Oleh Rasoul Manan
27 Jun 2024, 21:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Kombinasi bidang sastera dan sejarah mampu memugarkan, menyemarakkan dan menyuntik nilai-nilai patriotisme serta semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat.

Demikian penjelasan Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika menyampaikan ucapan perasmian bersempena dengan Syarahan Keris Mas Kali Ke-3 di Dewan Utama, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor pada pagi tadi.

Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan bahawa kedua-dua bidang tersebut tergolong dalam korpus ilmu pengajian sains sosial dan hal ini menyebabkan bidang berkenaan menarik untuk dikaji secara lebih mendalam.

“Ilmu sastera penuh dengan nilai-nilai kemanusiaan yang disulam dengan gaya bahasa yang puitis dan penuh dengan estetika.”

“Manakala ilmu sejarah lebih cenderung untuk memerihalkan pelbagai peristiwa masa lalu bersandarkan garis masa dan tema sesuatu zaman.”

Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP ketika menyampaikan ucapan perasmian Syarahan Keris Mas Kali Ke-3 di Dewan Utama, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor.

Sebagai contoh, Dr. Hazami telah memetik karya agung tulisan Ibn Khaldun, iaitu Mukaddimah yang menampilkan kandungan karya yang berkaitan dengan perkembangan sesebuah peradaban bangsa berasaskan ilmu sejarah.

Ujarnya lagi bahawa karya tersebut telah digandingkan dengan disiplin ilmu sastera dan sejarah lalu yang menjadi sebuah magnum opus yang harus diteliti oleh masyarakat.

Syarahan Keris Mas pada kali ini membawakan tema “Sastera Sejarah Pemangkin Semangat Patriotisme dan Nasionalisme” dan menampilkan Yang Berhormat (YB) Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor yang juga merupakan karyawan Tamu Yayasan Warisan Johor.

Syarahan Keris Mas merupakan suatu inisiaitf untuk memperbanyak wacana intelektual berkaitan dengan bidang kesusasteraan yang dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP dan telah menampilkan golongan profesional yang bukan berlatarkan disiplin ilmu sastera.

Selain itu, sesi syarahan tersebut turut menampilkan  YBhg. Prof. Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom, iaitu mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang juga merupakan pakar psikiatri dengan tajuk syarahan beliau, “Sastera Tanpa Sains Tiada Kemajuan dan Sains Tanpa Sastera Tiada Keanggunan”.

Terdahulu, pada tahun lepas, Syarahan Keris Mas menampilkan tokoh dan pakar pergigian, YBhg. Kepten Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob dengan tajuk syarahan beliau, “Sastera dan Seni Santapan Jiwa”.

Syarahan pada kali ini diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-68 DBP dengan tema “Kesaktian Lidah Rakyat”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.