Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu sering kali tidak ditawarkan secara meluas kepada pelajar tingkatan empat dan lima.
Hal ini berpunca daripada persepsi bahawa sastera lebih sesuai untuk murid yang mempunyai tahap akademik sederhana atau rendah.
Lantaran itu, penawaran mata pelajaran ini menjadi terhad dan tidak mendapat perhatian berbanding dengan mata pelajaran yang dianggap lebih berprestij seperti sains atau matematik.
Malah, hanya segelintir sekolah sahaja menawarkan mata pelajaran ini dalam pakej pilihan kepada pelajar.
Perkara ini telah dinyatakan oleh Pensyarah Pendidikan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Nordiana Hamzah melalui kajian data yang dilakukan.
Pernyataan tersebut turut disokong oleh Prof Madya Dr. Samsudin Suhaili, pensyarah Jabatan Pengajian Malaysia bahawa peranan guru bukan sastera juga menyebabkan perkara ini terjadi.
Para guru lebih cenderung menganggap mata pelajaran kesusasteraan Melayu dikhususkan kepada pelajar yang kurang cemerlang daripada segi akademiknya, iaitu sebanyak 54.8%.
Namun data kajian mereka membuktikan majoriti guru bidang sastera tidak bersetuju dengan pernyataan tersebut.
Pada pandangan guru bidang sastera, mata pelajaran kesusasteraan Melayu merupakan mata pelajaran yang memerlukan pelajar berfikir aras tinggi, di samping perlu memiliki daya imaginasi tinggi dan kreatif untuk memahami serta menghasilkan sesebuah karya sastera.
Dalam menyokong perkara ini, Profesor Madya Dr. Norliza Jamaluddin menjelaskan bahawa pelajar bukan sastera sebenarnya minat untuk mempelajarinya.
Dengan kata lainnya, mereka mempunyai minat dan kecenderungan yang signifikan untuk membaca teks sastera dan menerima baik mata pelajaran ini untuk diajarkan di sekolah.
Perkara-perkara ini telah dibentangkan dalam bengkel Dapatan Kajian Persepsi Khalayak terhadap Kesusasteraan Melayu di Sekolah yang dilaksanakan oleh kumpulan penyelidik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kumpulan penyelidik UPSI di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tiga orang penyelidik UPSI yang diketuai oleh Prof Madya Dr. Samsudin Suhaili, Profesor Madya Dr, Norliza Jamaluddin dan Dr. Nordiana Hamzah telah membentangkan dapatan kajian masing-masing yang mencakupi isu dan permasalahan dalam pendidikan negara; persepsi pelajar sastera dan bukan sastera; dan persepsi guru sastera dan bukan sastera di sekolah.
Penyelidikan yang dilaksanakan mulai Januari 2023 hingga Ogos 2023 telah membabitkan pelajar tingkatan empat, lima dan enam yang terdiri daripada 211 orang pelajar sastera dan 86 pelajar bukan sastera di beberapa buah sekolah di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.
Daripada bengkel ini membuktikan penerimaan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu oleh pelajar bukan sastera khusus di sekolah secara langsung mempengaruhi persepsi khalayak terhadap kemampuan sastera dalam menjamin kerjaya seseorang individu pada masa hadapan.
Di samping itu juga, guru berupaya menjadi lebih kreatif dalam mempelbagaikan kaedah, teknik, pendekatan, bahan bantu mengajar semasa PdP berlangsung demi mempertingkatkan minat guru mahupun pelajar untuk melibatkan diri dalam apa jua program yang berunsurkan Kesusasteraan Melayu dengan sikap dan pemikiran yang positif.
Dalam bengkel tersebut, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan mewakili Ketua Pengarah DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa telah menyatakan harapan dengan adanya dapatan kajian ini dapat memberi pemahaman kepada masyarakat terhadap kepentingan kurikulum kesusasteraan Melayu.
“Kesusasteraan Melayu di sekolah menengah dapat melengkapkan murid dengan ilmu sastera agar dapat melahirkan generasi yang menghayati, menghargai, mencintai, dan memupuk rasa bangga terhadap bahasa dan sastera kebangsaan kita”
“Matlamat utama kajian, iaitu mengenal pasti persepsi khalayak terhadap pengajaran dan pembelajaran kesusasteraan Melayu di sekolah dan mengenal pasti faktor penerimaan khalayak terhadap pengajaran dan pembelajaran kesusasteraan Melayu di sekolah telah dapat dicapai dengan sebaiknya.” Ujar beliau menutup perasmian bengkel.