Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengkritik seharusnya bersikap dengan sikap yang lebih berprofesional selain membuat pertimbangan secara rasional terhadap karya-karya yang dikritik bagi menjaga sensitiviti seseorang penulis.
Pensyarah Universiti Malaysia (UM), Profesor Dr. Hashim Ismail berkata, kritikan bukan kerja semberono semata-mata bagi mencari kesalahan kemudian dibahas dengan menggunakan kata-kata keji.
Menurut Hashim, tugas pengkritik perlu beretika selain mengambil pendekatan yang bersistematik bagi menilai mutu seni sesebuah karya.
“Dunia kritikan bukan dunia semberono. Bukan dunia mencari kata-kata keji, mencari kesalahan. Bukan begitu sepatutnya. Dunia kritikan ini murni sebenarnya. Positif. Kita menilai, memberi pandangan untuk membantu pembaca, penulis dan sebagainya.
“Kritikan itu ialah memberi pandangan yang bernilai tentang kualiti baik buruk sesebuah karya. Tetapi tidak sampai mengeji,” katanya sebagai panel Diskusi Buku DBP – APM 2024 yang berlangsung di Universiti Malaya pada 23 Oktober 2024.
Program anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Akademi Pengajian Melayu (APM) itu dipengerusikan oleh Dr. Madiawati Mamat@Mustaffa membicarakan buku Teori dan Kritikan Sastera: Penilaian dan Wacana, yang diselenggarakan oleh Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin.
Buku yang menghimpunkan 10 buah kertas kajian daripada sarjana dan peneliti sastera tanah air itu meliputi kajian termasuklah pembinaan teori sastera Melayu, dinamika teori sastera Melayu dan penerapan teori Barat dalam karya sastera Melayu.
Mengulas lanjut Hashim berkata, latar ke arah penerbitan buku-buku teori dan kritikan sastera dalam negara ini berkembang daripada pemikiran para sarjana sejak tahun 1970 apabila kekuatan pemikiran Melayu dan Islam sering dilupakan, sebaliknya lebih menjurus kepada pendekatan Orientalis yang selalu merendah-rendahkan pemikiran Melayu.
“Di sinilah bermulanya pemikiran supaya kita meneroka, memugar dan memberi kesegaran bagaimana pentingnya bidang ilmu pengajian Melayu itu. Setelah itu kita kembali kepada kekuatan Islam yang terdiri daripada kekuatan Melayu dan Islam.
“Jadi pada tahun 1973 juga dianjurkan teori sastera Islam di mana teori tempatan dan sastera Islam jadi kesedaran,” jelasnya.
Beli buku Teori dan Kritikan Sastera: Penilaian dan Wacana di sini.