Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Mungkinkah akan tiba masanya istilah penulis muda sudah tidak lagi diguna pakai, sebaliknya, penulis dilihat berdasarkan kualiti karyanya?
Persoalan menarik ini diungkapkan oleh, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Encik Saifullizan Yahaya menerusi program Benda Boleh Gaduh? Kenapa Bincang episod ke-23 yang disiarkan dalam laman Facebook Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Jumaat lalu.
Dalam acara yang dikendalikan oleh Pengurus Besar, ITBM, YBrs. Encik Sakri Abdullah, Saifullizan berkata, hal ini menarik untuk diperkatakan kerana hal yang lebih penting ialah karya penulis itu yang diangkat, bukan melihat pada usia tua atau mudanya penulis tersebut.
Justeru, ketika dicuit oleh Sakri, apakah benar penulis muda cenderung menongkah arus, sengaja atau tidak, Saifullizan mengambil contoh susulan kejadian enam judul buku yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.
Katanya, ada antara karya yang diharamkan itu menggunakan tajuk anatomi lelaki. Pilihan itu katanya, mungkin tidak ada apa-apa bagi sesetengah pihak tetapi bagi sebuah negara yang mempunyai panduan-panduan tertentu, hal itu mungkin tidak selari misalnya dengan prinsip Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan.
“Tapi satu hal yang nyata, penulis muda memang kreatif dan mungkin berpegang pada lesen puitika yang antara lain menegaskan mengenai kebebasan penulis.
“Lesen puitika memang hal yang dipegang oleh penulis, terutamanya penulis muda kerana ia dilihat kaedah untuk menyampaikan idea mereka.
“Namun dalam masa sama, KDN perlu dilihat sebagai melaksanakan tanggungjawab mereka berasaskan Rukun Negara,” katanya.
Katanya, penulis memang cenderung untuk menentang arus atau hukum adat budaya dan agama, tetapi sebagai warganegara yang baik, tentu saja kita tertakluk pada dasar-dasar negara.