Diterbitkan pada 7 November 2024, 10:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Baling – Semangat menulis cerpen berinspirasikan kearifan tempatan berkobar-kobar dalam kalangan guru apabila mereka berpeluang menghadiri Bengkel Penulisan Cerpen bersama novelis dan cerpenis, Dr. Husairi Hussin.

Beliau yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM) berkongsi pengalaman dalam menghasilkan beberapa buah karya di Dewan Seminar Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baling, semalam.

Dalam perkongsian tersebut, beliau menyatakan kepentingan menulis karya yang mempunyai identiti tempatan.

Perkara ini akan dapat menghasilkan pendokumentasian budaya dan sejarah di Baling, terutamanya.

“Menulis merupakan satu bentuk perjuangan untuk memastikan kearifan tempatan tidak tenggelam. Setiap cerpen yang mengisahkan tentang keunikan Baling akan menjadi khazanah untuk generasi akan datang,” kata beliau dengan penuh inspirasi.

Selain itu, beliau juga berkongsi teknik menulis dengan beberapa contoh cerpen sendiri yang baru dilancarkan dalam buku Kumpulan Cerpen Remaja Pelangi Berwarna Hitam dan Antologi Cerpen Remaja Sebutir Pasir dalam Sepatu.

Karya-karya tersebut berkisar tentang alam sekitar dan kehidupan masyarakat setempat. Karya ini disambut penuh semangat oleh para peserta untuk dijadikan contoh dan rujukan.

Terdahulu, bengkel ini telah dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baling dengan mendapat kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI).

Seramai 50 orang peserta menyertai dan membuka ruang kepada para pendidik untuk terus mengembangkan bakat dalam bidang penulisan sastera, sekali gus menyumbang kepada perkembangan kesusasteraan tempatan.

Menurut seorang peserta, peluang yang diberikan amatlah bermakna kerana telah memberikan pengalaman yang amat berharga kepada setiap peserta untuk mempelajari teknik penulisan cerpen di samping meneroka cara mengangkat elemen budaya dan nilai tempatan ke dalam karya kreatif mereka.

Encik Mohammad Tajudin, Penolong PPD Unit Sumber Teknologi Pendidikan selaku pengarah bengkel tersebut turut meluahkan keterujaan.

“Bengkel ini bukan sahaja mengajar teknik penulisan tetapi turut mengajak para peserta untuk menghargai dan mengekalkan warisan tempatan Baling dalam bentuk yang lebih kreatif, iaitu penulisan,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi