Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Bharu – Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari menegaskan yang “puisi indah, tapi (baca) tak faham, itu bukan puisi.”
Malah, Rosli lebih sinis menegur, “Jangan biarkan sastera Malaysia dipenuhi sampah sarap, yang macam hari ini siap, kelmarin dah hantar.”
Teguran itu muncul dalam Bengkel Bedah 15 Puisi bersama-sama Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dan PERADABAN di Pusat Dokumentasi Melayu Tengku Anis, DBP Wilayah Timur, Kota Bharu pada pagi Ahad yang lalu.
Acara bengkel ini bertujuan untuk memperdalam lagi proses penciptaan puisi secara lebih halus dan terperinci.
Rosli K. Matari menegaskan sekali lagi tentang kepentingan mendraf puisi yang dicipta.
Kesilapan paling awal berlaku semasa mencipta puisi ialah “terlalu ingin cepat mendraf”.
“Baikilah 30 kali pun, jika masih pada hari yang sama tetap dikira sebagai draf pertama,” kata Rosli.
Kesilapan kedua ialah hanya menyemak bahasa sahaja, tapi tidak menyemak perkara lain yang juga penting untuk disemak, seperti hala tuju karya kepada pembaca, selain emosi dan nada karya tersebut.
Menurut Rosli, penutup sebuah puisi sebagai kesimpulan karya sepatutnya mempunyai kesedaran, kekaguman, bandingan, teladan, keinsafan, emosi, kejutan, atau dibiarkan tergantung sebagai soalan.
Dalam acara berdurasi empat jam itu, Rosli terlebih dahulu mengajak para peserta untuk mengekalkan kemeriahan sastera Kelantan.
“(Penulis Kelantan) mesti duduk dalam persatuan, biar ada di dalamnya penulis mapan, muda dan penyair pemula.”
Beliau turut mengongsi beberapa pengalaman. Antaranya, Rosli pernah menasihatkan Rudi Mahmood agar mempermudah lagi puisi yang dihasilkannya agar lebih senang difahami pembaca.
Ingatannya kepada Almarhum Rahimidin Zahari tidak pernah lekang dalam hampir setiap bengkel ceramahnya.
Penyair yang meninggal pada usia 47 tahun 47 hari itu pernah meminjam beberapa kalimah dan diksi puisi miliknya, namun Rosli meminta agar kalimah ‘juring’ dan ‘temikar’ biar kekal menjadi miliknya.
Rosli sempat juga memuji karya anak didiknya yang terkini, Nik Mohd Hafiz Abdullah, “Nik Hafiz tidak emosi, dia intelektual.”