Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Bharu – “Sebagai penulis, kita menjadi ejen untuk memberi pencerahan kepada orang-orang di sekitar kita.”
Begitulah bimbingan yang disampaikan oleh Ku Seman Ku Hussain dalam Bengkel Penulisan Novel Satira dan Bengkel Penulisan Esei yang berlangsung di dewan seminar Perpustakaan Awam Kelantan pada pagi Jumaat lalu.
Dalam ceramahnya, Ku Seman menegaskan bahawa langkah pertama yang paling penting untuk menjadi penulis ialah minat.
Beliau seterusnya memberitahu para peserta bahawa persediaan seorang penulis ialah perlu banyak membaca dan mesti berfikiran kritis.
Ku Seman menambah, “Sebagai penulis, cubalah mengungkapkan hal-hal yang terlepas pandang oleh orang lain.”
Dalam hal membezakan antara penulisan berita dengan esei, Ku Seman menerangkan, “Dalam tulisan, kita kena tunjuk, jangan memberitahu. Dalam esei, jika ‘melaporkan’ itu bukan esei yang baik.”
Ku Seman turut menceritakan pengalaman terkininya sebagai kolumnis di akhbar Wilayahku, “Saya memperuntukkan masa dua hari untuk menulis 800 perkataan untuk kolum tersebut.
“Tempoh dua hari itu juga digunakan untuk mematangkan tulisan, kemudian baru mendapat pendirian.”
Tambah beliau, “Jangan ambil masa terlalu cepat, nanti tulisan itu tidak masak.”
Khairy Haji Halimi, pengarang novel pula, menyenaraikan beberapa strategi yang perlu dimiliki oleh seorang penulis, antara lain ialah waktu dan tenaga mesti diperuntukkan untuk mengarang sesuatu karya.
Persiapan minda untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku selepas berkarya juga perlu selain persiapan diri termasuk persediaan mental.
Menurutnya, sebuah novel satira perlu memiliki beberapa ciri seperti memiliki paksi yang sejajar dengan realiti, berasaskan pemikiran normal yang boleh dipertanggungjawabkan, mempunyai nilai estetika serta murni dengan memiliki pengajaran, sifat mahmudah (terpuji) dan sifat tercela (mazmumah).
Namun begitu, pengarang ada kalanya menghadapi masalah kekurangan bahan dan kebuntuan idea.
Masalah tersebut boleh diatasi dengan menggunakan beberapa cara alternatif, seperti menonton televisyen, membaca bahan bacaan alternatif lain, membuat air minuman dan makan makanan ringan.
Setelah pulih dan berasa segar, proses menulis bolehlah disambung semula.
Khairy Haji Halimi merupakan novelis yang telah menulis lapan buah novel, termasuk Warisan Pesara, Medan Estuari, Aksioma Ain, dan Pahlawan Sang Kumbang Badak.
Bengkel yang disertai oleh sekitar 30 orang peserta yang terdiri daripada pelajar lepasan SPM dan orang perseorangan merupakan anjuran Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan.
Kredit Foto: Abd Ghaffar Daud