyarakat meneliti pelbagai tahap pemikiran SN dalam penghasilan karya.

Pada masa yang sama, beliau juga berharap agar seminar ini dapat dibincangkan secara meluas supaya perbincangannya memberikan manfaat kepada karya yang dihasilkan, lantas hidup dalam kesedaran sekalian masyarakat.

Ketua Pengarah DBP YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaiikan ucapan alu-aluannya dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari.

Majlis turut diserikan dengan persembahan deklamasi Puisidra yang dipersembahkan oleh Kumpulan PENYAIR Malasysia dengan tiga buah himpunan sajak Rahman Shaari yang bertajuk Hamparan Kuning, Masa dan Bahasa.

Persembahan deklamasi Puisdra yang dipersembahkan oleh Kumpulan PENYAIR Malaysia dengan tiga buah himpunan sajak Dato’ Rahman Shaari yang bertajuk Hamparan Kuning, Masa dan Bahasa.

Turut hadir dalam majlis perasmian ini termasuklah YBhg. SN Dato’ Rahman Shaari, YBhg. SN Profesor Emeritus Dr. Muhamad Haji Salleh, YBhg. SN Datuk Dr. A. Samad Said, YBhg. SN Datuk Dr. Zurinah Hassan, serta Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa.

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi