23 September 2024, 19:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johari A. Julaihi mengutus sekajang surat dari Dunia Bawah Lantai.

Saya tertanya-tanya: perlukah para penyelidik di Dunia Bawah Lantai ini mempunyai buku kajian masing-masing, barulah boleh digelar sebagai seorang penyelidik?

Rumah No.75,
Taman Bunga Kalas,
12345, Dunia Bulus-Bulus.

10 September 2024.

Ke hadapan sahabat-sahabat saya, si comel Jo-ed, Kechik dan Yunin. Apa khabar dirimu bertiga? Adakah kalian kian gendut tubuhnya? Saya di sini mengharapkan kalian bertiga, segar-bugar hendaknya.

Sahabat yang dikasihi,

……….Lama benar kita tidak berbicara. Rindu rasanya, bukan alang-kepalang. Sepanjang diri saya berada di Dunia Bawah Lantai ini, ada kisah-kisah yang berlaku yang ingin saya ceritakan kepada kalian. Oh, ya! Pertama-tama, saya menjawab pertanyaan kalian pada surat yang lepas berkenaan dengan penyelidikan yang saya jalankan, ada saya sertakan gambar untuk kalian lihat.

……….Gambar tersebut ialah gambar Trichoderma pada media tiruan. Dalam bidang patologi tumbuh-tumbuhan, Trichoderma ialah genus kulat daripada keluarga Hypocreaceae. Kulat ini diketahui secara meluas memiliki keupayaan sebagai kawalan biologi untuk menentang fitopatogen serta mempunyai potensi untuk menggalakkan pertumbuhan tanaman jika ada dalam tanah. Kalian lihat gambar seterusnya.

……….Gambar itu ialah gambar bagaimana ujian in-vitro dijalankan untuk melihat bagaimana kesan Trichoderma terhadap Fusarium. Oh, ya! Jangan pula kalian keliru. Kedua-duanya ialah Trichoderma, spesies yang sama meskipun yang satu berwarna hijau dan satu lagi putih kapas. Ia tetap Trichoderma asperellum. Kalian ingin tahu, ternyata kedua-duanya mempunyai keupayaan yang sama. Kedua-duanya berkesan mengurangkan dan membantutkan penghasilan spora Fusarium dan pertumbuhan miselianya. Ujian ini berjaya. Dan, saya harap penjelasan ini telah menjawab persoalan kalian yang lepas.

Sahabat-sahabat yang disayangi.

……….Ini cerita yang baru berlaku. Beberapa hari lepas, saya menghadiri satu simposium. Simposiumnya sangat bagus. Melimpah-limpah dengan ilmu serta perbincangan dalam kalangan penyelidik senior dan junior di Dunia Bawah Lantai ini. Sungguh seronok. Namun, ada suatu sensasi yang berpusar-pusar membuatkan saya berfikir-fikir, iaitu ungkapan yang mengatakan: para penyelidik perlu menerbitkan buku kajian solo supaya boleh dikenali sebagai penyelidik. Jika tiada buku sendiri, maka, penyelidik itu tidak sesuai, tidak pantas digelar sebagai penyelidik, tetapi sebagai “penyel”. Lalu, serentak dengan itu, saya tertanya-tanya: perlukah para penyelidik di Dunia Bawah Lantai ini mempunyai buku kajian masing-masing, barulah boleh digelar sebagai seorang penyelidik?

……….Itulah pandangannya dan saya hormati. Maklumlah pandangan itu datangnya daripada seorang pakar. Namun, pandangan saya pula sebaliknya. Para penyelidik, jika tiada buku kajian sendiri pun, mereka sudah banyak menghasilkan jurnal-jurnal. Bahkan, jurnal mereka benar-benar berkualiti sehingga ada yang memenangi anugerah dan sayembara. Bukankah itu pun sudah menunjukkan yang pencapaian mengagumkan mereka di Dunia Bawah Lantai ini? Adakah hal itu tidak mencukupi sehingga mereka hanya digelar sebagai “penyel” atas alasan tiada buku sendiri? Aneh, bukan?

Sahabat-sahabat saya.

……….Cemburu saya dengan mereka yang berada di Dunia Manusia. Mereka lebih terbuka. Tidak seperti di Dunia Bawah Lantai ini. Saya ada membaca karya-karya dari Dunia Manusia. Dan saya ada juga mengenali beberapa individu seperti Benedict Samling, Stefanie Kaso dan Stephanie Juanita yang tiada buku solo tetapi pencapaian mereka luar biasa sungguh. Mereka memenangi beberapa anugerah tersohor dan sayembara-sayembara yang dianjurkan. Tidak ketinggalan juga Airul Affendi Ali, Adie Abdul Gani, Mohd Fadzly Miswan, Nabillah Bolhassan, dan yang lain-lainnya. Meskipun tiada menerbitkan buku solo, mereka tetap menghasilkan sesuatu untuk dihayati oleh para manusia. Tiada pun di Dunia Manusia bertelingkah tentang hal itu. Bukankah bagus sebegitu. Ah, orang-orang di Dunia Bawah Lantai, memang aneh-aneh!

