30 Julai 2024, 10:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengalu-alukan penyertaan para penulis dari negeri Kedah untuk menghantar penyertaan mereka dalam Sayembara Penulisan Kreatif DBP pada tahun ini.

Menurut Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, E Pian Pro Poul; sayembara yang dianjurkan oleh pihak DBP sendiri adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada penulis mapan dan juga penulis muda untuk bersaing antara satu sama lain dalam bidang penulisan sastera.

“Saya lihat di Negeri Kedah, terdapat ramai penulis yang berbakat besar dalam dunia Kesusasteraan Melayu”

“Oleh itu, dengan adanya sayembara ini akan membuka ruang kepada para penulis menonjolkan bakat dan di sinilah letaknya tanggungjawab untuk bersama-sama memartabatkan dunia sastera yang kita sayangi selama ini dengan menyertai sayembara ini.”

Beliau berkata demikian pada majlis Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Digital Village Kedah, baru-baru ini.

Sayembara Penulisan Kreatif DBP terbahagi kepada empat kategori, iaitu kategori novel, kumpulan puisi, drama pentas dan kumpulan cerpen. Setiap manuskrip yang dihantar kepada pihak DBP merupakan hasil karya yang asli

Penyertaan untuk kategori kumpulan puisi, drama pentas dan kumpulan cerpen, tarikh tutup penyertaan ialah pada 31 Disember 2024, manakala bagi penyertaan untuk kategori novel pula, tarikh tutup penyertaan ialah pada 31 Mac 2025.

Pemenang hadiah pertama akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30 000, buku dan sijil penghargaan, tempat kedua pula akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM15 000, buku dan sijil penghargaan manakala tempat ketiga pula akan menerima wang tunai RM10 000, buku dan sjiil penghargaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.