Oleh Marsli N.O
Diterbitkan pada 24 September 2024, 15:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Adakah mutu pemikiran karya seseorang perlu dinilai daripada kelayakan pendidikannya? Marsli N.O bertanya sekali gus menampilkan beberapa hujah.

Di luar negara khasnya Barat, ramai selebriti terkenal mempunyai pengalaman yang banyak dijadikan sebagai suri teladan ataupun jurucakap untuk sesebuah institusi pendidikan atau universiti.

Pelantikan penyanyi popular tanah air, Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai pakar bidang di Universiti Malaya Centre for Continuing Education (UMCCed) dengan tanggungjawab teras dalam Life Long Learning ataupun dalam bahasa Melayunya, Pembelajaran Sepanjang Hayat, telah menjadi perdebatan hangat dalam kalangan warga maya baru-baru ini.

Soal kelayakan pendidikan di universiti atau ijazah menjadi titik persoalan utama mereka. Apakah kelayakan sebenar yang melayakkan Siti Nurhaliza dilantik sebagai pakar bidang?

Kebanyakan warga maya berpendapat bahawa penyanyi nombor satu tanah air itu tidak memiliki kelayakan untuk bergelar pakar dari segi ijazah dan hanya berkelulusan Pangkat 2 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimana seorang yang tidak pernah mendapat pendidikan di universiti dan memiliki sebarang ijazah diberikan gelar dan kedudukan jawatan sedemikian rupa?

Adakah hanya kerana pencapaian dalam bidangnya, tanpa sebarang ijazah yang diperolehinya melalui pendidikan di universiti boleh selain kelayakan peribadinya dapat dinobatkan sebagai “pakar”?

Demikianlah antara hujah warga maya yang mempertikaikannya.

Pandangan negatif warga maya begini muncul kerana menurut ukuran mereka (malah, menjadi penerimaan umum masa kini), kelayakan seseorang pada tahap yang tertinggi mestilah kerana pendidikan di universiti dan memiliki ijazah setaraf PhD. Hanya melalui tolok ukur ini kelayakan seseorang dianggap benar-benar teruji, diakui dan boleh dipercayai.

Kepada rakan seperjuangan seperti penyanyi Azharina, menerusi temu bual bersama-sama OhBulan! (28 Jun 2024), Siti ialah seorang penyanyi yang terkenal dan lagenda. Beliau dipilih kerana mempunyai kepakaran dalam bidang seni suara dan telah menjadi inspirasi buat seluruh anak seni. Baginya, Siti Nurhaliza mempunyai kelayakan.

Pandangan Azharina ini disokong oleh Abdullah Pak Lah selaku bekas pengurus Centre for Continuing Education Universiti Tun Abdul Razak menerusi laman facebooknya, tampil menjelaskan bahawa pelantikan Siti Nurhaliza sebagai pakar di UMCCed tidak ada kaitan dengan keputusan SPM dan ijazah daripada universiti. Perlantikan itu bersandarkan pengalaman luas penyanyi itu dalam industri muzik.

Di luar negara khasnya Barat, ramai selebriti terkenal mempunyai pengalaman yang banyak dijadikan sebagai suri teladan ataupun jurucakap untuk sesebuah institusi pendidikan atau universiti.

Seseorang yang menamakan dirinya sebagai “Merak Jalanan” dalam tulisannya dalam Sinar Harian, 1 Julai 2024 memberikan contoh supermodel terkenal dunia Tyra Banks. Tyra pernah menjadi pensyarah jemputan bagi sebuah universiti terkemuka di negara Barat.

Alasan universiti itu menjadikan Tyra sebagai pensyarah jemputan mereka adalah kerana pengalamannya yang amat berharga dalam industri peragaan, seni, perniagaan, dan media. Pengalaman beliau itu dijadikan sebagai sukatan pelajaran kepada mahasiswa yang bakal melangkah ke alam pekerjaan.

Tidak ketinggalan, salah seorang ahli kumpulan K-pop terkenal dunia, G-Dragon dilantik sebagai profesor jemputan selama dua tahun di Institut Lanjutan Sains dan Teknologi Korea (KAIST).

Di sebalik semua kekecohan tersebut, Siti Nurhaliza memilih tindakan bijak tidak memberikan sebarang reaksi atau komentar.

Memang demikianlah sikap dan cara memandang kebolehan seseorang dalam kalangan masyarakat kita masa kini, malah dalam jabatan serta institusi awam yang melibatkan pemerintah juga. Kebolehan seseorang itu diukur dengan cara di institusi manakah dia mendapat pendidikan rasmi dan apakah ijazah yang dimilikinya. Jika hal itu tidak dimilikinya, kebolehan dan pengalamannya, betapa tinggi pun, akan ada pihak yang mempertikaikannya.

Jika dirinya mahu dijemput untuk sesuatu acara, hal ini jugalah yang akan ditanya atau setelah memberikan sesuatu khidmat untuk sesuatu acara atau kegiatan yang membolehkan dirinya dibayar ganjaran sagu hati, nilai bayaran sagu hati tersebut juga dibayar berdasarkan sijil, diploma atau ijazah yang dia miliki.

Adakah kerana situasi yang semakin ketara dan tular yang mengukur serta menilai seseorang pengkarya berdasarkan ijazah dan universiti mana dia belajar akan menjadikan seseorang pengkarya yang tidak memiliki ijazah dan tidak belajar di universiti perlu berasa sedih dan membentak marah? Tentu sahaja tidak.

Dalam kegiatan sastera tanah air juga cara dan resam menilai kebolehan seseorang secara demikian kelihatannya kini ikut sama berlaku. Cara menilai kebolehan seseorang penulis atau pengkarya seperti era ketokohan seorang Usman Awang, berdasarkan bakat, kebolehan dan pengalaman sasteranya yang unggul sudah kian dipinggirkan.

