Oleh Wan Nor Azriq
21 Ogos 2024, 08:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wan Nor Azriq yang hadir sebagai tetamu panel di Jakarta Content Week 2024 pada 9 – 11 Ogos 2024 di Taman Ismail Marzuki, Jakarta, melaporkan beberapa dapatan dan pandangan para penulis muda Asia Tenggara yang menyertainya.

Rata-rata penulis muda hari ini membawa dan mengatur haluan sendiri yang menyimpang jauh daripada agenda sastera kebangsaan. Perkara ini tidaklah dilakukan secara sedar mahupun bertujuan untuk memberontak dengan kanon kesusasteraan yang sedia ada.

Perubahan paling ketara yang saya lihat di Jakarta baru-baru ini ialah kejatuhan jenama minuman Aqua dan kebangkitan jenama Le Minerale. Hal ini ibarat Parameswara melihat  seekor kancil menerajang anjing ke dalam Sungai Melaka. Atau Keluang Man membelasah Godzilla dengan hujung sikunya. Padahal, jenama Aqua sudah sangat sebati dengan kehidupan harian masyarakat Indonesia sehingga kata ‘Aqua’ itu sendiri digunakan untuk memesan air mineral di warung dan restoran. Aqua hadir di Indonesia semenjak tahun 1973, sementara Le Minerale baru hadir pada tahun 2015. Namun pada 2023, tanda pagar #TolakDanoneAqua tular apabila Majelis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa haram menggunakan produk yang menyokong Israel. Sekiranya penolakan Aqua berterusan, adakah suatu hari kata ‘Aqua’ akan menjadi langka, berhabuk, atau pupus terus daripada korpus diksi harian masyarakat Indonesia?

Ternyata isu jenama air mineral tidak ada kaitan sama sekali dengan agenda dan wacana kesusasteraan Asia Tenggara yang diangkat oleh penganjur Jakarta Content Week 2024 yang berlangsung dari 9 hingga 11 Ogos. Namun, jika puisi Indonesia selama ini bersedia menerima “hujan”, “ais krim”, “celana”, dan “telur dadar” dalam kanon metafora terindahnya, maka apa salahnya jika “air mineral” diraikan sebagai cerminan kepada bahasa, sastera dan penulisan?

Lagipun, Jakarta Content Week turut bermain dengan metaforanya sendiri melalui sesi berjudul “Can the Southeast Asian Landscape Be Understood Through B-Side Stories?” yang menampilkan Eric Tinsay Valles (Filipina), Jidanun Lueangpiansamut (Thailand), Ratih Kumala (Indonesia), dan Agustinus Wibowo (Indonesia). Bayangkan diri anda seorang remaja 90-an berambut belah tengah, berkemeja-T putih yang dipadankan dengan kemeja kolar biru gelap dengan butang terbuka, sedang mengeluarkan kaset dari bekasnya untuk dipasang ke dalam pemain walkman. Semua lagu kegemaran anda dimainkan daripada bahagian A kaset, sementara lagu yang kurang diminati (atau tidak disukai) dibiarkan sahaja di bahagian B. Anda sanggup memutar kembali bahagian A berulang-ulang kali tanpa bosan, asalkan tidak mendengar bahagian B. Maka, apakah sebenarnya bahagian A dan bahagian B dalam konteks sejarah dan tradisi kesesusasteraan sebuah negara? Menurut Ratih Kumala, bahagian A ialah teks dan naratif sejarah yang diajar di sekolah. Sebagai contoh, komunis diajar sebagai ideologi dan watak jahat dalam naratif sejarah Indonesia. Akan tetapi, selepas kejatuhan kerajaan Orde Baru, timbul suara dan rahsia-rahsia terpendam yang selama ini tersembunyi dalam naratif bahagian B.

Tapi bagaimana kalau naratif bahagian B bertukar ke bahagian A? Di Thailand, menurut Jidanun Lueangpiansamut, genre Cinta Peria atau Boy’s Love (BL) suatu masa dulu dilihat sebagai subjek tabu, dan hanya bergerak secara bawah tanah. Sekarang, BL bukan sahaja mula diterima secara terbuka, ia juga telah menjadi sebahagian daripada budaya popular Thailand. Agustinus Wibowo mempunyai pandangan berbeza mengenai hubungan bahagian A dan bahagian B: “Kalau kita selamanya melihat diri sebagai mangsa, sebagai golongan terpinggir, maka kita selamanya akan berada di bahagian B.” Agustinus dilahirkan dalam keluarga Tionghoa; tetapi seperti kebanyakan masyarakat Cina di Indonesia, Agustinus menerima dan menyesuaikan diri dengan budaya lokal, antaranya Jawa. Perkara ini menjadi lebih jelas kepada beliau ketika mengembara ke sebuah negara kecil bernama Suriname di utara benua Amerika Latin. Suriname mempunyai komuniti etnik Jawa yang dahulu dibawa ke situ oleh penjajah Belanda. Menurut Agustinus, walaupun dalam dirinya tidak ada darah Jawa, tetapi saat beliau bersama-sama komuniti Jawa di sana, beliau diterima sebagai orang Jawa.

