Diterbitkan pada 27 Februari 2025, 07:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid berkongsi pengalaman dan ulasannya menonton drama bersiri adaptasi karya agung Gabriel Garcia Márquez di kaca televisyen.

Adaptasi ini, bagi saya, ialah peluang untuk menghidupkan kembali pengalaman tersebut sambil menilai sejauh mana karya sastera yang kompleks ini dapat diterjemahkan dengan berkesan ke dalam format televisyen.

Gabriel Garcia Márquez pada suatu ketika pernah menyatakan keengganannya untuk membenarkan karya agungnya, One Hundred Years of Solitude (1967), diadaptasi ke layar perak atau skrin. Baginya, naratif kompleks dan keunikan realisme magis dalam novel ini hampir mustahil untuk diterjemahkan ke dalam medium visual tanpa kehilangan inti pati sasteranya. Namun begitu, segalanya berubah selepas pemergiannya pada tahun 2014. Anak-anak beliau, Rodrigo Garcia dan Gonzalo Garcia Barcha, sebagai penerbit eksekutif, memberikan izin kepada Netflix untuk menghasilkan adaptasi ini, dengan syarat dilakukan dalam bahasa Sepanyol dan dirakam sepenuhnya di Colombia. Langkah ini dilihat sebagai usaha menghormati karya Márquez sambil memperkenalkannya kepada generasi baharu di seluruh dunia. Maka, terhasillah siri adaptasi oleh Netflix bertajuk Cien años de soledad yang lapan daripada enam belas episodnya mula ditayangkan mulai 11 Disember 2024.

Menonton siri ini mengimbau kembali kenangan saya ketika belajar Kursus Kesusasteraan Amerika Latin semasa di Universiti Sains Malaysia (USM) yang diajar oleh Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan Profesor Emeritus Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar. Novel ini bukan sahaja telah membuka mata saya pada keunikan realisme magis, tetapi juga memperkukuh kefahaman saya tentang cara unsur mitos, budaya dan sejarah boleh digabungkan untuk mencipta naratif yang luar biasa. Adaptasi ini, bagi saya, ialah peluang untuk menghidupkan kembali pengalaman tersebut sambil menilai sejauh mana karya sastera yang kompleks ini dapat diterjemahkan dengan berkesan ke dalam format televisyen.

Maka, ulasan ini bertujuan untuk menilai kekuatan dan kelemahan adaptasi ini, serta untuk melihat sejauh mana adaptasi ini berjaya menangkap keajaiban dan kedalaman novel asal. Adakah Netflix mampu menghadirkan semula keajaiban Macondo dalam bentuk visual, atau adakah ia sekadar sebuah usaha besar yang gagal? Mari kita teliti dengan lebih mendalam.

Gabriel Garcia Márquez

Asasnya, salah satu kekuatan utama adaptasi ini ialah usahanya untuk kekal setia terhadap novel asal, baik dari segi bahasa, budaya mahupun naratif. Keputusan untuk mengekalkan bahasa Sepanyol sebagai medium komunikasi dalam siri ini ialah langkah yang bijak, kerana hal ini memberikan pengalaman yang autentik kepada penonton, terutamanya mereka yang sudah akrab dengan karya Márquez. Selain itu, pemilihan lokasi penggambaran di Colombia sendiri memperkukuh lagi keaslian siri ini, menjadikannya cerminan tepat kepada suasana dan budaya yang digambarkan dalam novel. Siri ini juga berjaya membawa beberapa peristiwa utama dalam novel ke skrin dengan penuh, tanpa menghilangkan makna asalnya, walaupun terdapat sedikit perubahan bagi memastikannya sesuai dengan medium visual.

Dari sudut visual, adaptasi ini amat memukau. Penggunaan sinematografi yang canggih dan rekaan produksi yang teliti telah berjaya membangunkan dunia Macondo dalam bentuk yang menakjubkan. Setiap babak dirancang dengan rapi, menggunakan palet warna yang beragam untuk menyerlahkan emosi, simbolisme dan suasana magis yang menjadi asas pada realisme magis karya ini. Contohnya, elemen seperti angin ribut yang membawa daun-daun gugur, burung terbang di udara dan suasana pasar yang sibuk telah memperkuat naratif tanpa kata. Penceritaan melalui visual ini memberikan pengalaman menonton yang mendalam. Setiap bingkai seperti sebuah lukisan yang penuh dengan butiran yang boleh ditafsirkan.

