Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRaja Yusoff Ariffin tidak menyangka bahawa isu penulis muda-penulis veteran masih menjadi perdebatan. Walau bagaimanapun, sebagai penulis lama/veteran yang pernah muda dari segi usia biologi, beliau terpanggil untuk turut berbincang dalam isu ini.
Walaupun bagus, ‘keasyikan’ Nordin menasihati itu menimbulkan rasa kurang senang pula kepada seorang dua penulis muda juga.
Pada penghujung tahun 1980-an (1986 – 1987), dalam akhbar tabloid yang ketika itu banyak diterbitkan, rakan penulis saya bernama Nordin Hj. Abdullah kerap menulis rencana sastera mengenai penulis muda.
Pelbagai saranan atau pesanan yang dikemukakan olehnya, seperti penulis muda mesti berani, penulis muda mesti peka, penulis muda mesti itu, penulis muda mesti ini.
Walaupun bagus, “keasyikan” Nordin “menasihati” itu menimbulkan rasa kurang senang pula kepada seorang dua penulis muda juga. Kata mereka, Nordin ketandusan idea dan isu sehingga tidak mampu membangkitkan isu lain yang relatifnya lebih besar.
Dari segi usia biologi, Nordin (saya tidak pasti di mana beliau kini, tetapi namanya sebagai penulis sudah tidak kelihatan lagi) ketika itu juga masih muda. Namun begitu, saya tidak rapat dengannya. Saya tidak mengingati dengan teliti tulisan-tulisannya. Jadi, saya tidak dapat memastikan adakah beliau juga merujuk penulis muda dalam kalangan usia biologi sahaja.
Sebelum beliau menghilang dan seiring dengan berkuburnya satu demi satu akhbar tabloid (yang terkenal dengan jolokan “akhbar nyamuk”), saya perasan yang Nordin tidak lagi muncul menulis rencana sastera, apatah lagi mengenai penulis muda.
Apabila menyebut penulis muda, memang secara umum dan mudah sejak sekian lama, taraf atau pengelasan itu dibataskan hanya pada usia biologi. Secara lazim dan logik juga, kegiatan apa-apa pun dimulakan pada usia biologi yang muda kerana ketika itu tenaga fizikal dan pemikiran masih kuat serta segar.
Lazimnya, seseorang itu mula menulis/berkarya ketika berusia belasan tahun, ekoran terdorong oleh beberapa faktor. Saya sendiri mula menulis pada usia 20 tahun (tahun 1982).
Amat jarang ditemui seseorang yang menghasilkan karya penulisan ketika berusia 40-an atau 50-an. Hal ini sesuatu yang langka! Dalam sepanjang ingatan, saya belum bertemu atau pernah ada rakan yang mula mengarang pada usia lewat sedemikian.
Justeru, lekat dan tertanam kukuh dalam minda masyarakat, termasuk golongan penulis sendiri, bahawa penulis muda itu ialah penulis yang berusia muda biologi, seiring dengan usia kegiatan/pembabitannya dalam kerja menulis.
Hal itulah yang mudah dan dipersetujui ramai. Tidak perlu pening-pening kepala walaupun pernah ditimbulkan bahawa penulis muda itu “muda” dari segi usia menulis.
Saya menyetujui pendapat yang berkaitan dengan usia menulis, meskipun umum tetap menganggap bahawa “muda” dari segi usia biologi. Sukar untuk diubah walaupun ada yang tidak menolaknya. Bagi saya, jika berkarya kurang daripada lima tahun, penulis terbabit boleh dianggap sebagai “muda”.
Wajarkah mengekalkan tafsiran penulis muda itu muda dari segi umur biologi untuk tidak menyulitkan pemikiran?
Isu penulis muda telah lama senyap, hinggalah muncul pendapat Saudara Saifullizan Yahaya pada 10 Januari lalu bahawa yang lebih penting ialah karya penulis itu yang diangkat, bukan pada usia muda-tua biologinya.
Saya fikir, cetusan ini akan lebih menggugah minda kita semua, kerana hal yang dibincangkan dengan lebih mendalam dan rumit ialah hal yang berkaitan dengan mutu karya; seperti yang dimaksudkan oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka itu. Tidak dinafikan, ada penulis yang telah berdekad-dekad menulis, tetapi karyanya masih di takuk lama dan sama – mutunya tidak meningkat-ningkat!
Cuma, hal tersebut tentunya tidak dapat dinyatakan oleh semua orang dengan mutlak bertanggungjawab. Hanya pakar atau pengkritik sastera berwibawa sahaja yang tahu, dan berupaya menilainya.
Saya fikir, saranan Saifullizan tersebut amat bermanfaat kerana semua penulis akan terpanggil untuk berusaha mematangkan karya mereka – tidak mahu lagi dianggap “muda” sebegitu.
Cuma, mungkinkah akan tiba masa, istilah “penulis muda” tidak lagi boleh diguna pakai, tetapi lebih dinilai berdasarkan mutu karyanya, seperti yang dibangkitkan menerusi program Benda Boleh Gaduh Kenapa Bincang? dalam laman Facebook Institut Terjemahan dan Buku Malaysia itu? Siapa yang akan menggugurkan istilah “penulis muda” atau “penulis lama” ini?
Atas dua faktor, saya fikir, pemansuhan istilah ini sukar terjadi. Selain pihak media yang sudah biasa menggunakan istilah penulis muda, tanpa mengira tafsiran, akan terus menggunakannya dalam pemberitaan. Pihak persatuan penulis sendiri sudah biasa bertindak serupa. Sebarang kegiatan sastera yang berkaitan dengan penulis sedemikian, akan disertakan dengan istilah “penulis muda” juga.
Wajarkah mengekalkan tafsiran penulis muda itu muda dari segi umur biologi untuk tidak menyulitkan pemikiran? Ataupun pilihlah tafsiran mengikut usia mengarang agar lebih terbuka dan matang, seperti anggapan sesetengah penulis sendiri. Kalau mahu mendalam dan lebih sulit, ikutlah saranan Saifullizan.
Namun demikian, apa-apa juga tafsiran yang dipilih, penulis muda atau veteran, harus teruslah menulis, dan pastinya, mutu karya yang tinggi amat dituntut daripada mereka! Mutu karya yang tinggi tentulah mengatasi segala-galanya.
______________________________
Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016).