Oleh Karmila Azmi
21 Julai 2024, 22:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Bagaimanakah penghayatan naskhah dalam deklamasi puisi dan lakonan dilakukan agar menepati pemahaman terhadap teks sekali gus dirasai oleh audiens?

Persoalan ini sangat menarik dibincangkan apatah lagi suatu ketika dulu, terdapat polemik yang berkisar tentang pendeklamator yang gemar melontarkan “kemarahan” apabila mendeklamasikan puisi.

Dalam slot satu Festival Puisi Selangor semalam, hal ini dikupas oleh tiga panel, iaitu Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan (SDPK) 2016, Muhammad Safwan Mohd Yusof atau Wan Yusof; pendeklamator Lin Haslinaz dan pelakon Sahrunizam Noor.

Bagi Lin Haslinaz, beliau menyifatkan penghayatan itu boleh datang daripada pelbagai acara menerusi emosi dan rasa serta boleh dicungkil berdasarkan kemampuan individu.

Dalam perkongsian pengalaman peribadinya, Lin Haslinaz menyebutkan perihal dirinya sendiri, iaitu sebelum mendeklamasikan puisi beliau akan “memeramkan” teks berkenaan.

“Ini cara saya ya, boleh diikuti jika sesuai.

“Umumnya jika saya dapat teks, saya tidak akan terus melontarkan vokal. Sebaliknya, saya akan membacanya berulang-ulang kali hingga ada rasa membuak-buak dalam diri untuk melontarkannya (deklamasi), tetapi saya tidak boleh buat dahulu,” katanya.

Tegas Lin Haslinaz, proses itu ialah proses “peram” dan akan dilontarkan pada masanya.

“Apabila kita baca teks juga, kita perlu faham setiap patah perkataan dalam puisi itu walaupun mungkin (imbuhan) ‘di’ atau ‘ke’.

“‘Di’ atau ‘ke’ pun ada rasanya yang tersendiri,” katanya.

Berkongsi pandangan yang sama, Wan Yusof pula menegaskan bahawa penghayatan akan datang dengan wujudnya emosi dan rasa.

“Bagaimanapun, berbeza dengan lakonan, kita perlu mengawal sedikit supaya ia tidak pula melebih-lebih.

“Misalnya kalau dari segi rasa, rasa marah pun ada jenisnya. Marah kerana sayang itu berbeza bunyinya.

“Jadi kalau kita ‘rasa’ audiens pun akan turut merasainya,” katanya.

Sementara itu bagi Sahrunizam pula, beliau menyifatkan apa-apa yang penting dalam penghayatan naskhah dalam lakonan ialah emosi.

“Penghayatan dalam lakonan perlu ada emosi dan hal itulah yang akan sampai kepada penonton,” katanya.

Festival Puisi Selangor diadakan pada 20 dan 21 Julai dan dikendalikan oleh Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (Kemudi) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

Kredit Foto: Kemudi

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.