Oleh Rasoul Manan
24 Mei 2024, 17:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuka gelanggang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL) dengan mengadakan sesi bicara karya Antologi Cerpen: Serikandi Maya dan Sebuah Rumah dan Naratif Tanah Air , pada pagi tadi.

Program ini telah dilancarkan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, iaitu YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan di reruai DBP, Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Dalam majlis tersebut, beliau menyatakan perasaan gembira serta bangga dengan pelancaran antologi berkenaan kerana usaha itu merupakan tanda pengiktirafan terhadap usaha gigih para penulis dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi.

“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penulis dan editor yang terlibat dalam penerbitan buku ini.”

“Usaha dan dedikasi ini ialah lambang komitmen terhadap perkembangan dan pemerkasaan sastera.”

Dato’ Dr. Anwar Ridhwan memberikan buah fikiran ketika merasmikan program DBP di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Saya yakin bahawa buku ini akan menjadi sumber inspirasi dan membuka ruang yang lebih luas kepada karya tempatan menembusi pasaran luar.

Selain itu, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan turut mengulas bahawa PBAKL merupakan salah satu platform yang amat bermakna bagi para pencinta buku dan penulis dari seluruh dunia untuk berkongsi karya, ilmu, dan pengalaman.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari pula mengatakan bahawa dalam menghasilkan sebuah buku yang baik dan sempurna sifatnya untuk dibaca oleh semua golongan bukanlah satu kerja yang mudah.

“Banyak pihak yang terlibat dalam proses ini, bermula daripada idea asal penulis, menjadi sebuah manuskrip sehinggalah menjadi sebuah buku yang berkualiti.”

Oleh itu, kami di DBP amat mengalu-alukan naskhah anda semua untuk diterbitkan dalam bentuk karya kreatif dan bukan kreatif.

Dato’ Dr. Anwar Ridhwan (Tengah) dan Dr. Hazami Jahari (Kiri) bersama-sama Pengarah Jabatan Penerbitan, Puan Fuzilahyatun Mustafa serta Ketua Editor Bahagian Buku Sastera (Encik Mohd Azam Juhari (paling kiri) semasa melancarkan Antologi Cerpen: Serikandi Maya dan Sebuah Rumah dan Naratif Tanah Air.

Terdahulu, Serikandi Maya menghimpun 27 buah cerpen daripada 18 penulis tempatan. Antologi ini memaparkan ragam hidup masyarakat daripada golongan elit hinggalah rakyat biasa. Kumpulan cerpen ini turut memaparkan gundah masyarakat ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Manakala Sebuah Rumah dan Naratif Tanah Air memperlihatkan buah fikiran pengarang yang dipilih mengenai tanah air dan kepekaan mereka terhadap isu yang berlaku di negara berlandaskan tema Malaysia MADANI.

Salina Ibrahim, selaku editor yang menyusun antologi cerpen ini menyatakan bahawa beliau amat berpuas hati dan yakin setiap karya yang ditulis akan membekas ke dalam hati pembaca.

Antara pengarang yang terlibat dalam penulisan ini termasuklah Hafizah Ishazanid, Lokman Hakim, Ruhaini Matdarin dan Tiras Raduan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.