Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIsmail Hashim cuba mencari persoalan asas mengapa penulis menulis. Dalam hal ini, bagaimana pula dengan pengomen di media sosial, yang juga “menulis”?
Ada komen yang memancarkan idea-idea yang membina dan tidak kurang pula menzahirkan cacian dan kritikan.
Dalam pesanannya, Pramoedya Ananta Toer ada menyebut, “Orang yang pandai setinggi langit sekali pun, tapi selama dia tidak menulis, dia akan hilang dalam masyarakat dan sejarah. Menulis adalah pekerjaan ke arah keabadian.”
Menulis dengan hati dikatakan lebih mudah tanpa hambatan. Tulisannya agak ikhlas, tanpa membebankan perasaan mempunyai pengetahuan terhadap objek yang mahu ditulis. Kalau objek untuk kekasih, sudah tentu bicaranya jernih dan ilhamnya lebih laju, seperti air sungai yang mengalir.
Sewaktu sebuah tulisan saya disiarkan dalam suatu ruangan, ada yang mengangkatnya dalam media social Fecabook. Muncul pelbagai komen yang positif dan negatif. Ada komen yang memancarkan idea-idea yang membina dan tidak kurang pula menzahirkan cacian dan kritikan.
Menariknya, setiap komen, baik positif atau negatif mampu memancing ramai pembaca di media sosial itu.
Paling tidak, sesuatu tulisan itu pasti mampu mengubah sudut pandangan pihak tertentu akan isu yang cuba dibangkitkan. Tambahan pula, ajaran Islam mengajarkan agar kita melakukan kebaikan melalui melalui tulisan.
Menurut Edward de Bono dalam Buku Panduan untuk Revolusi Positif (1996), emosi ialah daya penggerak utama untuk seseorang menulis komen di media sosial.
Sebenarnya, emosi jika tidak dikawal oleh minda yang sedar, boleh menimbukan banyak kekacauan. Bacalah berita-berita tragis yang disiarkan dalam akhbar harian arus perdana yang melibatkan perbuatan jenayah yang melampau, didalangi oleh emosi yang meracau tanpa kekangan.
Penjenayah yang membunuh dan memotong jasad manusia yang sempurna sifatnya sama sahaja seperti meminta penjual ayam memotong ayam ke dalam lapan kerat di pasar basah.
Kalau ayam tak apalah, bagi memudahkan isteri di rumah untuk memasak dijadikan lauk. Akan tetapi, bagaimana pula seorang manusia yang dibunuh dan dikerat-kerat tubuhnya? Tidakkah anda terfikir bahawa bangsa Melayu yang terkenal dengan bersopan santun telah berubah fiil dan tingkah lakunya kepada kasar dan ganas? Rupa-rupanya, tidaklah sukar untuk kita memburu seorang pengganas yang simbolik dan kejam, dia rupa-rupanya ada dalam kelompok masyarakat kita sekarang.
Edward de Bono menyarankan agar jadikan emosi sebagai asam garam kehidupan yang boleh membawa kepada keseronokan. Hidup ini tidak menjadi tidak seronok tanpa pembancuhan emosi diri.
Akan tetapi, beringat-ingatlah apabila emosi yang tidak dapat dikawal, cetusan itu akan memusnahkan keseronokan. Belajarlah daripada sejarah Sultan Melaka yang ghairah beristerikan Tun Fatimah yang sudah bersuami, walhal di istana sudah ada permaisuri yang menunggu di kamar.
Untuk mendapatkan Tun Fatimah dengan didalangi Raja Mendeliar dan Si Kitul, Bendahara Tun Mutahir dan menantunya Tun Ali serta ahli keluarganya dibunuh semata-mata difitnah, kononnya mahu menggulingkan pemerintahan Sultan Mahmud. Ambillah iktibar daripada emosi tanpa dapat dikawal dalam cerita ini.
Belajarlah menunggang kuda liar dengan memahami sifat atau tabiat semula jadinya …
Kepada mereka yang mahu menzahirkan ungkapan yang negatif tentang suatu tulisan, cubalah belajar berhenti sejenak dan menarik nafas sedalam mungkin, barulah bertindak menurunkan sebarang komen.
Cuba anda lihat suatu tulisan itu dari perspektif humor bagi mengubah cara anda menjurus fikiran perkara itu. Mungkin ada perbezaan dalam hal-hal yang anda fikirkan sebelum ini.
Belajarlah menunggang kuda liar dengan memahami sifat atau tabiat semula jadinya, bagi membolehkan anda berjaya menunggang kuda tersebut ke tempat yang hendak dituju.
Berbalik kepada penulisan awal ini, salah satu jawapan mengapa kita menulis adalah untuk, jujur atau tidak, menjadikan diri kita terkenal. Janganlah anda menganggap bahawa menjadi artis sahaja anda boleh jadi terkenal.
Kita lihat sahaja beberapa penulis ternama, seperti Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said, SN Usman Awang, SN Abdullah Hussain, SN S. Othman Kelantan, SN Keris Mas, SN Zurinah Hassan, dan Lim Swee Tin (sekadar menyebut beberapa nama) yang menjadi terkenal kerana menulis dan atas sebab itu, menjadi penulis.
Seorang peserta Hari Sastera ke-18, Atriza Umar telah memetik kata-kata Norhayati Ab Rahman bahawa sastera perlu mengekalkan konsepnya yang indah dan berfaedah, iaitu berfungsi sebagai karya seni yang dinikmati, sekali gus menjadi medium penyebaran ilmu, dan bukan menularkan fantasi yang tidak berjejak di dunia nyata.
Ahli falsafah sastera mengatakan bahwa yang penting ialah perutusan atau mesejnya, yang disampaikan melalui alat gaya bahasa dan penyampaian yang tentunya perlu indah.
Imam Al-Ghazali pernah mengatakan, ilmu terpenting ialah bahasa, yang berfungsi untuk memungkinkan seseorang itu mendalami ilmu, iaitu ilmu-ilmu khusus dan ilmu-ilmu umum.
Apabila suatu persoalan ditimbulkan, kupaslah dengan ilmu dan bukan dengan emosi. Hal ini samalah seperti kita menjinakkan kuda liar tadi agar dapat menuju ke destinasi.
______________________________
Ismail Hashim ialah penulis bebas dari Negeri Sembilan. Beliau menulis novel, cerpen, puisi, dan drama radio.