21 Oktober 2024, 09:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Raja Yusoff Ariffin membicarakan sebuah lagi filem Melayu tempatan yang diadaptasi daripada novel yang pernah dijadikan teks sastera sekolah untuk Sijil Pelajaran Malaysia.

Filem Mereka yang Tertewas pula menampilkan sebuah cerita yang lebih berlatarbelakangkan penerapan Islam dalam kehidupan sebuah kelompok masyarakat di Kampung Bukit Setugal.

Selepas filem Memoir Seorang Guru yang diadaptasi daripada novel berjudul serupa karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah, ditayangkan pada penghujung bulan Mei lalu, kini filem Mereka yang Tertewas yang bercorak drama pula akan menemui penonton bermula pada 7 November depan.

Filem arahan Dato’ Zulkeflie M. Osman ini diadapatasi daripada novel berjudul serupa karya Hasanuddin Md. Isa, 63 tahun, anak kelahiran Kuala Atok, Raub, Pahang Darul Makmur. Lakon layarnya ditulis oleh Dato’ Zulkeflie sendiri. Malah, filem ini bukanlah filem pertama adaptasinya. Zulkeflie pernah mengadaptasi novel Mira Edora karya Khadijah Hashim pada tahun 1990.

Novel Mereka yang Tertewas pertama kali diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1989. Novel yang setebal 211 halaman ini memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam 1988 dan pernah dijadikan teks sastera sekolah untuk Sijil Pelajaran Malaysia dari tahun 1991 hingga 2001.

Menurut panel penilai Hadiah Sastera Berunsur Islam 1988, sebenarnya tema novel ini agak biasa, tetapi pengarang memperlihatkan keberkesanannya yang agak luar biasa dengan mempamerkan perkembangan perwatakan dan gaya bahasa yang hidup. Hal itu pula sesuai dengan latar dan perwatakan yang diketengahkan. Perkembangan ceritanya amat berkesan kerana setiap liku plot memperlihatkan titik peralihan dalam perincian persoalan dan perwatakan.

Filem Mereka yang Tertewas pula menampilkan sebuah cerita yang lebih berlatarbelakangkan penerapan Islam dalam kehidupan sebuah kelompok masyarakat di Kampung Bukit Setugal.

2. Novel karya Hasanuddin Md. Isa ini pernah dijadikan teks sastera sekolah untuk Sijil Pelajaran Malaysia (1991 – 2001).

Tapa yang dahulunya hidup sebagai orang miskin di Kampung Padi Setempat, beralih arah lalu berhijrah ke tempat lain setelah maruah diri dan keluarganya dicemuh serta dicaci apabila ingin mengahwini Mimah.

Lantas, Tapa mengembara mencari penghidupan yang baharu, serta mendalami ilmu agama untuk melupakan masa silamnya. Dia berhijrah ke Kampung Bukit Setugal dan menikahi Jemilah, anak murid tok gurunya, serta menyebarkan syiar Islam.

Walau bagaimanapun, kesucian hati Tapa atau dikenali sebagai Lebai Pa, disalahertikan oleh penduduk kampung tersebut kerana mereka menganggap dia telah menyebarkan ajaran sesat, dan ingin berkuasa di kampung tersebut.

Lebai Pa berusaha untuk mengembalikan pegangan agama penduduk Kampung Bukit Setugal yang semakin goyah dengan hiburan dunia sehinggakan kebanyakan anak muda kampung tersebut terjebak dengan perkara maksiat.

Ternyata usaha Lebai Pa tidak sia-sia apabila mendapat sokongan Uda Puat, Mat Yasin dan Pudin. Meskipun pelbagai tohmahan dilemparkan untuk menghalang dia menyebarkan agama Islam, tetapi pegangan hidupnya yang banyak mencontohi sikap Rasulullah SAW dalam berdakwah menyebabkan Lebai Pa lebih bersemangat dan bersabar.

Filem Mereka yang Tertewas terbitan Tujuh Pelangi Maju Sdn. Bhd. ini dibintangi oleh ramai para pelakon handalan, diketuai oleh Zaidi Omar yang memegang watak Lebai Pa, bersama-sama Fiza Halim sebagai Jemilah, Adam Shahz (Pudin), Fad Anuar, Sherie Merlis, Mubarak Majid, Dato’ Hilal Azman, Ruzaidi Abd. Rahman, dan Haji Zaini Hassan.

______________________________

Raja Yusoff Ariffin merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), mantan rakan Tajulmedia Melayu dan mantan ahli Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Raja Yusoff pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Kredit Foto: Mega Movie dan Tujuh Pelangi Maju
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.