Oleh Sarah Ross
6 Januari 2025, 08:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setelah menghadiri Perhimpunan Penulis Muda Nasional dan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2024, Sarah Ross melakukan refleksi diri dalam usaha meningkatkan dirinya dalam disiplin penulisan.

Adilkah untuk saya ketepikan karya-karya yang pernah menyentuh pemikiran saya walaupun karya itu tidak menepati capaian kualiti yang saya sendiri gariskan?

Sebagai penulis pemula (dalam konteks penulis di bawah usia lima tahun kepengarangannya), satu perkara yang begitu mendesak saya semasa memulakan penulisan pada tahun 2021 lalu, adalah tentang bagaimana saya hendak bertempur di gelanggang sastera ini, sedangkan saya tidak mempunyai apa-apa persiapan diri dan tanpa sebarang kelengkapan yang dapat membantu perjuangan saya.

Saya bermula dengan menyertai banyak penulisan antologi puisi secara berbayar. Berdikit-dikit, saya mula banyak membaca puisi dan dari situ, saya cuba menilai kualiti penulisan saya yang boleh dikatakan rendah. Dalam terkapai-kapai mencari arah, Cikgu Ghazali Sulong datang menghulurkan pelita memandu saya, diikuti dengan Cikgu Ibnu Din Assingkiri melalui bengkel-bengkel penulisan yang dianjurkannya.

Saya juga mula berjinak-jinak mengenali puisi terbitan Kata-Pilar dan pada waktu itu saya sedar, saya perlu membuat pelaburan untuk mendapatkan ilmu. Seorang penulis tiada jalan lain selain perlu memperkasa diri untuk turun bergelut di gelanggang penulisan yang besar cabarannya kerana penulis menggalas tugas untuk memandaikan masyarakat.

Ada pelbagai kaedah yang boleh dibuat, antaranya dengan melabur melalui pembelian bahan bacaan yang baik dan membantu penulisan. Buku ialah harta dan aset berharga bagi seseorang penulis. Jika orang lain digelar sebagai muflis ketika kehilangan hartanya, seorang penulis pula masih kaya kerana memiliki timbunan buku-buku di rumahnya.

Al-Quran sendiri menekankan kepentingan membaca melalui ayatnya, Iqra’. Buya Hamka pula berkata, “Membaca buku-buku yang baik bererti memberi makanan rohani yang baik.” Bahkan, jika kita melihat secara universal, para jutawan dunia juga terkenal sangat suka membaca buku. Antaranya termasuk Warren Buffet yang membaca sehingga 500 halaman sehari dan Elon Musk yang memberitahu dalam wawancaranya bahawa tabiat membacanya membawa kepada sepuluh jam sehari. Maka sebagai penulis, sebanyak mana kita membaca, untuk dihidangkan kembali dalam bentuk penulisan?

Ketika ditanya oleh Ahmad Muziru Idham dalam Perhimpunan Penulis Muda Nasional IV 2024 yang berlangsung pada 18 Disember lalu, tentang bagaimana kita mendefinisikan karya yang berkualiti, saya kembali bertanya diri. Adilkah untuk saya ketepikan karya-karya yang pernah menyentuh pemikiran saya walaupun karya itu tidak menepati capaian kualiti yang saya sendiri gariskan?

Justeru, saya menyimpulkan secara peribadi, karya yang bagus boleh terbahagi kepada dua. Pertama, karya yang memang menepati piawaian kualiti dalam banyak segi, dari segi aspek bahasa, gaya olahan, kesegaran idea, mesej yang disampaikan, dan mengangkat pemikiran. Kedua, saya juga mengakui, sebahagian karya yang tidak mencapai piawaian tersebut, masih boleh dikira karya yang bagus jika isinya menyentuh pemikiran saya.

Penulis (dua dari kiri) bersama-sama para karyawan dan pengarang mapan di Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2024 di UNITEN, Bangi.

Pendapat ini lebih kepada pandangan peribadi kerana saya melaluinya sendiri ketika mencari sajak-sajak daripada antologi puisi untuk dijadikan contoh pemurnian sajak dalam kelas bimbingan yang saya anjurkan. Ada antara sajak yang bagus ideanya, namun, olahannya kurang bermutu dan kebanyakannya klise, sedangkan sastera kita semakin menuju ke arah perkembangan.

Jujur saya mengakui bahawa penulisan saya diasuh melalui buku-buku puisi yang bagus dan latihan penulisan yang berterusan melalui kiriman karya eceran ke pelbagai medium penyiaran serta penyertaan sayembara penulisan.

Sebagai pembaca saya rasa kita perlu menjadi seperti pengutip kepah di pantai, yang dicari dan dikutip cuma kepah, bukan pasir. Semasa proses pembacaan, kutiplah apa-apa yang berharga dan bermanfaat untuk diri sekalipun daripada karya-karya biasa, kerana seorang penulis mesti merakam perkara-perkara berharga melalui pembacaan. Kita kena mengakui hakikat bahawa kita tidak mampu untuk tahu dan melalui pengalaman tentang semua perkara. Jadikan pembacaan sebagai jalan singkat untuk kita menyarung kasut pengetahuan dan pengalaman orang lain.

Jujur saya mengakui bahawa penulisan saya diasuh melalui buku-buku puisi yang bagus dan latihan penulisan yang berterusan melalui kiriman karya eceran ke pelbagai medium penyiaran serta penyertaan sayembara penulisan. Dalam perhimpunan ini, saya sempat disapa oleh Marsli N.O dengan pertanyaan beliau, bagaimana penulisan saya menjadi matang begitu cepat?

Memikirkan soalan yang tidak sempat saya jawab kerana pintu lif memuntahkan saya lebih awal, saya rasa bersyukur kerana Tuhan menggerakkan saya untuk menulis pada usia yang hampir matang, ketika saya berumur 37 tahun dan telah memiliki lima orang putera. Saya rasa usia ini agak baik setelah saya menjadi perakam awal pada hal-hal berkisar kehidupan saya dan orang lain. Justeru, saya menarik semula keluhan saya, kenapa saya mula menulis begitu lewat? Saya yakin, Tuhan telah mempersiapkan saya untuk menulis pada usia yang sangat membantu penulisan saya berkembang dengan lebih baik.

Begitu juga Tuhan merencana pertemuan saya bersama-sama para penulis hebat dalam perhimpunan tiga hari itu, membuatkan saya benar-benar bersyukur dipertemukan dengan orang yang tepat dan apa yang saya cari selama ini. Saya menganggap pertemuan ini telah berjaya menemukan saya dengan hala tuju dan masa depan saya sendiri yang dalam perancangan untuk menceburi bidang penulisan sastera kanak-kanak.

Saya menyarankan kepada penulis muda dan pemula untuk menyertai pertemuan-pertemuan sastera begini dan yang seangkatan dengannya agar membantu membuka minda dan juga ruang serta peluang kepada masa depan penulisan. Dekati penulis-penulis mapan untuk menyerap ilmu dan nasihat yang berguna sebagai bekalan perjalanan yang mencabar ini. Saya fikir, seorang penulis tidak patut berjalan sendirian kerana lidi yang sebatang lebih mudah dipatahkan berbanding seberkas lidi yang lebih teguh.

Dalam forum saya bersama-sama dua lagi penulis, Hidayyah AT Mizi dan Khoo Phau Liang, saya ada menyentuh tentang kepentingan mempunyai mentor dalam penulisan, sebagaimana yang disarankan oleh Ruhaini Matdarin dalam satu bual bicara bersama-sama Ahmad Muziru Idham dan M. Shoffi Sukamin. Hal ini turut ditekankan oleh Jaya Ramba tentang penting bagi seorang penulis mempunyai mentor yang bagus supaya memandu arah penulisannya ke arah kemajuan, ibarat bintang kepada pelayar pada malam penuh gelita.

Penulis (tiga dari kiri) bersama-sama Khoo Pau Liang dan Hidayyah AT Mizi berbicara dalam forum khas Perhimpunan Penulis Muda Nasional ke-IV 2024.

Jaya Ramba juga menegaskan bahawa tiada jurang antara penulis muda dengan penulis mapan, dan pintu sentiasa terbuka untuk proses pembelajaran dan perkongsian ilmu berlaku. Saya mengibaratkan, tidak rugi seekor burung melayah rendah ke tanah, pasti ada rezeki terlekat di hujung muncung. Penulis muda perlu datang penuh adab dan sopan, merendahkan diri untuk menuntut ilmu, kerana sifat ilmu ini tinggi. Jangan menuntut ilmu dengan kesombongan dan merasa diri hebat kerana ilmu tidak masuk ke dalam kantung yang sama tinggi. Merendahlah.

Sebagai kesimpulan, saya menyeru kepada semua penulis muda dan pemula untuk mencari jalan memperkasa penulisan diri. Kita bukan lagi anak kecil di bangku sekolah yang duduk menadah ilmu disuapkan ke mulut. Kitalah yang perlu bergerak aktif mencari ruang dan peluang untuk membantu hala tuju penulisan. Jangan marah jika penulisan kita dikritik kerana sikap kita yang lebih suka menunggu di takuk lama.

Ubahlah.

______________________________

Sarah Ross merupakan penulis pemula yang sedang membina kepengarangannya melalui penulisan puisi dan mula berjinak-jinak dengan penulisan novel serta bakal menceburi bidang penulisan sastera kanak-kanak.

Kredit Foto: PENA, Sarah Ross dan Europena/Unsplash
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.