Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangHasil penterjemahan seperti sepinggan masakan yang baik, dengan campuran bahan ramuannya yang betul. Johari A. Julaihi memberikan sebuah analogi tentang hasil penterjemahan yang baik, yang sama seperti masakan asalnya.
Penterjemah seharusnya mencari persamaan perkataan yang sesuai dengan konteks ayat dan keseluruhan cerita, bukan cuma berpandukan pada satu-satu ayat sahaja, agar cerita yang diterjemahkan tidak hilang identiti penulis asalnya, agar tidak hilang rentaknya, tidak hilang melodinya.
Jika saya memasak nasi aruk, bahan yang sering saya gunakan ialah bawang merah dan ikan bilis. Kemudian, bahan-bahan ini digoreng tanpa minyak atau dengan hanya sedikit minyak. Sesekali, saya gunakan bawang putih. Saya percaya, inilah identiti nasi aruk sejak dahulu lagi. Tidak lari daripada ikan bilis dan bawang merah atau bawang putih. Namun begitu, ada segelintir yang memasukkan hirisan-hirisan dabai dan menggantikan ikan bilis dengan ikan masin, meski cara gorengan nasinya sama, namun secara peribadi, rasanya berlainan. Aromanya berbeza. Mungkin lebih sedap bagi lain orang, tetapi tidak bagi saya. Identiti nasi aruk tradisional, sudah tiada.
Inilah hal yang saya rasakan ketika menikmati hidangan karya terjemahan. Adakah karya itu masih ada ikan bilis dan bawang merah atau sudah ditambah dabai dan ikan masin? Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 yang lalu menguja benar dan salah satu kedai yang menjadi sasaran saya ialah The Biblio Press atas lambakan karya terjemahan di situ. Hampir keseluruhan buku yang saya beli ialah karya terjemahan dalam bahasa Melayu dan beberapa buku pula ialah terjemahan bahasa Indonesia.
Salah satu buku yang dijual ketika itu ialah karya terjemahan Edgar Allan Poe dalam bahasa Indonesia. Sebagai peminat karya-karya beliau dan menjadikan karyanya sebagai salah satu rujukan dalam penulisan, saya sangat teruja untuk membacanya. Beliau yang sememangnya terkenal dengan penggunaan perlambangan dalam karyanya selain kosa katanya yang melimpah-limpah memeningkan, dengan gaya penceritaan “berhantu”, mempunyai keunikan tersendiri yang mempesonakan saat membaca karyanya yang berbahasa Inggeris. Lalu, adakah terjemahan bahasa Indonesia ini, turut mampu mempesonakan?
Karya pertama pada muka surat satu ialah karya agung Poe, “The Tell-Tale Heart”. Tajuk terjemahannya ialah “Degup Jantung Jahanam”. Ya, itulah tajuk terjemahannya. Membaca tajuknya sahaja, membuatkan saya tertanya-tanya: bagaimana mungkin tajuknya boleh menjadi “Degup Jantung Jahanam”? Seolah-olah tajuk asal karya ini ialah “The Heartbeat of Hell”. Jika saya menterjemah tajuk karya ini, sesuai jika tajuk itu diterjemahkan kepada “Jantung yang Meriwayatkan”, bahkan Google Translate menterjemahkan “The Tell-Tale Heart” sebagai “Hati yang Menceritakan”! Lalu, saya tertanya-tanya, bagaimanakah penterjemah karya ini boleh terfikir dengan “Degup Jantung Jahanam”? Sungguh saya hairan.
Sesudah itu, kekecewaan saya berlanjutan saat saya meneruskan pembacaan. Terdapat beberapa perkataan (perlambangan) yang diubah sewenang-wenangnya oleh penterjemah. Antaranya termasuk:
Teks Asal (1): Object there was none. Passion there was none.
Terjemahan (1): Aku tak ada masalah dengan laki-laki tua itu. Apalagi dendam.Teks Asal (2): Meantime the hellish tattoo of the heart increased.
Terjemahan (2): Sementara degupan jantung yang mengerikan itu makin meningkat.
Mungkin saya amat cerewet (atau mungkin agak melampau) ketika memberikan reaksi sebegini. Secara jujurnya, penemuan ini merupakan suatu kekecewaan terdalam apabila membaca buku terjemahan kumpulan cerpen Edgar Allan Poe ini, iaitu Runtuhnya Rumah Keluarga Usher. Ketika membaca beberapa karya di dalamnya, saya seperti menyantap nasi aruk yang dimasukkan bawang Holland; ikan bilisnya ada, tetapi ada juga ikan masin; serta ada hirisan-hirisan dabai dan dicampurkan sedikit belacan. Nasi aruknya sama cara gorengannya. Serupa, tetapi tidak sama. Dan ia - tidak sedap langsung!
Penterjemah seharusnya tahu (sudah tentu mereka tahu!), bahawa karya yang mereka terjemahkan bukanlah karya mereka. Bagi pandangan saya, pemilihan ini merupakan satu ketidakadilan terhadap pengarang asal jika penterjemah mengubah ayat (tidak mengikut teks sumber dan tidak mengikut istilah sasaran) dengan menggugurkan beberapa perkataan di dalam karya sehingga menyebabkan keindahan maksud asal karya tersebut, hilang. Lenyap. Karya Edgar Allan Poe cukup kaya dengan unsur perlambangan yang dimasukkan dalam karyanya untuk mengindahkan naratif serta menjadikan nilai pesona kepada pembaca. Itulah identiti Edgar Allan Poe. Namun, saat penterjemah mengubah perlambangan seperti yang telah disebutkan di atas, karya itu bukan karya Edgar Allan Poe lagi!
Apabila menjadi penterjemah sesuatu karya, saya sungguh mengerti, benar-benar mengerti, ia bukanlah suatu tugas yang mudah. Namun, hal ini tidak bermakna para penterjemah karya boleh sekehendak hati menukarkan sesuatu perkataan atau ayat, kepada perkataan, ayat atau istilah sasaran yang sama sekali tidak senada. Penterjemah seharusnya mencari persamaan perkataan yang sesuai dengan konteks ayat dan keseluruhan cerita, bukan cuma berpandukan pada satu-satu ayat sahaja, agar cerita yang diterjemahkan tidak hilang identiti penulis asalnya, agar tidak hilang rentaknya, tidak hilang melodinya. Bukan itu sahaja, bagi saya, pembaca pruf dan penyunting turut perlu menyemak sesudah menerima karya terjemahan dan membandingkannya dengan karya asal supaya karya itu akan lebih konklusif. Jika diharapkan sahaja pada penterjemah, pasti akan ada silapnya, maka akan wujudlah - “The Tell-Tale Heart” = “Degup Jantung Jahanam”.
Selain itu, penterjemah perlu menguasai tatabahasa dan berteman dengan kamus-kamus. Penggunaan istilah sasaran yang selari-tepat, susunan ayat yang mengikut tatabahasa, malah pengekalan identiti karya asal, akan menjadikan sesuatu karya terjemahan itu cantik dan mengagumkan. Lebih-lebih lagi jika penterjemah berjaya membawa roh karya itu sekali ke dalam karya terjemahannya. Oh, ini sangat mengasyikkan!
Dan, pada akhirnya, sehingga kini, saya belum habis mengunyah karya-karya dalam buku tersebut. Biarkanlah dulu. Maka, saya angkat tabik kepada penterjemah yang sedaya berusaha untuk membuat terjemahan yang baik dan kekal memberikan keistimewaan kepada karya dan penulis asal. Teruskan!
(Namun saya risau, adakah kekecewaan itu akan berterusan ketika membaca buku terjemahan Fyodor Dostoevsky nanti, Mimpi Orang Sinting, setelah mendapati penterjemah buku ini ialah orang yang sama?)
Nota Hujung: Nasi aruk ialah nasi yang digoreng tanpa minyak atau sedikit minyak sahaja.
Kredit Foto: Kevin Doran/Unsplash
______________________________
Johari A. Julaihi berasal dari Simunjan, Sarawak. Berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian selain memiliki Sijil Pertanian (Pengurusan Penternakan). Beliau menulis sajak, cerpen dan esei yang disiarkan dalam akhbar Suara Sarawak, Utusan Sarawak; majalah Tunas Cipta, Dewan Kosmik, Agro-Kenyalang, Kayu Api (Unggun Creative); serta pelantar digital seperti JendelaDBP, Wadah DBP, Riau Sastra, dan Eksentrika.