Oleh Ismail Hashim
15 Ogos 2024, 13:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ismail Hashim berpandangan bahawa pelaris sesebuah karya datang daripada isu semasa yang dikupas oleh seseorang penulis.

Penulis seeloknya merintis jalan untuk melariskan karyanya dengan menceritakan apa-apa yang berlaku pada zamannya. Perhatian dan penelitian boleh dimulakan dengan isu sosial yang berlaku sekarang.

Itulah yang terjadi. Mana-mana pun akan terjadi perkara yang sama, terutama apabila dijadikan perbandingan dengan warung makanan terlebih laris. Bagi menyedapkan halwa telinga, maka timbullah berbagai-bagai cerita yang bukan-bukan, terutamanya warung terlebih laris itu.

Menulis itu pun perlu mengamalkan cara yang sama. Kalau warung tadi bergantung kepada pelanggannya, penulis juga perlu ada cita rasa dalam melariskan karyanya disiarkan oleh pihak editor untuk sajian pembacanya. Seperkara lagi, karya yang dihasilkan sebaik-baiknya hendaklah terikat elok dengan zamannya.

Sasterawan Negara A. Samad Said sendiri menggunakan pelbagai nama pena, seperti Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra, dan Shamsir demi memancing pembacanya. Novel pertamanya yang dijudulkannya sebagai “Gerhana” telah ditukarkan kepada Salina. Profesor A. Teeuw termasuk beberapa sarjana lain mengangkat novel ini bertaraf antarabangsa.

Salina menceritakan kehidupan daif masyarakat Melayu di Kampung Kambing, Singapura, selepas Perang Dunia Kedua. Para penduduknya bergelut dengan kemiskinan dan keruntuhan moral di kota tersebut.

Novel Salina telah diadaptasikan menjadi teater oleh dramatis Johan Jaaffar dan dipentaskan sempena dengan Pesta Kesenian (1986) yang seterusnya dipentaskan di Singapura.

Berbanding dengan zaman A. Samad Said dengan zaman sekarang, sudah tentu ada isu-isu baharu yang boleh diketengahkan oleh kaum penulis. Kita dikejutkan dengan kejadian wabak COVID-19 yang mengorbankan ribuan nyawa manusia.

Kita juga diketemukan dengan vaksin tertentu yang menjadi dinding penahan daripada virus ini menyerang lagi manusia. Ada pihak melahirkan rasa tidak puas hati kepada syarikat gergasi yang membekalkan vaksin ini, kononnya menyorokkan kesan-kesan sampingan terhadap penggunanya. Hal ini merupakan satu contoh peristiwa dan situasi yang boleh disentuh. Mungkinkah nanti ada penulis yang berjaya menghasilkan “novel wabak terbaik” Malaysia suatu hari nanti?

Hari ini, terdapat cabaran yang lebih besar apabila kita melangkah ke era digital. Berlaku perubahan dalam dunia percetakan apabila percetakan yang berbentuk fizikal perlu menyesuaikan bentuknya untuk bertukar kepada bentuk digital (e-buku). Sesiapa sekarang sudah boleh membaca karya, sama ada berita surat khabar, novel atau cerpen melalui telefon pintar sahaja, yang hanya memerlukan sumber internet untuk bercantum dengan dunia maya tanpa sempadan.

Jumlah pembaca buku fizikal juga kini sudah semakin berkurangan apabila terdapat medsos (media sosial), malah pengawalannya tidak terbatas. Sebab itulah kalau saudara masuk ke dalam bas ekspres atau komuter untuk menuju ke destinasi masing-masing, penumpangnya asyik menatap telefon bimbitnya, dan jarang-jarang bertegur sapa atau ambil tahu siapa yang berada di sebelahnya.

Penulis seeloknya merintis jalan untuk melariskan karyanya dengan menceritakan apa-apa yang berlaku pada zamannya. Perhatian dan penelitian boleh dimulakan dengan isu sosial yang berlaku sekarang. Misalnya, saya berpendapat bahawa tugas seorang polis sekarang ini amat jauh berbeza dari zaman-zaman sebelumnya. Kini, usahanya lebih berat dalam membanteras jenayah pada zaman sebelumnya. Kita sendiri boleh melihat buruk selain baiknya dalam usaha polis memburu penjenayah yang bertopengkan manusia. Apatah lagi dengan bermacam-macam rakaman yang cepat tular di medsos. Semua sikap dan perlakuan pegawai polis diperhatikan oleh masyarakat.

Beberapa institusi pendidikan tertentu juga terpalit dengan nama buruk apabila berlakunya isu buli dalam kalangan pelajarnya, yang ada juga sampai menyebabkan kematian yang sadis. Perbuatan tersebut “menurunkan” status golongan ini yang dikatakan sebagai “pencari ilmu”. Adab dan moral sudah menjadi kelabu.

Isu kebobrokan ini diketengahkan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat kita betapa usaha penyantunan budaya dan nilai murni sekadar cakap-cakap tak serupa bikin!

Dengan Sayembara Penulisan Kreatif yang ditawarkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka kepada kaum penulis bersama hadiahnya yang cukup lumayan, isu-isu yang diperkatakan ini dapat dikupas dengan lebih berkesan dan terperinci dalam penciptaan bagi melariskan karya masing-masing.

Terbaru pula, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) membuka ruang seluas-luasnya kepada penulis untuk menghantar karya masing-masing untuk diterbitkan dalam tempoh enam bulan. Geran dan sokongan ini sudah tentu mengorak suatu semangat baharu Malaysia MADANI untuk kaum penulis menghasilkan karya yang mampu mencerminkan keadaan zamannya yang memerlukan pencerahan untuk berubah. Selamat mencuba!

Kredit Foto: Izuddin Helmi Adnan/Unsplash

______________________________

Ismail Hashim ialah penulis bebas dari Negeri Sembilan. Beliau menulis novel, cerpen, puisi, dan drama radio.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.