Sebuah institusi yang bertanggungjawab memayungi kegiatan dan kemajuan bahasa dan sastera negara, baru-baru ini sebagai contohnya, ketika menganjurkan satu generasi baharu para munsyinya mewajibkan mereka mestilah daripada kalangan yang memiliki ijazah dari universiti tertentu.

Tentu sahaja setiap pihak atau institusi mana pun berhak untuk memilih dan menentukan siapa, apa dan kalangan mana yang ingin dilibatkan dalam sebarang kegiatan atau acara anjuran mereka.

Namun begitu, apabila cara melihat dan menilai seseorang pengkarya masa kini disandarkan sepenuhnya pada ijazah dan universiti mana dia pernah belajar, sementara yang hanya mengandaikan pengalaman, karya dan ilmu secara alamiah dipinggirkan secara langsung atau tidak, di sinilah berlakunya kesenjangan dan pengkastaan dalam kegiatan seni, budaya dan sastera kita.

Mahu tidak mahu, peristiwa pertikaian para warga maya berhubung wajar dan tidaknya lantikan Siti Nurhaliza sebagai pakar bidang ini, kembali menggaet ingatan sendiri terhadap apa-apa yang pernah dialami pada masa lalu.

Puluhan tahun dahulu, ketika sedang terkial-kial mencari ruang kukuh untuk berdiri sebagai penulis, kerana tidak belajar atau memasuki mana-mana universiti, diri disindir perli sebagai seorang yang “bercita-cita tinggi tetapi tidak berilmu”. Malah, beberapa bulan sebelum tular isu Siti Nurhaliza ini, ketika menerima e-mel yang dikirimkan oleh seseorang kepada saya, saya membacanya dengan hati lapang dan kepala dingin.

Seseorang ini memberi tahu betapa dia tidak pernah lepas mengikuti tulisan saya yang disiarkan di suatu portal maya. Namun tambah seseorang ini, “Pendapat saudara pasti akan lebih bermakna dan didengari jika saudara memiliki sesuatu ijazah dari universiti tertentu.”

Demikian seseorang yang mengaku sentiasa mengikuti tulisan saya di suatu portal maya ini menyatakan pandangannya kepada saya lewat e-mel. Saya tidak berasa tersinggung atau menaruh sebarang perasaan negatif terhadapnya.

Apa yang saya faham, seseorang ini berkata demikian kerana pengalaman pahit yang dialaminya sendiri pada masa lalu. Ketika masih bertugas di sebuah syarikat dan ketika berkarya, seseorang ini mengaku sering dicemuh dan dihina kerana tidak memiliki ijazah universiti.

Untuk memahami latar pengalaman seseorang yang mengutuskan e-mel nasihat kepada saya yang sedemikian itu, saya tidak ingin kembali menghujat atau menghakimi benar atau salah pendapatnya. Sebagai pembaca dan manusia merdeka, dia berhak berkata dan berpendapat apa-apa sahaja. Saya hormati pandangannya.

Kenyataannya, adakah kerana situasi yang semakin ketara dan tular yang mengukur serta menilai seseorang pengkarya berdasarkan ijazah dan universiti mana dia belajar akan menjadikan seseorang pengkarya yang tidak memiliki ijazah dan tidak belajar di universiti perlu berasa sedih dan membentak marah?

Tentu sahaja tidak. Kepada seorang yang punya rasa yakin dan percaya diri yang kuat, sedar akan kelemahan dirinya sendiri dan sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan-kelemahan sendiri, persoalan dirinya dipertikaikan kerana tidak memiliki ijazah dan menerima pendidikan universiti atau tidak bukan sangat mendatangkan rasa terkilan atau terganggu kepada jiwa dan perasaannya.

Ketika menulis atau berkarya, soal berijazah atau tidak dan berasa kurang yakin diri kerana tidak memiliki ijazah universiti tidak pernah mengganggu fikiran saya.

Malah, ketika diberitahu sebagai manusia yang “bercita-cita tinggi tetapi ilmunya tiada” puluhan tahun dahulu pun tidak menjadikan saya tersinggung, sedih dan kecewa. Sebaliknya kerananya, saya malah memilih untuk kian menggigihkan usaha menimpal setiap ruang yang dirasakan kosong di dalam diri dan akal dengan pelbagai cara.

Tentu juga saya tidak berasa gusar dan tersentuh mengenainya kerana tujuan saya menulis bukan kerana inginkan pengakuan atau penobatan sesiapa atau mana-mana pihak pun. Jauh juga daripada fikir dan niat diri untuk saya dengan rasa pongah menunjuk-nunjuk sesuatu yang sedikit kepada khalayak. Sebagai peribadi, saya hanya ingin berkarya menurut apa adanya dan bersedia menerima apa-apa sahaja kelebihan serta kekurangan diri serta karya sendiri.

Cukuplah saya diberikan daya dan kemampuan untuk berfikir dan terus menulis oleh Allah SWT. Selain itu, tidak ingin saya fikirkan dan dambakan.

Saya hanya ingin berkata dan menyatakan sesuatu melalui tulisan. Tidak mengapa jika saya dikatakan penulis yang tidak berijazah dari universiti. Hal yang penting, saya berkata sesuatu yang saya anggap benar secara saya, jujur dan tidak mencuri milik orang. Dengan harapan semoga tetap ada sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada sesiapa untuk membaca tulisan saya, meskipun sedikit.

Cuma itu.

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected].

Kredit Foto: Mikael Kristenson/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi