Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kegagalan penulis untuk memahami bahasa visual adalah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh pengarah dalam usaha mengadaptasi sesebuah karya ke layar perak.
Malah, hal ini berlaku hingga ke tahap ada penulis yang mahu satu per satu perkataan dalam naskhah asal diguna pakai.
Hal ini dikongsikan oleh panel, Dato’ Ahmad Tamimi Siregar dalam Forum Adaptasi Karya daripada Buku kepada Skrin menerusi laman sosial Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.
Selain beliau, dua lagi ahli panel yang ditampilkan ialah novelis Lily Haslina Nasir dan pengarah RTM, Wan Afzam Wan Daud.
Dalam forum yang dikendalikan oleh editor Dewan Sastera, Fadli al-Akiti itu, Ahmad Tamimi berkata, banyak naskhah sastera yang menginspirasikan, antaranya karya Azizi Haji Abdullah.
“Karya Azizi Haji Abdullah banyak memberikan inspirasi dan karyanya sudah diadaptasi sejak dulu.
“Misalnya, Seorang Tua di Kaki Gunung dan terkini ialah Memoir Seorang Guru.
“Adaptasi naskhah ini daripada teks ke layar perak tidak boleh sama secara total, kerana teks itu dibaca manakala filem atau drama itu ditonton,” katanya.
Justeru, Ahmad Tamimi berkata bahawa terdapat kekangan dan ada yang perlu dikorbankan dalam usaha itu.
Katanya, adaptasi daripada teks ke layar perak sebenarnya sudah lama dibuat tetapi ada banyak isu yang mengekang.
“Misalnya, sukar untuk adaptasi teks jika penulis asalnya tidak memahami bahasa visual dan hal ini membantutkan usaha.
“Penulis menghasilkan karya dalam bentuk tulisan tapi adaptasi menjadikannya dalam bentuk visual,” katanya.
Sementara itu, Wan Afzam mengakui sebagai seorang yang menulis dan mengarah, ada banyak cabaran dalam proses adaptasi dan paling ketara ialah kesetiaan pada naskhah.
“Untuk tulisan, adaptasi akan jadi susah sebab ia ada pengikutnya (sendiri) dan kita perlu memikirkan keseimbangan antara kehendak pengurusan selain dalam masa sama kita perlu fikirkan rating.
“Dari satu segi lain, perlu fikir keseimbangan penulis dan pengikut-pengikutnya.
“Itulah cabaran besar… ia agak sukar tetapi tidak mustahil,” katanya.
Tegas Wan Afzam, adaptasi karya yang baik perlu dibuat kerana jika tidak dilakukan, teks akan kekal dalam bentuk itu dan tidak berkembang.
“Usaha saya dan RTM ke arah memperluaskan lagi pemaknaan tulisan itu.
“Kalau tak menjadi, sekurang-kurangnya kami sudah mencuba untuk jadikan ia tontonan umum,” katanya.
Kredit Foto: Mohd Farid Janudin