Diterbitkan pada 20 Ogos 2024, 16:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Penyair mapan Kelantan yang amat dekat dengan tradisi sufi, Darma Mohammad, atau nama sebenarnya, Daud bin Mohammad telah kembali ke rahmatullah hari ini pada usia 76 tahun.

Menurut anaknya, Ahmad Aizzuddin Daud, arwah menghembuskan nafas terakhirnya di Klinik Kesihatan Pasir Mas, kira-kira jam 9.00 pagi hari ini.

Sejak dua tiga hari ini arwah batuk-batuk. Lebih kurang pukul 8.30 pagi tadi dia mengadu sesak nafas, jadi kami bawa ke klinik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia berkata, arwah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pasir Mas selepas isyak malam ini.

Sebelum itu, solat jenazah akan diadakan di Masjid Sultan Muhammad III, Pasir Mas selepas solat isyak.

Allahyarham dilahirkan pada bulan Mac 1948 di Pasir Mas, Kelantan.

Allahyarham merupakan antara penulis 1970-an yang muncul daripada kumpulan penuntut universiti pada masa itu.

Antara karya Allahyarham termasuk kumpulan puisi Gernyut Nafas, Janjang Iktikaf, Janjang Cinta Rumi, Percikan Pelangi, Rintik-rintik Huruf, dan Ufuk Fikir.

Arwah juga menulis cerpen, esei dan novel. Malah, tahun lepas sahaja, arwah menghasilkan Kerdip, yang menitipkan pesan-pesan hikmah ulama besar Turki, Bediuzzaman Said Nurdi.

Atas sumbangan besarnya dalam dunia sastera, Allahyarham dianugerahi Anugerah Karyawan Kelantan Bahagian Puisi (2013) dan Tokoh Penyair Peradaban Kelantan (2016).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi