Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai sebuah institusi yang melakukan kerja-kerja pemuliharaan dan pengumpulan bahan sastera akan mempergiat penyelidikan sastera tradisional dan moden sebagai khazanah negara.”
Demikian ulasan Encik Saifullizan Yahaya, selaku panel dalam Wacana Perancangan Penyelidikan Sastera: Pembina Korpus Sastera Kebangsaan yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024.
Bertempat di reruai DBP, Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, program di bawah kelolaan Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP menampilkan barisan panel yang mapan dalam lapangan penyelidikan sastera tempatan, iaitu YBrs. Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim, YBrs. Dr. Mohamad Shaidan dan Encik Saifullizan Yahaya.
Wacana ini membicarakan isu yang berkaitan dengan penyelidikan sastera, khususnya sastera tradisional dan sastera moden dalam memastikan manuskrip lama dan baharu dapat dipelihara dan usaha penyelidikan berkaitan dengannya dapat dilaksanakan dengan lebih giat lagi.
Menyentuh hal berkaitan dengan kepentingan penyelidikan sastera tradisional sebagai khazanah negara, YBrs. Dr. Mohamad Shaidan melihat buku Kumpulan Pantun Lisan Melayu: Kurik Kundi, Merah Saga sebagai satu daripada usaha DBP dalam memastikan karya tradisional seperti pantun lisan dapat dikumpulkan sebagai bahan kajian para penyelidik dan bahan bacaan masyarakat pada hari mendatang. Jelasnya,
Walaupun Kurik Kundi, Merah Saga diterbitkan kali pertama pada tahun 1990, namun sudah diulang cetak berkali-kali. Pada saya, buku ini memberikan kesan yang besar kepada masyarakat dari segi penyebarannya. Tetapi dari segi pencarian dan kepentingannya, kita masih tidak dapat lagi mengangkat dan menterjemahkannya dalam bentuk kajian.
Selain itu, YBrs. Dr. Mohd. Hanafi turut mengulas bahawa penyelidikan sastera moden kini mengalami perkembangan pesat apabila bidang tugas tersebut diperluas kepada kajian teori dan kesusasteraan bandingan.
Menurut beliau, kepesatan perkembangan ini mampu memperlihatkan pemikiran pengarang yang mencerminkan kehidupan masyarakat pada ketika itu dalam karya mereka.
Penganjuran Wacana Perancangan Penyelidikan Sastera: Pembina Korpus Sastera Kebangsaan ini merupakan satu daripada usaha DBP dalam memastikan penyelidikan sastera di Malaysia semakin giat dilakukan oleh karyawan DBP berbekalkan kepakaran yang ada.

Usaha pemuliharaan karya sastera yang dilakukan oleh DBP tidak boleh diabaikan oleh masyarakat, khususnya generasi pada masa ini. Jelas Encik Saifullizan,
Jika usaha kajian seperti pengumpulan pantun ini tidak dilakukan oleh DBP, adakah hasilnya akan wujud jika kerja penyelidikan ini tidak digerakkan dengan lebih awal?
“Kajian sastera merupakan khazanah negara. Oleh itu, antara usaha DBP termasuklah mendapatkan manuskrip lama dan usaha transliterasi manuskrip. Contoh terbaharu manuskrip lama yang dapat dipelihara oleh DBP ialah Hikayat Tuan Puteri Saadong,” jelas Encik Saifullizan apabila melihat peranan DBP sebagai badan organisasi yang akan memastikan teks dan karya lama terus dipelihara.
Kehadiran pengunjung PBAKL yang berada di sekitar ruang pameran reruai DBP pada petang tadi menghangatkan lagi suasana wacana ilmu yang dikemudikan oleh Encik Rusdi Abd Rahman, selaku moderator.
Sepanjang berlangsungnya PBAKL yang bermula dari 24 Mei 2024 hingga 2 Jun 2024 ini, DBP telah merancang pelbagai aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan, antaranya termasuklah program berbentuk santai, forum dan wacana ilmu sebagai pengisian kepada pengunjung yang menghadiri PBAKL 2024.
Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin