29 Ogos 2024, 08:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Zuharman Mohammad Nor menitipkan belasungkawa buat sasterawan yang suka merendah diri, Allahyarham Darma Mohammad.

Betapa mulia, jujur dan ikhlasnya Allahyarham dalam berkarya.

Pagi 20 Ogos 2024 bersamaan hari Selasa 15 Safar 1446 Hijriah, ranah sastera Kelantan dikejutkan dengan pemergian sasterawan Darma Mohammad ke alam abadi. Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 9.00 pagi di sisi keluarga di Klinik Kesihatan Pasir Mas ketika menerima rawatan.

Pemergian tidak diduga itu meruntun seluruh jiwa barisan penulis dan aktivis, termasuklah peminat sastera tanah air. Mana tidaknya, kira-kira seminggu sebelum pemergiannya, Allahyarham sempat hadir pada Majlis Sambutan 25 Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur yang diadakan di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan.

Sepanjang majlis berlangsung, beliau kelihatan sihat dan ceria beramah mesra dengan rakan-rakan penulis. Tiada tanda yang ikon pentas sastera Kelantan itu berdepan dengan masalah kesihatan. Namun ketentuan al-Khaliq, tiba masa janji-Nya tidak berubah walau sesaat. Demikian hakikat lahir dan hidup setiap yang bernama makhluk.

Allahyarham dikatakan tidak menghidap sebarang penyakit serius kecuali darah tinggi dan buah pinggang yang masih pada tahap awal. Terlanjur dibawa ke klinik kesihatan pada pagi hari tersebut kerana mengadu sesak nafas.

Allahyarham merupakan antara penulis 1970-an yang muncul daripada kumpulan penuntut universiti pada masa itu. Lahir pada 20 Mac 1948 di Pasir Mas Kelantan. Sejalur dekad penglibatannya dalam dunia penulisan telah menghasilkan banyak karya untuk tatapan umum. Ideanya sarat dengan unsur Islamik sehingga dikenali sebagai penyair yang lebih dekat pada tradisi sufi.

Jasa serta sumbangannya terhadap perkembangan sastera tanah air sememangnya tidak dapat dinafikan sejak kemunculannya pada era 1970-an. Antara karyanya termasuklah kumpulan puisi Gernyut Nafas, Janjang Iktikaf, Percikan Pelangi, Rintik-rintik Huruf, Ufuk Fikir, dan Jaras Cinta Rumi. Karya terbaharunya berjudul Kerdip menitipkan pesan-pesan hikmah ulama besar Turki, Bediuzzaman Said Nursi, diterbitkan pada tahun lepas.

Manakala sumbangan penting lain ialah, beliau bersama-sama dengan penulis kelahiran Singapura tetapi berkarya di negara matahari terbit (Jepun), Leyla Shuri, menterjemahkan 400 haiku Basho melalui buku Sukma Basho dalam Haiku (2012) terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Walaupun Darma sudah tiada, tetapi pencinta sastera tidak kesepian dengan karya-karya yang ditinggalkan. Karyanya tetap malar segar, menjadi khazanah warisan zaman. Boleh dibaca, ditelaah sampai bila-bila, sehingga hayat bertemu noktah.

Akan tetapi, satu kesan yang barangkali tidak mudah untuk dirawat atas kehilangan susuk yang amat disegani ini ialah sifat dan sikapnya yang rendah diri. Baik hati dan mulia. Keluhuran ini sememangnya tidak asing bagi masyarakat sastera atau penyair di negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Bekas pengarang ruangan Sastera dan Budaya Berita Harian, Nazmi Yaacob, selepas mengucap salam takziah atas berpulangnya Allahyarham ke rahmatullah, pertama yang diingatinya ialah perihal kebaikan Allahyarham. Beliau menzahirkan perkara itu melalui titipan ringkasnya menerusi laman sosial Facebook dengan berkata, “Pak Darma seorang pengarang sastera yang sangat baik hati dan pendiam.”

Sorotan beberapa kenalan yang agak rapat dengan Allahyarham semasa hayatnya tidak menolak leluhur itu. Memang demikianlah sifat dan sikap Allahyarham. Bersantun lagi beradab. Maka tidak hairanlah jika sepanjang hayatnya, Allahyarham menjadi idola yang disegani serta dihormati oleh segenap lapisan pencinta seni sastera.

Seorang penyair dan pengkritik sastera dari Kelantan, Salman Sulaiman menyifatkan Allahyarham penyair yang tawaduk selain memiliki keunikan tersendiri. Keberadaannya di persada sastera tanah air bukan untuk dibangga-banggakan, meskipun sebaliknya dunia tersebut berbangga mempunyai penyair atau penulis bernama Darma Mohammad.

Salman merasai realiti itu selepas menulis satu artikel mengenai kewibawaan serta kelayakan Allahyarham untuk calon Sasterawan Negeri Kelantan dan SEA Write Award. Saya percaya, Salman terlebih dahulu telah membuat kajian mendalam sebelum menyiapkan artikel berkenaan, sehingga menemui fakta bahawa Darma Mohammad sesungguhnya layak untuk anugerah tersebut.

Artikel berkenaan berjudul Darma Mohammad Untuk SEA Write Award tersiar dalam Dewan Sastera JendelaDBP dan luas tersebar di laman sosial. Menyedari perkara itu, Allahyarham pantas menghantar maklum balas dengan komennya yang boleh dilihat, dibaca oleh semua warganet. Secara jujur, komennya menghormati tulisan Salman, tetapi dari sisi hamba, beliau meletakkan dirinya jauh ke bawah dan tidak layak untuk anugerah sebesar itu.

