24 Oktober 2024, 08:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Bahasa, sastera dan persuratan kebangsaan wajar diperkasa dari semasa ke semasa sebagai wadah terpenting dalam usaha mendukung naratif kepimpinan kerajaan membina negara bangsa masa kini berteraskan MADANI.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Puan Ariza Che Ismail berkata, bagi memastikan keberkesanannya, usaha ini memerlukan sokongan padu semua pihak termasuk kerajaan pusat dan negeri.

“DBP Wilayah Timur amat berharap agar sokongan pucuk pimpinan Kerajaan Negeri terus padu dan mantap bagi memastikan usaha mengangkat martabat peradaban bangsa yang mulia dan bermaruah di dalam negara, mampu tercapai dengan jayanya,” ucapnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Wacana Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2024 dan Pengucapan Puisi Darul Naim di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Puan Ariza Che Ismail berucap pada Majlis Perasmian Wacana Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2024 dan Pengucapan Puisi Darul Naim di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK).

BBK 2024 dan Pengucapan Puisi Darul Naim diadakan bertujuan bagi memupuk rasa cinta dan kasih yang tinggi terhadap bahasa kebangsaan.

Program dianjurkan bersama DBPWT, YIK dan Persatuan Penulis Kelantan (PPK), dirasmikan oleh Pengarah YIK, Zulkifle Ab. Rahman.

Menurut Ariza, kesedaran dan penghayatan terhadap bahasa kebangsaan antara elemen penting dalam usaha melahirkan masyarakat harmoni dan bersatu padu, kerana bahasa merupakan wahana pemersatuan yang ampuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kecintaan terhadap bahasa kebangsaan perlu dimantapkan tanpa mengira latar belakang pendidikan, kaum dan etnik, serta sempadan wilayah bagi membuktikan kesetiaan dan kebanggaan terhadap negara tanah tumpah darah yang kita kasihi ini,” jelasnya.

BBK merupakan kesinambungan daripada “gerakan massa” berkaitan bahasa dan sastera yang bermula dengan nama Minggu Bahasa Kebangsaan, dilancarkan pada 30 Januari 1960. Gerakan ini juga dimantapkan melalui kempen Gerakan Cintailah Bahasa Kita yang dilancarkan pada 11 Disember 1987, Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta, Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) pada tahun 1999 hingga tahun 2004, dan dijenamakan semula sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun 2009.

DBP, ditubuhkan sejak tahun 1956 telah melaksanakan pelbagai strategi dan pendekatan melalui pelbagai program dan aktiviti kebahasaan bagi pengembangan dan pemasyarakatan bahasa Melayu kepada rakyat Malaysia.

Peserta yang mengikuti program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2024 dan Pengucapan Puisi Darul Naim di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Kredit Foto: Anis Salwani/DBPWT
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.