Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRaja Yusoff Ariffin bertanya, wajarkah majlis sastera cuma disertai oleh penulis, penggiat dan peminat, atau dalam kata lain, “orang sastera” sahaja?
Pengalaman panjang saya dalam sastera mendapati bahawa tidak semua majlis sastera menarik dan mendapat sambutan hangat.
Persidangan, simposium, kolokium, forum, dan wacana yang membincangkan pelbagai isu berkaitan sastera (selain karya sastera) ialah majlis sastera. Begitu juga dengan program yang lebih santai seperti baca puisi (ada yang berpendapat lebih sesuai disebut sebagai persembahan puisi, yang turut merangkumi sajak, pantun, syair, gurindam, dan seloka), baca cerpen, serta sayembara deklamasi, tidak syak, ialah majlis sastera. Adakah sesiapa yang mahu menafikannya?
Mengikut logik, memang kesemua majlis sastera yang disebutkan tadi sesuai dan wajar disertai oleh para penulis, penggiat dan peminat sastera. Namun begitu, memang tidak semua (dapat atau mahu) yang menghadiri kerana hal ini bukan paksaan. Cuma dikesali, jika mereka yang berkenaan tidak mahu/tidak berminat untuk turut serta. Kalau “orang sastera” memandang sepi, apalah yang diharap pada yang bukan penulis, penggiat dan peminat sastera?
Walau bagaimanapun, situasi dalam hal ini bukanlah sekritikal persoalan akidah yang tiada kompromi atau tolak ansur. Majlis sastera tetap dibuka kepada semua. Tidak salah atau tidak pelik jika majlis sastera turut dihadiri oleh individu/pihak/golongan bidang lain, khususnya dalam bidang ekonomi, teknologi mahupun sains.
Bukan perkara asing lagi sekarang, kebanyakan majlis sastera sudah terbuka (dan membuka) atau tidak jumud. Hal ini secara tidak langsung disebabkan oleh semakin ramai individu yang berlainan bidang turut ikut serta, malah menjadi karyawan yang baik, dan turut merancakkan dunia sastera tanah air.
Antara mereka buat masa ini termasuklah Fahd Razy, seorang doktor perubatan yang menghasilkan Kota Subuh (2013), Melompat Keluar dari Mimpi (2015), Cinta Menyala di Constantinople (2016), dan Dongeng Kota (2023) – sekadar menyebut beberapa judulnya.
Jack Malik walaupun bekerja dalam bidang yang akrab dengan sastera (penerbitan) dan masih menganggap dirinya “orang luar”, juga segolongan dengan Fahd. Antara karyanya setakat ini termasuklah Wannabe Sasau (2019), Sajakjakka(c)k (2020) dan Gampang!
Walaupun telah lama menyepi, Dr. Rahmat Haroun telah menghasilkan banyak novel yang menarik perhatian, termasuk Di.Ar.Ti. pada tahun 1989, Manuklon dan Sentuhan Oedipus (1991), Hikayat Neogenesis (2005), dan Panggil Aku Melaju (2008).
Pengalaman panjang saya dalam sastera mendapati bahawa tidak semua majlis sastera menarik dan mendapat sambutan hangat. Namun begitu, programnya tetap diteruskan dari semasa ke semasa sebagai memenuhi tanggungjawab penganjur, selain memainkan peranan yang berkaitan. Ada juga yang mengatakan kalau tidak dianjurkan, pemberian bajet akan dihentikan.
Cuma, berdasarkan pemerhatian bertahun-tahun saya, terdapat beberapa perkara yang mengganggu, sama ada sedikit atau banyak, yang lama-kelamaan menjadi budaya dan klise negatif yang berulang.
Antaranya termasuklah jumlah ahli panel sesebuah sesi persidangan atau seminar yang agak ramai, sedangkan masa tidak banyak. Biasanya, hanya dua atau tiga hari sahaja.
Hal ini disesakkan lagi oleh pengenalan yang panjang lebar daripada pemudah cara. Ada pemudah cara menyebut “Tidak perlu diperkenalkan lagi …” tetapi pengenalan daripadanya untuk ahli panel tersohor itu tetap panjang. Mungkin ada yang mengatakan perkara ini sepele. Namun demikian, sepele apa jika rakan yang “orang sastera” di sebelah pun merungut.
Majlis baca puisi pula telah menjadi semacam majlis pertemuan rakan-rakan untuk berbual-bual, sambil menjamu selera dan merokok sahaja. Ketika penyair mendeklamasikan sajak atau berpantun-bersyair, sama ada dengan penuh perasaan atau bersahaja di pentas, hanya segelintir yang menonton/menghayatinya. Sebaliknya, banyak longgokan beberapa orang hadirin di sekitar majlis tidak pun mendengar dan melihat persembahan di pentas.
Jika “orang sastera” sendiri tidak atau kurang menghargai majlis sastera, jangan diharap bukan “orang sastera” untuk menghargainya.
Orang sastera tiada masalah untuk lebih hampir dengan si pelaku persembahan kerana alah bisa tegal biasa, selain memberi peluang bukan orang sastera atau orang luar untuk bersama.
Untuk menimbulkan lebih “rasa penghargaan” dalam kalangan hadirin, terutama yang baharu dan kali pertama menonton/mengikuti baca puisi misalnya, saya pernah mencadangkan agar setiap penonton diberikan salinan semua karya puisi yang dipersembahkan. Sambil mendengar, mereka boleh melihat teks karya sama ada sajak, pantun, syair, atau gurindam yang dipersembahkan. Di sepanjang pengalaman saya, kaedah ini belum pernah dicuba ataupun kelihatan di mana-mana majlis persembahan puisi. Justeru, tidak salah jika dicuba.
Cuma barangkali akan timbul juga masalah atau kelemahan, iaitu hadirin menghadapi kesukaran untuk menonton persembahan sepenuhnya kerana melihat teks, dan memandang ke pentas bersilih ganti, yang mustahil boleh dilakukan serentak. Selain itu, penganjur perlu menambah kerja dan masa, misalnya untuk urusan memohon karya daripada semua jemputan lebih awal.
Dalam satu perbualan dengan Jack di Rumah Gerakbudaya, Petaling Jaya menjelang Syawal lalu, penulis muda kian menanjak itu memberitahu beliau lebih menyukai majlis baca puisi yang berlangsung di tempat yang tertutup, dan persembahan rapat dengan penonton. Cara tersebut, katanya, boleh melahirkan penumpuan penuh, selain tiada gangguan sekeliling, ketimbang di tempat terbuka.
Tentunya hal ini juga perlu turut merangkumi hadirin daripada pelbagai bidang. “Orang sastera” tiada masalah untuk lebih hampir dengan si pelaku persembahan kerana “alah bisa tegal biasa”, selain memberi peluang bukan “orang sastera” atau “orang luar” untuk bersama.
Setahu saya, kebanyakan “orang sastera” tiada masalah dengan kehadiran bukan “orang sastera”, malah gembira dan bangga, sambil harapan berbunga bahawa sastera akan terus merakyat.
Jika berlandaskan pandangan peribadi, saya sendiri tiada masalah menghadiri majlis bukan sastera. Sesekali saya rasa beruntung, kerana “kerja” utama sebagai wartawan (meskipun bebas) bertahun-tahun memberikan peluang untuk turut menghadiri majlis “budaya”. Saya turut “melayan” majlis kesihatan, ekonomi, sains teknologi, dan sebagainya.
Tidaklah pula saya mutlak mengatakan hanya dengan “lesen wartawan bebas” sahaja dapat menghadiri majlis bukan sastera. Hal ini dikatakan sedemikian kerana minat juga boleh membawa ke arah itu.
Suka atau tertarik menghadiri majlis sastera dalam kalangan bukan “orang sastera” haruslah ditumbuhkan dari awal lagi. Bukan setelah berada dalam majlis berkenaan. Mustahil individu berkenaan akan “memaku” dirinya selama kira-kira satu dua jam, ataupun sehari suntuk (yang kadang-kadang disambung ke hari esoknya) jika tanpa minat.
Minat itu perlu ditanamkan sebelum, misalnya, beberapa hari/ketika sebelum dia mahu hadir. Selain beberapa kelemahan yang disebutkan tadi (semasa majlis berlangsung) yang mesti diperbaiki, iklan acah (teaser) atau pemberitahuan juga perlu mantap. Lebih baik jika ada daya penarik seperti nama/wajah popular, atau judul majlis/perbincangan yang padu.
______________________________
Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016).