“Alhamdulillah. Terima kasih memetik nama saya. Pesan saya kepada Sdr. Salman Sulaiman, abaikan sahaja segalanya. Saya tidak layak pun. Camkan kata-kata ini. Wassalam.”

Demikian komentar Allahyarham pada ruang komen Facebook milik Salman Sulaiman. Komentarnya menunjukkan bahawa Allahyarham tidak pernah bermimpi, jauh sekali untuk memburu sebarang hadiah atau anugerah sepanjang keterlibatannya dalam dunia tersebut. Betapa mulia, jujur dan ikhlasnya Allahyarham dalam berkarya.

Allahyarham tidak pernah mendabik dada mengagung-agungkan karyanya sendiri.

Beberapa tempoh sebelum ini pun, rata-rata penulis dan penggiat sastera Kelantan sering menyebut-nyebut Darma Mohammad sepatutnya sudah lama dinobat sebagai penerima anugerah tersebut. Namun begitu, mungkin takdir belum menyebelahi dekad perjalanannya untuk itu. Langsung beliau terlepas daripada pencalonan. Atau barangkali ada sebab musabab lain yang tidak semua orang tahu.

Pengerusi Liga Penulis Kelantan (LPK), Mohd. Dahri Zakaria antara kenalan dekat yang kerap bertemu Allahyarham setiap kali pulang ke kampung di Kelantan. Beliau mengenali Allahyarham sebagai tidak banyak cakap. Dalam erti kata lain, pendiam dan tidak gemar bercakap pada hal-hal yang tidak berkaitan.

Walaupun begitu, Allahyarham sangat menghormati dan mesra dengan rakan-rakan penulis terutama dalam usaha meraikan para penulis muda dan pemula. Satu sisi lain Allahyarham, beliau jarang-jarang sekali melepaskan peluang untuk hadir bagi memeriahkan mana-mana majlis sastera walau tidak mengambil apa-apa bahagian sekalipun.

Allahyarham Sasterawan Darma Mohammad (kiri) dan Pengerusi Liga Penulis Kelantan (LPK), Mohd. Dahri Zakaria.

Penulis sendiri – walau tidak banyak – sempat juga merakamkan sedikit pengalaman tentang perwatakan Allahyarham. Benar, itulah seni keterampilan Allahyarham. Rautnya sentiasa tersenyum. Ramah dan mesra dengan semua orang. Apabila bercakap, suaranya rendah sekali. Tutur katanya sangat tertib, melengkapkan karakternya sebagai seorang hamba Allah yang sangat berbudi bahasa.

Suatu pengajaran berkesan menyentuh jiwa Mohd. Dahri sepanjang mengenali Allahyarham ialah, beliau tidak pernah mendabik dada mengagung-agungkan karyanya sendiri. Beliau juga selalu meletakkan karyanya sebagai biasa-biasa sahaja. Jika ada yang mengangkat, memuji-muji kehebatannya, cepat-cepat Allahyarham menidakkan dengan berkata, “Tak ada yang hebat. Orang lain lebih hebat. Di luar sana ramai lagi yang hebat-hebat.”

Malah, jelas Mohd. Dahri, Allahyarham tidak pernah memandang enteng, memperkecil karya-karya orang lain. Jauh sekali kalau untuk mengkritik karya ini tidak bagus, karya itu tidak berkualiti. Penulis ini, itu, tidak pandai menulis atau sebagainya.

Segala gambaran yang dizahirkan itu ternyata, garis dekad Allahyarham tidak pernah hanyut dalam orbit bayangan fantasi. Sebaliknya, sentiasa berada dalam keinsafan dan kesedaran. Justeru, mengingatkan saya pada kata-kata seorang teman, “Hidup ini mesti jujur. Buat sesuatu perkara biar ikhlas. Jangan sesekali cuba untuk masuk bakul angkat sendiri. Tidak perlu mendabik dada mengatakan kita hebat. Itu mainan perasaan. Sekadar khayalan diri ditimpa perasan. Hakikat sebenar hebat kita ialah apabila ada orang lain yang membicarakan kehebatan kita.”

Beberapa sorotan yang sempat ditelusuri itu menjadi satu ekspresi dalam usaha mengenali Allahyarham sasterawan Darma Mohammad. Justeru, secara peribadi, kemasyhuran Allahyarham bukan kerana kemampanan atau kehebatan karya-karyanya sahaja, tetapi sifat dan sikapnya. Hari ini Darma Mohammad sudah tiada. Beliau telah pergi buat selama-lamanya.

Benar, Allahyarham pergi meninggalkan banyak khazanah (karya) untuk dibaca dan dirujuk. Segalanya itu sudah tentu bermanfaat untuk anak bangsa. Namun begitu, kita kehilangan momen leluhurnya yang tidak mudah untuk ditemui, bahkan sukar dicari ganti.

Damailah Pak Darma di alam sana. Semoga berada di bawah naungan kasih sayang-Nya. Suatu hari tiba detiknya kami juga akan pergi.

Kredit Foto: Aizati Athirah dan Zuharman Mohammad Nor

_________________________

Zuharman Mohammad Nor merupakan seorang penyajak yang berasal dari Kelantan. Sajak-sajak beliau pernah diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera, akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.