Selain itu, kekuatan lain yang ketara dalam adaptasi ini ialah pemilihan pelakon tempatan yang benar-benar memahami budaya dan bahasa setempat. Marleyda Soto, Claudio Catano dan Marco Antonio Gonzalez memberikan persembahan yang sangat baik dan berkesan dalam usaha membawa watak-watak yang kompleks ke skrin.

Watak seperti Ursula yang dilakonkan oleh Marleyda Soto, berjaya menonjolkan kepimpinan, kebijaksanaan dan juga ketahanan seorang matriarki yang menjadi tonggak keluarga Buendia. Claudio Catano pula memberikan jiwa kepada watak Aureliano Buendia, dengan menggambarkan perjalanan emosinya, daripada seorang individu muda yang idealistik sehingga menjadi figura yang berkonflik dan penuh tragedi. Marco Antonio Gonzalez pula menyuntik karisma kepada wataknya, Jose Arcadiao Buendia, sebagai pengasas pekan Macondo. Persembahan mereka memberikan kehidupan kepada naratif, membolehkan penonton menghayati dinamik kompleks keluarga ini secara mendalam.

Dari sudut visual, adaptasi ini amat memukau.

Namun begitu, siri adaptasi ini tidak hadir tanpa kelemahan tertentu. Salah satu kelemahan yang ada ialah cabarannya untuk menangkap naratif kompleks novel asal dalam medium visual. Novel One Hundred Years of Solitude terkenal dengan jalan cerita yang berlapis-lapis, penuh dengan simbolisme dan alur masa yang tidak linear. Walaupun usaha telah dibuat untuk mengekalkan keaslian cerita, beberapa penonton mungkin mendapati yang aliran cerita dalam siri ini agak sukar diikuti. Peralihan cerita antara beberapa generasi keluarga Buendia yang begitu padat dengan peristiwa penting kadangkala dibuat tergesa-gesa atau kurang mendalam, menyebabkan watak kisah sampingan kelihatan kurang menonjol. Elemen ini mungkin menyulitkan mereka yang tidak biasa dengan novel untuk benar-benar memahami hubungan antara watak dengan tema yang diutarakan.

Elemen realisme magis yang menjadi nadi pada novel ini juga menghadapi cabaran besar untuk diterjemahkan secara visual. Keajaiban Macondo yang begitu hidup dalam imaginasi pembaca melalui teks kadangkala tidak berjaya disampaikan dengan kesan yang sama dalam bentuk visual. Beberapa adegan yang sepatunya memberikan rasa keajaiban dan kekaguman mungkin tidak sepenuhnya mencapai impak emosional yang diharapkan. Selain itu, usaha mengekalkan suasana magis ini melalui elemen CGI atau kesan khas kadangkala kelihatan terlalu literal, sehingga kehilangan sifat metaforikalnya yang menjadi keunikan novel ini. Maka, hal ini menyebabkan pengalaman menonton menjadi kurang berkesan berbanding membaca karya asal.

Selain itu, siri ini kurang berani untuk mengolah atau memperbaharui tema-tema yang sensitif, seperti hubungan gender dan politik seksual yang wujud dalam novel asal. Walaupun novel ini cerminan zamannya, penyesuaian dalam format visual yang lebih moden mungkin memerlukan pendekatan yang lebih progresif. Isu ini menyebabkan beberapa adegan kelihatan agak ketinggalan zaman atau tidak selesa untuk ditonton oleh penonton kontemporari.

Banyak penonton tempatan berkongsi pengalaman emosi mereka menonton siri ini, yang berjaya menghidupkan semula kenangan terhadap novel yang mereka anggap sebagai ‘puisi nasional’.

