Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Pelakon dan pengarah veteran tanah air, Dato’ Ahmad Tamimi Siregar tetap berharap dan terus menunggu untuk mengadaptasi novel Konserto Terakhir (1971) karya Sasterawan Negara (SN) Abdullah Hussain ke layar perak, walaupun sedar banyak kekangan yang menghalang.
Penulis skrip dan penulis novel Pulang dan Sesekali, Puan Lily Haslina Nasir pula amat berminat mengadaptasi novel karya Baharudin C.D., Arca Berdiri Senja (1978), meskipun mengandungi unsur politik yang tentunya sensitif bagi sesetengah pihak.
Sementara itu, Encik Wan Afzam Wan Daud yang juga penerbit, penulis skrip dan pengarah drama RTM mahu mengadaptasi Syair Siti Zubaidah Perang Cina yang epik, walaupun sedar ketelitian yang mendalam dan kos penerbitan besar amat diperlukan.
Ketiga-tiga mereka memberitahu Sdr. Fadli al-Akiti selepas editor Dewan Sastera itu bertanya apakah karya idaman untuk diadaptasi semasa Forum Adaptasi Karya daripada Buku kepada Skrin di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur 26 Mei lalu.
Fadli bertindak sebagai moderator acara yang bersekali dengan pelancaran buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 dari 24 Mei hingga 2 Jun 2024.
Dato’ Ahmad Tamimi yang kian disegani selepas Ayahanda arahannya pada tahun 2021 diminati ramai, menjelaskan sebenarnya beliau ialah pengarah ketiga yang ditawarkan mengarah drama rantaian televisyen itu yang diadaptasi daripada novel karya Azizi Haji Abdullah.
“Dua orang pengarah sebelum saya tak sanggup kerana “segan” dengan Jalil Hamid dan Fauziah Dato’ Ahmad Daud, pelakon utama Ayahanda.
“Memang rezeki saya, dan tugas menjadi lebih mudah dengan bantuan penulisan skrip yang cemerlang oleh Maizura Ederis dan Wan Mahani,” ujar Tamimi yang mengakui karya Azizi banyak memberikan ilham kepada karyawan seni lain.
Sambil menegaskan bahawa pengadaptasian novel tanah air sewajarnya rancak sejak dahulu lagi, beliau menyedari bahawa terdapat halangan yang perlu diatasi sebaik mungkin kerana sifat buku berbeza daripada drama televisyen, teater dan filem.
“Justeru, karya buku seperti novel tak boleh diangkat seratus peratus kerana pembacaan berbeza dengan penontonan. Kelembapan pengadaptasian juga disebabkan ada penulis yang tak memahami dan menolaknya,” jelas Tamimi, sambil menyebut kontroversi yang timbul pada pengadaptasian filem Ranjau Sepanjang Jalan (1966) karya SN Shahnon Ahmad dan Langit Petang (1980) karya SN A. Samad Said.

Oleh sebab perbezaan tersebut juga, Tamimi memberitahu beliau tidak meminta para pelakon Ayahanda membaca novel terlebih dahulu.
Sebaliknya, menyerahkan kepada imaginasi para pelakon untuk mentafsirkan watak dan cerita.
“Syukur saya bekerja dengan pelakon-pelakon handalan yang biasanya tak bersedia sebelum ke set. Tapi, dengan set yang telah tersedia kerana kru penggambaran takut kepada Jalil dan Fauziah, dan saya juga serius di set, mereka terlebih bersedia. Lebih mudahlah tugas,” jelasnya.
Beliau turut memuji usaha para pelakon yang beramah mesra dengan ahli keluarga Azizi demi menambah baik penampilan watak.
Dato’ Ahmad Tamimi yang mengaku tidak mampu menulis skrip turut bersyukur memperoleh adaptasi skrip yang amat baik.
Tambahnya, plot novel Ayahanda tidak tersusun dengan baik untuk sesebuah filem.
Lily Haslina yang mengadaptasi sajak Siti Zaleha M. Hashim “Sesekali” pula menganggap telefilem dengan judul serupa arahan Hisyamudin Ahmad ialah hasil kerja sepasukan.
Katanya, beliau diminta oleh penerbit RTM untuk menghasilkan Sesekali dengan lenggok filem Pulang (2018).
“Saya membantah kerana Pulang ada unsur Bollywood. Walau bagaimanapun, kata sepakat untuk mengikut kehendak saya dicapai semasa mesyuarat kedua.
“Hisyamudin turut membantu dengan selalu membayangkan susun gerak kamera, yang memudahkan saya menulis skrip,” jelas Lily.
Mengenai novelisasi filem Pulang, Lily memberitahu prosesnya mengambil masa sebulan kerana skrip asalnya hanya mengandungi 20,000 patah perkataan sahaja.
“Saya menghadapi kesukaran untuk menokok tambahnya kerana filem arahan Kabir berunsur Bollywood.
“Saya juga diminta memasukkan unsur cinta (dalam novel). Ertinya, saya perlu memasukkan beberapa perkara yang tidak ada dalam filem.”

Pengadaptasian merupakan suatu hal yang perlu dalam sastera menurut Wan Afzam pula kerana jika adaptasi tidak dilakukan walaupun sukar, sesebuah karya itu akan “beku” begitu sahaja dan tidak berkembang.
“Kalau menulis perkara yang biasa pun ada maksudnya, apatah lagi karya sastera.
“Memang penulis bebas berkarya, tetapi tetap perlu bertanggungjawab pada apa yang ditulisnya,” tambah beliau.
Wan Afzam mengakui yang beliau bimbang apabila pembaca tidak berpuas hati kerana pengadaptasian tidak setia pada karya asalnya seratus peratus.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa penulis skrip adaptasi perlu berani untuk “lari” daripada karya asal. Lagipun, wujud keadilan kerana setiap orang ada cita rasa penghayatan mereka yang tersendiri terhadap sastera.
Turut hadir pada Pelancaran Buku dan Forum Adaptasi Karya daripada Buku kepada Skrin ialah Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBhg. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Buku Sastera DBP, YBrs. Encik Mohd. Azam Juhari; Mantan Ketua Pengarah Istana Budaya, YBhg. Dato’ Azhar Abu Bakar, dan penyanyi Dr. Shafa’atussara Silahudin yang mendendangkan lagu Suatu Masa.
Kredit Foto: Mohd Farid Janudin