26 Jun 2024, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baling – Sembilan buah cerita rakyat suku kaum Kensiu berjaya direkodkan sewaktu kumpulan penyelidik dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuat kajian di Kampung Lubuk Legong, baru-baru ini.

Antara cerita yang menarik perhatian adalah cerita asal-usul Gunung Baling dan asal-usul kaum Kensiu sendiri. Cerita ini memaparkan sisi yang unik dan bagaimana kehadiran mereka ke daerah tersebut.

Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS) mejelaskan kaum suku Kensiu merupakan kaum yang jarang ditemui dan kian pupus.

“Menyedari hakikat tersebut, BPS gigih meneruskan usaha menjejak, merakam dan mengumpulkan cerita rakyat Orang Asli Kensiu”

“Suku kaum ini antara yang terakhir ada di Malaysia, oleh itu, wajarlah pendokumentasi cerita rakyat Kensiu dilaksanakan supaya cerita rakyat yang berlegar dalam kalangan mereka dapat disebarluaskan kepada masyarakat.”

Namun, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh kumpulan penyelidik, antaranya, kekurangan daya ingatan oleh penutur kerana diwarisi tanpa direkod.

Dalam menjayakan projek ini, kumpulan BPS telah merekodkan cerita daripada Encik Razali Kulim, Tok Batin Orang Asli Kensiu.

Beliau berkata Usaha DBP dalam merakam dan mendokumentasikan cerita rakyat suku kaum Kensiu merupakan satu usaha yang sangat dinantikannya.

Menurut beliau lagi, masih belum ada pihak yang memberi tumpuan dalam membukukan cerita lisan suku kaum Kensiu ini dan sekiranya ada lebih tertumpu kepada penyelidikan berkaitan aspek bahasa dan sosiobudaya.

“Usaha DBP membukukan cerita rakyat orang asli Kensiu secara tidak langsung memberi pengekalan yang berterusan terhadap kewujudan cerita rakyat Kensiu yang didengarnya sejak zaman kanak-kanak lagi”

“Khazanah warisan kami ini akan dapat dibaca dan dihayati oleh generasi muda dan seterusnya.”

Seterusnya, projek ini akan diteruskan dengan menyantuni beberapa suku kaum, iaitu suku kaum Kintak di Kampung Air Bah, suku kaum Lanoh di Kampung Bukit Asu dan suku kaum Jahai di Sungai Tiang.

Projek ini mendapat Kerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) Daerah Hulu Perak dan Baling.

Antara penyelidik yang terlibat, iaitu Puan Fathenwan Wan Mohd Nor, Encik Zaidi Saad, Puan Nor Adilah Abu Bakar dan Encik Ahmad Safri Abdul Rani.

Manakala Puan Norhasanat Mansyurdin mewakili JAKOA Daerah Hulu Perak dan Baling menjayakan projek ini.

Dari kiri penyelidik DBP Encik Zaidi Saad, Encik Ahmad Safri Abdul Rani, Ketua Penyelidik Encik Saifullizan  Yahaya, bersama-sama penutur cerita.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.