16 Oktober 2024, 07:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu Puisi patriotik berperanan dalam usaha membina identiti nasional, selain meraikan kepelbagaian budaya dan menyemai semangat rasa kasih sayang kepada negara.

Menyedari kepentingan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), DBP Wilayah Timur (DBPWT), Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) menganjurkan program Pengucapan Puisi Patriotik 2024.

Program yang diadakan di Dataran Bandaraya Kota Bharu, Kelantan itu dirasmikan oleh Ketua Unit (Sastera) DBPWT, YBrs. Encik Muhamad Ikhram Fadhly Hussin yang mewakili Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd. Salahuddin Mohamed.

Muhamad Ikhram Fadhly berkata, puisi bertemakan patriotisme dapat mengukuhkan identiti serta semangat kebangsaan sekali gus menyemai nilai murni dan rasa kasih sayang dalam kalangan masyarakat terhadap negara dan bahasa.

“Pengucapan puisi dengan bahasa yang indah dan penuh emosi dapat membangkitkan rasa cinta yang mendalam pembaca dan pendengar kepada tanah air tercinta,” katanya dalam ucapan perasmian program tersebut pada 13 September 2024.

Menurut Muhamad Ikhram Fadhly, selain menyemai semangat patriotik, program tersebut bertujuan untuk membuka ruang kepada penulis muda menunjukkan bakat masing-masing dalam usaha menyampaikan kecintaan mereka kepada negara dan bahasa melalui puisi.

“Penulis dapat memartabatkan bahasa dan sastera Melayu melalui penggunaan yang kreatif dan berkualiti dalam puisi, sekali gus memelihara warisan bahasa ini. Melalui karya sastera, penulis berfungsi menggalakkan pembaca untuk berasa bangga dan mencintai tanah air mereka,” katanya.

Hadir sama memeriahkan program tersebut ialah Sasterawan Negeri Kelantan, YBhg. Sdr. Rosli K Matari dan Ketua 1 GEMA, YBrs. Encik Zainal Abidin Muhamad.

Ikhram turut mengambil bahagian bersama-sama kira-kira 10 peserta yang terdiri daripada penyair Kelantan dalam persembahan pengucapan puisi.

Selain pengucapan puisi, persembahan nyanyian lagu puisi, lagu daerah, wayang kulit, dan dikir barat bertemakan patriotik turut diadakan.

Sementara itu, dalam usaha melestarikan sastera Kelantan, beliau memaklumkan beberapa program besar yang lain akan diadakan dalam masa terdekat, termasuk Festival Teater Kanak-kanak, Seminar Pemikiran Sasterawan Kelantan SM Zakir, Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan, dan Pengucapan Puisi Darul Naim.

Ketua Unit (Sastera) DBPWT, Encik Muhamad Ikhram Fadhly Hussin (kiri) menerima cenderahati yang disampaikan oleh Ketua 1 GEMA, Encik Zainal Abidin Muhamad selepas majlis perasmian program Pengucapan Puisi Patriotik 2024.
Kredit Foto: Zuharman Mohammad Nor
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.