Diterbitkan pada 9 Jun 2021, 07:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Kumpulan puisi Dari Penjuru Sofa, ada kelainan yang dapat dirasakan daripada puisi biasa. Penulisnya mantan ahli akademik tersohor, pernah menjadi Naib Canselor termuda dalam sejarah universiti awam di Malaysia, dan menerima pelbagai anugerah berprestij. Penerbitan kumpulan puisi ini menunjukkan, pegawai tadbir juga berjiwa puitis dan kritis.”

Demikian ulasan yang diutarakan oleh Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN) terhadap kelahiran kumpulan puisi nukilan Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Malaysia.

Meski bergelar “orang menteri”, namun masyarakat seharusnya akur bahawa Zaini Ujang telah membawa satu anjakan paradigma terhadap tanggapan masyarakat yang sering memandang puisi sebagai sesuatu yang melankolik. Sedangkan puisi pada hakikatnya perlu dipandang sebagai salah satu ekspresi kisah-kisah kehidupan yang perlu diketahui oleh rakyat.

Penglibatan beliau dalam dunia akademik yang telah menulis lebih daripada 300 artikel ilmiah tidak dapat mencapai kepuasan sanubarinya. Demikian hal ini kerana penulisan akademik bukan dapat dibaca oleh orang awam. Hal ini telah mengurangkan tempo gerak kerja beliau untuk membuat perubahan kefahaman terhadap pelestarian alam sekitar. Justeru, puisi dijadikan sebagai wahana untuk memenuhi hasrat tersebut.

Bual bicara tersebut berlangsung dari Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP, pada 7 Jun jam 12.00 tengah hari yang lalu dalam rancangan Bicara Karyawan Dari Penjuru Sofa. Moderatornya, Ghani Abu melontarkan persoalan-persoalan yang berjaya mencungkil rahsia-rahsia sebalik penghasilan lebih 50 buah sajak baharu nukilan Zaini Ujang sejak 11 November 2020 hingga 1 Februari 2021. Buku setebal 326 halaman ini juga merangkumkan sajak terpilih Zaini Ujang yang terdahulu.

Dari Penjuru Sofa ialah hasil karya yang tercetus sewaktu musim Pandemik COVID-19. Bercerita tentang proses kreatif penulisan sajak tersebut, di penjuru sofa ialah tempat beliau berkarya secara bersendirian. Di situlah banyak sajak dihasilkan. Kurang lebih 10 jam masa telah digunakan untuk membaca dan menyiapkan tugasan, sambil minum kopi dan adakala tertidur di situ. Banyak rahsia tersimpan di penjuru sofa yang merakam detik-detik penghasilan puisi tersebut, maka turut diangkat sebagai judul buku.

Sajak pemula, iaitu “Ruang Kecil” ialah rakaman tempat dan saat-saat beliau bersama-sama dengan keluarga menjalankan aktiviti seperti bersolat, bermain dengan anak cucu dan berehat. Aktiviti ini diistilahkan sebagai “tersangkar”, iaitu terbatasnya pergerakan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menariknya, buku puisi ini turut memuatkan persoalan kemajuan bangsa Melayu melalui sajak “Ragam Melayu Baharu”, “Melayu Malu” dan “Bangsa Melayu”. Zaini Ujang turut menyorot pengalaman beliau berkelana dan bersahabat dengan masyarakat di luar negara. Melalui pengamatan dan pergaulan, beliau mendapati definisi bangsa maju bukanlah diukur melalui kemewahan harta benda, sebaliknya bangsa maju ialah sesuatu yang ada dalam kehidupan sesebuah komuniti. Ia tidak dapat diukur secara individu.

“Saya mempunyai teman yang tinggal di Gothenburg, Sweden, sebuah perkampungan yang tidak mengamalkan kehidupan berteknologi. Di sana, tiada TV, tiada internet. Penduduknya berbasikal dan tinggal di rumah pangsa. Bahkan teman saya itu ialah seorang ahli akademik terkenal. Hal ini menunjukkan bahawa ukuran kemajuan bangsa bukan pada kereta yang mewah atau rumah yang besar. Sebaliknya daripada rasa kepunyaan atau belonging yang dimiliki oleh sesuatu komuniti,” ujar Zaini Ujang.

Tidak ketinggalan, peranannya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar juga turut dimanfaatkan dengan menghasilkan sajak seperti “Resmi Air” dan “Wakaf Air”.

Kritikan sosial juga turut mengambil ruang dalam sajaknya yang menegur tentang ekosistem politik dan lembangan sungai. Citra bangsa Jepun juga turut diangkat kerana masyarakat Jepun jauh lebih maju, berdisiplin, menghargai alam sekitar, budaya dan bahasa, dan tidak berasa kerdil apabila berhadapan dengan orang besar. Persamaan tersebut perlu dihadirkan melalui puisi meskipun masyarakat Malaysia masih jauh untuk melangkah ke arah itu.

Sajak Zaini Ujang bukan sahaja ditulis dengan gaya penulisan yang unik, bahkan turun dipersembahkan dalam bentuk susun atur aksara yang unik seperti piramid serong, formula arus, hujan yang melimpah dan sebagainya.

Datuk Rahman Shaari dalam ruangan Permata Puisi Dewan Sastera Bil.06/2021 menyatakan, sebahagian puisi Zaini Ujang bercorak liris, bergaya intelektual (yang menyatakan falsafah atau memuatkan pemikiran tentang kehidupan) dan kekal memilih gaya mudah serta pesan demi pesan yang mendekati masyarakat.

Zaini Ujang menegaskan pada akhir bicara, pandangan dan kritikannya melalui puisi sebenarnya bertujuan untuk membetulkan fahaman pihak tertentu yang suka mengambil mudah tentang sesuatu perkara. Baginya, tidak mudah untuk mengubah dengan kuasa dan undang-undang, jadi janganlah mudah berjanji kerana adakala orang yang mencadangkan sesuatu itulah yang akan merosakkannya.

Siaran Bicara Karyawan tersebut boleh ditonton di sini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi