21 Disember 2024, 15:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM) menerima Anugerah Pejuang Puisi Malaysia dalam Program Baca Puisi PEMUISI di DBP Ke-16 Tahun 2024.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan, dan diiringi oleh Presiden PEMUISI, YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim.

Program yang bertemakan “Melabuh Tirai 2024” ini merupakan program baca puisi bulanan ke-16 yang dilaksanakan oleh Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) sejak tahun 2022, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Stor Teater, Wisma DBP, pada malam semalam.

Program ini turut dirasmikan oleh Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang. Menerusi ucapan perasmian, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan PEMUISI kerana berjaya melaksanakan pelbagai program sepanjang tahun 2024. Beliau juga cukup berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh PEMUISI dalam persada puisi tanah air.

Menurutnya, pelbagai program yang dianjurkan oleh PEMUISI termasuklah seminar, forum, bengkel dan konvensyen wajar diteruskan agar dapat menarik minat pelbagai golongan menyertai aktiviti puisi.

Ucapan beliau disempurnakan dengan deklamasi puisi “Melayu Malu” yang merupakan puisi daripada antologi puisi Dari Penjuru Sofa terbitan DBP.

YB Senator Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan dalam ucapannya menyatakan bahawa PEMUISI akan terus menggiatkan kesedaran umum bahawa puisi merupakan satu daripada pendekatan untuk memperkukuh ketamadunan bangsa, seiring dengan konsep Malaysia MADANI yang menyerlahkan bangsa Malaysia sebagai bangsa berilmu yang memartabatkan bahasa kebangsaan.

Deklamasi puisinya yang berjudul “Madah Jebat Ketika Rebah di Pangku Tuah”, sejurus usai ucapan, memberikan sentuhannya yang tersendiri dalam suasana masyarakat hari ini yang berdepan dengan pelbagai isu kepimpinan.

Program ini juga diserikan dengan deklamasi puisi oleh YBhg. SN Datuk Dr. Zurinah Hassan, Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar, persembahan lagu puisi oleh kumpulan The Shining Trio dan persembahan tarian zapin oleh Kumpulan Gemalai Seni Seri Purnama dari SK Kelana Jaya.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, YBrs. Puan Roziah Md Yunus yang mewakili Ketua Pengarah DBP dan mantan juruhebah RTM, YBhg. Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar sebagai pengacara majlis.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.