Meskipun sebuah negara berhak menentukan sendiri naratif apa yang masuk ke bahagian A dan B, hal ini masih tidak memberikan gambaran sebenar mengenai permainan kuasa, percaturan politik dan suara-suara yang dibungkam atas dasar pemerkasaan agenda nasional. Eric Tinsay Valles (yang anehnya mewakili Singapura dan Filipina) dalam pembentangannya tentang sejarah sastera Singapura telah memadam terus sumbangan pengarang Melayu seperti Munshi Abdullah dan Masuri S.N. Baginya, ia bukan lagi soal bahagian A dan B, kerana naratif B masih terakam dan masih boleh didengari, meskipun bukan naratif utama. Eric Tinsay Valles, sebaliknya, menafikan kemasukan karya Melayu ke dalam kanon sastera Singapura.

Isu ini sebenarnya dilanjutkan dalam sesi yang saya sertai berjudul “Are Emerging Southeast Asian Writers Seeking to Move Beyond National Literatures?” bersama-sama dengan Ziggy Z. (Indonesia), Sigrid Marianne Gayangos (Filipina) dan Sabda Armandio (Indonesia). Rata-rata penulis muda hari ini membawa dan mengatur haluan sendiri yang menyimpang jauh daripada agenda sastera kebangsaan. Perkara ini tidaklah dilakukan secara sedar mahupun bertujuan untuk memberontak dengan kanon kesusasteraan yang sedia ada. Sabda, misalnya, menulis kerana beliau ingin meneroka bentuk pengucapan baharu yang dapat menggambarkan persekitaran beliau membesar di Jakarta, dan pengaruh budaya popular dari Amerika Syarikat ke atas seorang remaja ketika penghujung abad ke-20. Sigrid pula berasa asing dengan agenda sastera kebangsaan Filipina kerana beliau tinggal di kota Zamboanga yang terpisah daripada pusat budaya di Manila. Selain itu, Zamboanga turut mempunyai bahasa lokalnya sendiri, iaitu Chavacano yang mengambil pengaruh daripada budaya dan bahasa Sepanyol. Kemudian, bahan bacaan penulis hari ini juga semakin rencam dan tidak lagi terkongkong dengan karya-karya yang dianggap klasik dalam kanon kesusasteraan negara masing-masing. Kedua-dua Sabda dan Sigrid, misalnya, meminati tulisan Ursula K. Le Guin dan Zen Cho dari Malaysia. Sementara itu, Ziggy menemui inspirasi daripada penulis-penulis lama Indonesia yang sudah jarang-jarang dibaca, seperti Danarto dan Iwan Simatupang.

Penulis (dua dari kiri) sewaktu sesi forumnya bersama-sama Ziggy Z. (Indonesia), Sigrid Marianne Gayangos (Filipina) dan Sabda Armandio (Indonesia).

Ketika sesi soal jawab, Alfian Sa’at dari Singapura mengajukan soalan kepada ahli panel: “Kalian menyatakan bahawa kalian tidak lagi menulis tentang isu-isu nasionalisme. Namun kalian masih menulis dalam bahasa kebangsaan, maka bagaimana kalian mengatasinya?” Saya menjawab soalan Alfian bahawa masalah saya dengan sastera kebangsaan ialah sastera kebangsaan hanya berpihak kepada golongan yang sedang berkuasa. Sebagai penulis berbangsa Melayu, saya secara automatik mempunyai kelebihan ke atas penulis bangsa lain yang mungkin membesar dan menulis dalam bahasa ibunda masing-masing. Saya juga sudah tentu lebih dekat dengan budaya, agama dan pemikiran masyarakat Melayu yang menjadi dasar pada pembangunan sastera kebangsaan. Justeru, pengarang berbahasa Inggeris seperti Zen Cho, Shih-Li Kow dan Tash Aw selama-lamanya tidak akan diterima sebagai sasterawan negara kerana tulisan mereka menyimpang daripada agenda sastera kebangsaan. Benar, kita tidak boleh lari daripada tubuh yang kita lahir dan tanah air yang kita membesar. Akan tetapi, kita boleh memilih untuk mencorak identiti kita sendiri dalam penulisan. Kita boleh memilih untuk melangkaui identiti kita sebagai bangsa Malaysia, bangsa Singapura, bangsa Indonesia, bangsa Thailand, dan bangsa Filipina. Kita boleh memilih untuk menjadi sebahagian daripada tradisi Asia Tenggara dan seterusnya tradisi sastera dunia.

Saya sudah mengenali jenama Le Minerale sebelum mengetahui boikot yang sedang berlaku di Indonesia. Le Minerale dijual di sebuah warung masakan Thai berhampiran dengan rumah saya. Maka selama ini saya menyangkanya sebuah jenama minuman dari Thailand. Padahal, setelah saya selidik, tukang masak warung itu sebenarnya berasal dari Surabaya, Indonesia. Begitulah realiti sebenar budaya dan kehidupan harian masyarakat di Asia Tenggara. Kita ialah sebahagian daripada pelbagai budaya dan tradisi. Kita boleh meneguk air mineral dari Indonesia, sambil menikmati nasi dan tom yam, dan menonton drama siri Thailand di Netflix. Tanpa mempedulikan pemain atau permainan kuasa dan politik di belakangnya.

Kredit Foto: Wan Nor Azriq

_________________________

Wan Nor Azriq suka menjelajahi buku dan jalan raya, selain sekali-sekala singgah berkomentar di blog peribadinya, Kritikus Sastera. Buku mutakhir beliau ialah novel Tikus (Nusa Centre, 2024).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.