Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSeseorang penulis wajar dipanggil sebagai penulis upahan jika bertujuan untuk mendapatkan upah bagi hasil kerjanya semata-mata. Namun begitu, benarkah sedemikian? Raja Yusoff Ariffin cuba membincangkan isu ini dalam Refleksi kali ini.
Bagaimana pula dengan penulis kertas kerja untuk seminar, konvensyen atau simposium? Adakah mereka juga penulis upahan kerana menerima bayaran yang memang dijanjikan? Begitu pun, sedarilah bahawa ganjaran tidak hanya dalam bentuk wang, tetapi juga pangkat, kedudukan dan jawatan.
Hampir semua pembaca dan penulis, termasuk penulis karya sastera mengetahui istilah dan kewujudan penulis upahan di negara ini. Ada yang mengatakan atau membuat kesimpulan bahawa semua penulis, dalam konteks ini, penulis karya sastera, ialah penulis upahan.
Gelaran tersebut ditujukan kepada penulis yang menerima ganjaran ketara dan ganjaran tidak ketara. Apakah pula ganjaran ketara dan tidak ketara ini?
Ganjaran ketara bermaksud penulis yang menerima ganjaran untuk karya tulisannya yang diarah atau diminta untuk ditulis oleh seseorang atau sesebuah perusahaan.
Ganjaran tidak ketara pula bermaksud penulis yang menerima ganjaran untuk karya tulisannya, tetapi dia menulis kerana didorong oleh perasaan radang, resah dan tidak puas hati terhadap sesuatu, selain cakna terhadap sesuatu hal. Secara ringkasnya, penulis menulis atas kemahuannya sendiri.
Kalau berdasarkan upah tidak ketara ini, penghuraian istilah atau gelaran penulis upahan kelihatan begitu terperinci sehingga tidak mungkin kita menemui penulis yang bebas daripada upahan atau tidak diupah.
Selama ini, didapati penulis rencana bukan sastera, atau buku politik sahaja yang dipanggil sebagai penulis upahan. Sekalipun turut menghasilkan karya kreatif yang menyentuh politik, tetapi dari aspek itu, mereka tidak dipanggil sebagai penulis upahan. Mereka dianggap sebagai penulis sahaja.
Jika kesimpulannya orang menganggap semua penulis ialah penulis upahan, benarkah pula penulis buku sastera, novel dan sebagainya juga sedemikian? Hal ini dikatakan sedemikian kerana bayaran royalti diberikan setelah tulisan mereka diterbitkan. Adakah bayaran dan royalti yang dijanjikan itu dianggap sebagai upah juga?
Penulis rencana sastera, sajak, cerpen, dan eceran lain turut termasuk dalam hal ini. Semua karya berkenaan tersiar dalam akhbar atau majalah, dan kini dalam talian seperti portal JendelaDBP, sebagai contoh. Adakah bayaran yang diterima untuknya wajar dianggap sebagai upah?
Bagaimana pula dengan penulis kertas kerja untuk seminar, konvensyen atau simposium? Adakah mereka juga penulis upahan kerana menerima bayaran yang memang dijanjikan? Begitu pun, sedarilah bahawa ganjaran tidak hanya dalam bentuk wang, tetapi juga pangkat, kedudukan dan jawatan.
Dalam hal niat atau harapan dan hasrat, sekiranya terdapat penulis yang tidak mengharapkan sebarang imbalan jasa atau honorarium (tetapi, tetap juga memperolehnya atau diberikan), adakah penulis itu tidak dianggap sebagai penulis upahan? Tidak keterlaluan jika dikatakan dia penulis “beramal jariah”.
Seseorang penulis wajar dipanggil sebagai penulis upahan jika bertujuan mendapatkan keuntungan semata-mata. Namun begitu, benarkah sedemikian?
Ada dua niat menulis, sebagaimana yang disebutkan pada awal tulisan ini. Pertama, disebabkan oleh desakan, dorongan dan digerakkan. Maksudnya, penulis mahu mengkritik atau memperkatakan atau mempertikai sekumpulan, seseorang, sesuatu atau apa-apa sahaja.
Kedua, kerana inginkan manfaat setelah menulis atau hasil/keuntungan daripada menulis, sama ada wang ringgit, pangkat atau jawatan. Kedua-dua niat ini biasanya berurutan, iaitu yang kedua wujud atau lahir selepas yang pertama.
Walau bagaimanapun, niat ialah perkara yang tersembunyi atau tidak dapat dilihat. Seseorang tidak dapat benar-benar dipastikan sama ada berniat baik atau sebaliknya. Ikhlas sebutan tidak bererti ikhlas juga di hati. Memang hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.
Benarkah pula ada penulis upahan sepenuh masa dan penulis upahan sambilan? Ataupun kedua-duanya tidak wajar dipanggil sedemikian?
Penulis sepenuh masa sesungguhnya menganggap yang menulis itu kerja mereka sebagaimana yang bekerja “makan gaji”. Saya sendiri merasai hal sedemikian kerana tidak melakukannya secara sambilan.
Menulis memang kerja mereka dan saya, dan pasti kami mengharapkan bayaran daripada penerbit. Bayaran yang diperoleh itu seumpama gaji, bukan upah.
Penulis sambilan pula ada kerja tetap bergaji bulan. Gaji tersebut juga dalam bentuk wang seperti yang penulis sepenuh masa peroleh. Namun demikian, ada dalam kalangan mereka yang mengharapkan bayaran, dan ada yang sebaliknya.
Hasil daripada tulisan berkenaan bukan upah. Justeru, sama ada mengharapkan ganjaran atau tidak, penulis sepenuh masa dan sambilan bukan penulis upahan.
Tidak semua penulis boleh dianggap sebagai penulis upahan kerana sama ada penulis sepenuh masa atau sambilan, ada yang menulis tanpa diminta oleh sesiapa pun.
Tidak salah jika hal ini dibincangkan luar daripada bidang penulisan sebagai perbandingan. Contohnya, membandingkan penulis dengan penyanyi atau pelakon. Adakah bayaran yang diterima oleh penyanyi atau pelakon itu upah, dan mereka dipanggil sebagai penyanyi atau pelakon upahan?
Membabitkan kerjaya dan pekerjaan “makan gaji” lain, jika gaji dan bayaran yang diperoleh dianggap sebagai upah, maka bolehlah dikatakan dunia ini hanya dipenuhi oleh manusia upahan sahaja. Ertinya, semua yang bekerja ialah pekerja upahan. Benarkah sedemikian?
Wang hasil menyanyi atau berlakon juga ialah gaji, dan wang daripada pekerjaan “makan gaji” memanglah wang gaji. Saya fikir wang dan janji-janji kebendaan (terutamanya wang) yang lain merupakan ganjaran yang wajar diperoleh setelah dijanjikan. Oleh sebab dijanjikan, penulis tidak perlulah bersusah payah bertanya, dan merayu-rayu atau dalam istilah yang saya cipta, “mengemis wang sendiri”.
Tidak semua penulis boleh dianggap sebagai penulis upahan kerana sama ada penulis sepenuh masa atau sambilan, ada yang menulis tanpa diminta oleh sesiapa pun.
Memang banyak yang menulis rencana serta karya kreatif dan menghantarnya ke media, atau dibukukan tanpa diminta atau dipelawa. Memang ada penerbit/editor yang mempelawa, tetapi hal itu menjadi perangsang atau lebih sebagai pendorong.
Seperkara yang ada kaitan dengan hal ini dan sesekali dibincangkan ialah “penulis siluman” atau ghost writer. Walau bagaimanapun, dalam tulisan ini, saya cuma ingin menyatakan definisi dan serba sedikit tugasnya yang berbeza daripada penulis upahan yang dibincangkan tadi.
Terdapat perbezaan meskipun penulis siluman merupakan penulis yang diupah untuk menulis bagi pihak orang lain untuk sesebuah buku, rencana, artikel, blog, dan sebarang bentuk penulisan.
Walaupun penulis siluman ialah orang yang mampu menulis, mereka memilih untuk tidak mengambil kredit daripada tulisannya. Maksudnya, mereka tidak menyertakan nama atau dalam istilah Inggeris, byline. Mereka hanya menjadi “penulis bayangan”.
Ketika banyak penulis biasa sentiasa mahu mengakui tulisan sendiri, kredit, penyiaran, atau populariti sewaktu menerbitkan tulisannya untuk tatapan umum, penulis siluman tidak sedemikian walaupun ruang lingkup pekerjaannya sangat luas.
Pada kebiasaannya, memang nama penulis siluman sama ada yang sebenar atau samaran tidak disertakan dalam tulisan. Mereka hanya akan diakui oleh individu atau perusahaan yang mengupah mereka.
Hak cipta tulisan tersebut juga dimiliki oleh individu atau syarikat yang mengupah, sehingga mereka bebas untuk mengubah, menambah, menyiarkan, malah menjualnya untuk kepentingan komersial.
Terdapat beberapa faktor yang mendorong seseorang atau individu memerlukan khidmat penulis siluman. Namun begitu, secara umumnya, alasan seseorang atau sesebuah institusi mengupah penulis siluman adalah kerana tiada masa menulis sendiri, atau memang tidak mampu menulis dengan baik untuk menyampaikan semua idea dalam tulisan.
Secara sederhana, tugas penulis siluman ialah menulis untuk pelanggan atas nama pelanggan tersebut. Tulisan berkenaan boleh sahaja dalam bentuk buku, blog, artikel, atau apa-apa pun mengikut permintaan pelanggan.
Meskipun begitu, pekerjaan penulis siluman tidak hanya sekadar menjadi penulis. Ada beberapa tugas lain yang juga dibuat untuk menghasilkan karya yang baik. Antara tugasnya termasuklah:
Walaupun tidak diberikan kredit dan juga tiada hak cipta, tetapi penulis siluman mampu memperoleh bayaran yang lumayan, berbanding penulis biasa.
Kredit Foto: Matthew LeJune/Unsplash
______________________________
Raja Yusoff Ariffin merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), mantan rakan Tajulmedia Melayu dan mantan ahli Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Raja Yusoff pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).