Sahabatku yang dikasihi sentiasa,

……….Cuba kita andaikan penyelidik di Dunia Bawah Lantai ini seperti Trichoderma. Dalam gambar, kalian dapat lihat ada yang berwarna hijau dek penghasilan spora. Ada yang hanya putih. Sungguhpun berbeza, Trichoderma itu mempunyai keupayaan menentang fitopatogen. Ada spora atau tiada spora, mereka tetap mempunyai keupayaan tersebut. Ada potensi menguja. Itu yang kita mahu. Dan, bukan bermaksud jika Trichoderma ini tiada spora, lalu kita mengubah nama kulat berfilamen itu kepada “Tricho”. Apa-apa pun, ia tetap genus Trichoderma.

……….Ada satu hal juga saya fikirkan tentang ulah segelintir penyelidik di Dunia Bawah Lantai ini. Hijau memang menyerlah. Tidak dapat dinafikan. Kehijauan Trichoderma itu menunjukkan bahawa spora yang memberangsangkan sehingga ramai yang akan memerhati dan terpikat. Namun, ada kalanya kita terlupa pada Trichoderma yang kurang menghasilkan spora, sehingga ada yang menjeling sahaja sungguhpun pencapaian mereka menakjubkan. Bahkan, ada yang tidak memandang langsung disebabkan tiadanya warna hijau. Lalu, sahabat-sahabat saya, pada fikiran kalian bertiga, adilkah jika kita mengabaikan Trichoderma yang putih itu? Dan fokus kepada Trichoderma hijau marak itu sahaja?

……….Begitulah segelintir penyelidik di Dunia Bawah Lantai ini. Mereka punya pandangan sebegitu. Bukankah molek jika kita meraikan semua penyelidik?

Sahabat-sahabat saya,

……….Di Dunia Bawah Lantai ini, saya sering juga mendengar para penyelidik bertelagah tentang beberapa isu. Sewaktu saya berada di simposium itu pun, masih juga, ada yang membicarakan hal yang berkaitan dengannya. Salah satunya berkenaan dengan panggilan Fusarium graminiearum atau Gibberella zeae. Apa beza kedua-duanya? Tanya mereka.

……….G. zeae merujuk patogen yang telah lengkap kitar hidupnya, iaitu teleomorph. Manakala F. graminiearum ialah patogen yang kitar hidupnya tidak lengkap yang dikenali sebagai anamorph. Fusarium atau Gibberella, dalam bidang patologi tumbuh-tumbuhan, merujuk satu sahaja fitopatogen, yang sama. Bagi saya, tidaklah kisah apa-apa pun peringkat kitar hidupnya, jika disebut Fusariumkah, Gibberellakah, mana-mana sahaja asalkan hal itu difahami konteksnya. Tetapi penyelidik-penyelidik di sini, isu itu berterusan dibangkitkan.

……….Bukan itu sahaja, ada juga perkara yang melibatkan tentang isu berkumpul di dalam makmal atau berdiri sendiri di luar; kajian merapu dan kajian tidak merapu; penyelidik senior dan penyelidik junior; penyelidik perlu ada buku, jika tidak, mereka itu “penyel”-itu semua perkara yang membuatkan para penyelidik di dunia ini mengasah lidah.

……….Dan saya pula, saya cuma berharap mereka telah menemui kata putusnya, menemui jalan penyelesaiannya. Dan, saya sungguh berharap, usahlah perkara-perkara yang sama ini dibawa ke masa-masa hadapan. Sepuluh, dua puluh tahun, lima puluh tahun atau berubah abad – isu itu tidak lagi dibangkitkan semula.

Sahabat-sahabat saya yang saya rindui,

……….Sudah lewat juga. Saya fikir, di sini sahaja coretan saya. Jika ada kelapangan, akan saya kirimkan lagi surat buat kalian. Semoga kita bertemu di lain masa. Salam sayang dan rindu saya buat kalian bertiga di Dunia Bulus-Bulus.

Sahabatmu,

 

Johari A. Julaihi

_________________________

Johari A. Julaihi berasal dari Simunjan, Sarawak. Berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian selain memiliki Sijil Pertanian (Pengurusan Penternakan). Beberapa karya seperti sajak, cerpen dan artikel telah disiarkan dalam akhbar Suara Sarawak, Utusan Sarawak; majalah Tunas Cipta, Dewan Kosmik, Agro-Kenyalang, Kayu Api (Unggun Creative); pelantar digital JendelaDBP, Wadah, Riau Sastra, dan Eksentrika.

Kredit Foto: K. Mitch Hodge/Unsplash dan Johari A. Julaihi
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.