Di sebalik itu, adaptasi One Hundred Years of Solitude oleh Netflix telah menerima sambutan hebat di Colombia, negara asal Márquez. Ramai penonton tempatan melihat siri ini sebagai penghormatan pada karya agung yang menjadi kebanggaan negara mereka. Keputusan untuk menjalankan penggambaran sepenuhnya di Colombia dan menggunakan pelakon tempatan menambahkan lagi rasa keterikatan dan keaslian dalam siri ini. Hal ini bukan sahaja mengangkat budaya Colombia ke peringkat global tetapi juga memperkukuh identiti tempatan yang terkandung dalam kisah keluarga Buendia. Banyak penonton tempatan berkongsi pengalaman emosi mereka menonton siri ini, yang berjaya menghidupkan semula kenangan terhadap novel yang mereka anggap sebagai “puisi nasional”.

Di peringkat antarabangsa, siri ini juga diterima baik oleh penonton global yang menghargai usaha untuk mengekalkan kesetiaan pada karya asal. Penggunaan bahasa Sepanyol sebagai medium utama bukan sahaja memartabatkan bahasa asal novel, tetapi juga memberikan pengalaman budaya yang lebih mendalam kepada penonton antarabangsa. Penonton global, khususnya peminat sastera, memuji keindahan visual siri ini yang berjaya menonjolkan unsur magis dan simbolik daripada novel. Walau bagaimanapun, terdapat juga penonton yang merasakan adaptasi ini mungkin lebih sesuai untuk mereka yang sudah biasa dengan naratif novel asal, kerana kerumitannya boleh menjadi cabaran bagi mereka yang baru mengenali kisah ini.

Selanjutnya, siri ini bukan sahaja berjaya menarik minat penonton untuk menikmati kisah keluarga Buendia, tetapi juga memperkenalkan karya Márquez kepada generasi baharu. Dalam era sastera semakin kurang diberi perhatian, adaptasi ini menjadi jambatan untuk menghubungkan penonton moden dengan salah satu karya sastera terbesar dunia. Walaupun terdapat kritikan terhadap beberapa aspek adaptasi ini, penerimaannya secara keseluruhan telah membantu memperluas lagi pengaruh karya Márquez ke seluruh dunia. Hal ini menunjukkan bahawa warisan One Hundred Years of Solitude tetap relevan dan hidup dalam pelbagai medium, termasuk melalui skrin kecil.

Secara keseluruhannya, adaptasi One Hundred Years of Solitude oleh Netflix ialah sebuah siri adaptasi yang berani dan penuh dengan aspirasi tinggi. Adaptasi ini berjaya mengekalkan banyak elemen penting daripada novel asal, terutamanya melalui kesetiaan pada bahasa, budaya dan latar yang autentik. Kekuatan sinematografi dan pemilihan pelakon tempatan turut memperkaya pengalaman menonton, menjadikannya sebuah penghormatan visual kepada mahakarya Gabriel Garcia Márquez.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa adaptasi ini juga menghadapi cabaran untuk menangkap kompleksiti naratif novel serta elemen realisme magis yang menjadi tunjang kekuatannya. Kritikan terhadap penterjemahan visual dan isu sosial tertentu mengingatkan kita tentang kesukaran menyesuaikan karya sastera besar ke dalam medium yang berbeza. Namun begitu, usaha ini tetap berjaya menarik minat penonton global dan tempatan, membuktikan bahawa keajaiban Macondo mampu melintasi sempadan bahasa dan budaya.

Bagi mereka yang sudah membaca novel, siri ini ialah peluang untuk menyaksikan dunia Macondo yang hidup di skrin. Bagi mereka yang baru mengenali karya ini, adaptasi ini mungkin menjadi pintu masuk untuk memahami keindahan dan keajaiban sastera Amerika Latin. Meskipun tidak sempurna, One Hundred Years of Solitude dalam bentuk visual ialah satu pencapaian besar yang memperkukuh lagi warisan Gabriel Garcia Márquez sebagai salah satu sasterawan agung dunia yang telah banyak mempengaruhi pengarang lain, termasuk di Malaysia.

Drama bersiri One Hundred Years of Solitude boleh ditonton di Netflix.

_________________________

Mohamed Nazreen Shahul Hamid (Dr.) ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia. Beliau tertumpu pada bidang kesusasteraan, budaya dan media. Kebanyakan kajiannya meliputi pengajian media dan sastera, filem dan sastera, gender dalam sastera, dan kesusasteraan bandingan. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel [email protected].

Kredit Foto: Meritt Thomas/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi