Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMuhamad Ikhram Fadhly Hussin melaporkan dapatan daripada forum khas Wacana 25 Tahun Dewan Bahasa Pustaka Wilayah Timur baru-baru ini, yang dibincangkan bersama oleh Dato’ A. Aziz Deraman, Prof. Dr. Hashim Ismail dan Prof Dr. Abdul Halim Ali.
Guru dapat menterjemahkan kekuatan sastera dan bahasa dalam sistem pendidikan, dengan memastikan bahawa pelajar tidak hanya mencapai kemahiran bahasa yang tinggi tetapi juga mengembangkan apresiasi yang mendalam terhadap sastera dan budaya yang perlu dipertahankan.
Wacana 25 Tahun Dewan Bahasa Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) yang bertemakan “DBPWT: Gerbang Peradaban Timur” sempena dengan Sambutan 25 Tahun DBPWT membuka mata khalayak apabila Mohd Nazmi Yaakob selaku pengerusi forum, menyentuh tentang kepentingan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan mengapa subjek ini perlu dijadikan subjek wajib dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Dato’ A. Aziz Deraman dari Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), melihat kekuatan sastera dan bahasa boleh diterjemahkan dalam sistem pendidikan. Sastera sudah lama menjadi mata pelajaran wajib di seluruh dunia, contohnya di Australia, United Kingdom dan Indonesia. Baginya, Malaysia patut menjadikan Kesusasteraan Melayu sebagai satu mata pelajaran wajib. Kekuatan sastera dan bahasa dapat diterjemahkan dalam sistem pendidikan melalui pelbagai pendekatan yang boleh memperkaya pengalaman pembelajaran serta memperkukuh penguasaan bahasa dan apresiasi terhadap sastera dalam kalangan pelajar.
Tambah beliau, kekuatan sastera dan bahasa dapat diterjemahkan sebagai alat yang berkesan untuk mendidik generasi masa hadapan, bukan sahaja mahir dalam bahasa tetapi juga menghargai nilai budaya dan moral yang disampaikan melalui sastera. Oleh itu, sastera patut dijadikan subjek yang merentas kurikulum. Misalnya, jadikan sastera sebagai mata pelajaran wajib di Institut Pendidikan Guru dan Institusi Pengajian Tinggi. Dalam hal ini, teks karya agung harus dijadikan satu subjek kuliah, termasuklah kepada para pelajar dalam program yang lain daripada bidang sastera mahupun kemanusiaan.
Prof. Dr. Hashim Ismail dari Universiti Malaya (UM) pula melihat kekuatan sastera dan bahasa yang dapat diterjemahkan dalam sistem pendidikan melalui pelbagai pendekatan yang boleh memperkaya pengalaman pembelajaran serta memperkukuh penguasaan bahasa dan apresiasi terhadap sastera dalam kalangan pelajar. UM contohnya, sudah menyesuaikan subjek sastera dengan keperluan ilmu dan keperluan pasaran.
Baginya, sastera berubah mengikut teknologi, tetapi telah pun dimanfaatkan dalam wahana multimedia dan animasi pada zaman sekarang. Guru dapat menterjemahkan kekuatan sastera dan bahasa dalam sistem pendidikan, dengan memastikan bahawa pelajar tidak hanya mencapai kemahiran bahasa yang tinggi tetapi juga mengembangkan apresiasi yang mendalam terhadap sastera dan budaya yang perlu dipertahankan. Beliau optimis bahawa sastera tetap ada masa hadapannya dan mampu memenuhi pemasaran. Hanya sekarang, perlunya suatu iltizam kuat untuk subjek sastera dipertahankan tanpa diperlekeh oleh mana-mana pihak.
Prof Dr. Abdul Halim Ali dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula meneliti bahawa kebanyakan negara di seluruh dunia mempunyai sasteranya yang tersendiri. Terdapat dua konteks kepentingan sastera, iaitu dalam pendidikan dan luar pendidikan. Guru-guru misalnya melalui pelbagai strategi untuk memastikan pengajaran bahasa dan sastera tidak hanya berfungsi sebagai alat komunikasi tetapi juga sebagai medium pembentukan nilai, pemikiran kritis dan identiti budaya.
Setakat ini, Kelantan merupakan satu-satunya negeri yang masih menawarkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dengan jumlah bilangan yang tertinggi, iaitu sebanyak 69 buah sekolah berbanding sekolah di negeri lain di Malaysia.
Terengganu juga memencilkan sastera apabila hanya tinggal enam buah sekolah. Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu (atau kini dijenamakan semula sebagai Kesusasteraan Melayu Komunikatif) pada masa kini banyak ditutup oleh pengetua Melayu sendiri. Salah satu sebab hal ini berlaku atas sikap ibu bapa yang memikirkan masa depan anak-anak dalam prospek kerjaya yang memikirkan bahawa sastera ialah bidang yang kecil dan tiada masa hadapan.
Dr. Halim Ali berpesan agar Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) perlu menjaga bahasa dan sastera supaya kekal hingga akhirnya dan pihak sekolah jangan terlalu menyempitkan pintu untuk menerima program-program sastera demi memperkasa bahasa di sekolah. Hal ini kerana, sastera dan bahasa dalam sistem pendidikan menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih relevan, menarik dan berkesan dalam usaha membentuk pelajar yang berpengetahuan luas, berfikiran kritis dan menghargai nilai budaya serta moral yang baik.
Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
_________________________
Muhamad Ikhram Fadhly Hussin ialah Ketua Unit Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur. Beliau juga peneliti dan penulis esei dan puisi.