Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangN. Nur Nasuha meneliti perbezaan persepsi umum terhadap para pelajar sastera di Malaysia dengan di Eropah.
Jika kita lihat di Malaysia, sistem pendidikan sering mempromosikan aliran sains dan teknikal sebagai jalan ke arah kejayaan.
Di Malaysia, persepsi umum terhadap pelajar sastera sering kali bersifat negatif. Bidang sastera dianggap sebagai pilihan terakhir bagi mereka yang kurang cemerlang dalam akademik, lalu ada yang melabelkan pelajar sastera sebagai “kelas corot”.
Namun begitu, jika kita meninjau ke Eropah, khususnya di negara seperti Perancis, Jerman dan United Kingdom, pelajar sastera dipandang sebagai golongan intelektual dan kelas elit yang memainkan peranan penting dalam pembentukan tamadun dan pemikiran masyarakat semasa.
Mengapa wujudnya jurang persepsi yang begitu ketara antara dua benua ini?
Stereotaip dan Sistem Pendidikan di Malaysia
Jika kita lihat di Malaysia, sistem pendidikan sering mempromosikan aliran sains dan teknikal sebagai jalan ke arah kejayaan. Sebagai contoh, pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan digalakkan untuk memasuki aliran sains atau matematik (seperti aktuari atau akauntan). Sebaliknya, aliran sastera sering menjadi pilihan pelajar yang tidak layak ke aliran sains. Stereotaip inilah yang menyebabkan bidang sastera kehilangan prestij yang sewajarnya.
Tambahan lagi, pendekatan pembelajaran sastera di sekolah lebih tertumpu pada hafalan dan pencapaian peperiksaan semata-mata. Dapat dilihat bahawa kurangnya penekanan terhadap analisis kritikal, pemikiran mendalam dan apresiasi seni yang menjadikan bidang ini tampak kaku dan kurang relevan dalam kalangan masyarakat moden.
Sastera sebagai Lambang Intelektual di Eropah
Jika kita tinjau di Eropah, pelajar sastera dianggap sebagai golongan yang memiliki kemampuan intelektual yang tinggi. Bidang ini dipandang sebagai asas pada penyelidikan falsafah, seni dan budaya. Sebagai contoh, Universiti Sorbonne di Paris dan Universiti Oxford di United Kingdom menawarkan kursus-kursus sastera yang diminati oleh pelajar terbaik dari seluruh dunia.
Di sana, sastera tidak hanya tertumpu hanya pada pembelajaran teks semata-mata, tetapi turut melibatkan kajian falsafah, analisis pemikiran dan penulisan kritikal. Pelajar sastera dilatih untuk mempersoalkan norma dan mencabar status quo, menjadikan mereka pemimpin hal pemikiran atau pemikiran kritikal yang mampu mencetus perubahan besar dalam masyarakat.
Mengapa Malaysia perlu mengubah persepsi yang bermasalah ini? Dalam hal ini, penting untuk Malaysia meneliti kembali ke manakah arah yang hendak ditujunya. Persoalan mengubah persepsi terhadap pelajar sastera atas bidang yang dipelajarinya merupakan asas kepada pembentukan budaya, identiti dan nilai sesebuah bangsa.
Karya agung Malaysia, seperti Hikayat Hang Tuah atau jambangan puisi Sasterawan Negara Usman Awang merupakan khazanah yang membentuk jiwa bangsa. Tanpa pelapis pelajar dan pengkaji sastera yang tangkas dan bijak dalam pemahaman khazanah sastera kita, kita akan berisiko untuk menghadapi keretakan jati diri dalam kalangan rakyat Malaysia.
Selain itu, pelajar sastera memiliki kemahiran insaniah yang tinggi, seperti pemikiran kritikal, kreativiti dan empati. Kesemua kemahiran tersebut ialah kemahiran yang semakin dihargai dalam pasaran kerja moden. Dalam era teknologi yang pesat, industri juga memerlukan individu yang mampu memahami aspek kemanusiaan untuk memastikan pembangunan syarikatnya atau institusinya tumbuh secara holistik.
Membina Masa Depan yang Seimbang
Kerajaan, sekolah dan masyarakat perlu bersama-sama mengangkat martabat pelajar sastera di Malaysia. Program-program yang memupuk apresiasi terhadap sastera harus diperkasa, termasuklah dengan memperkenalkan pelbagai kursus inovatif dan mengikut trend masa kini pada peringkat universiti, termasuk pengenalan pada sastera digital, variasi dalam penulisan kreatif dan kajian budaya.
Di samping itu, tokoh sastera dan budaya harus diberikan pengiktirafan yang sewajarnya untuk memberikan inspirasi dan contoh yang baik kepada generasi muda. Media juga memainkan peranan penting untuk mengetengahkan kisah kejayaan pelajar sastera yang mampu bersaing pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sebagai kesimpulan, perbezaan antara cara pelajar sastera dilihat di Malaysia dengan Eropah mencerminkan betapa besarnya jurang persepsi yang perlu dirapatkan. Di Malaysia, pelajar sastera tidak seharusnya dilihat sebagai kelas corot tetapi mereka seharusnya dipandang sebagai tulang belakang yang mampu memacu jiwa dan budaya bangsa.
Melalui perubahan persepsi, sokongan dan pengiktirafan yang lebih besar, pelajar sastera mempunyai harapan untuk mampu berdiri sama tinggi dengan para pelajar sains dan teknikal, bukan sahaja di Malaysia, bahkan juga di mata dunia.
_________________________
N. Nur Nasuha siswi Universiti Pendidikan Sultan Idris yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan. Karya beliau pernah tersiar dalam Dewan Tamadun Islam dan Tunas Cipta.