Oleh Marsli N.O
24 Mei 2024, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O menyampaikan pengalamannya tentang menerima kekalahan dan penolakan dalam dunia penulisan.

Dalam lingkup yang lebih bersifat mikro, adalah suatu yang normal untuk seorang penulis atau sasterawan berasa sedih dan kecewa jika karyanya yang dikirim kepada sesebuah penerbitan ditolak dan tidak disiarkan.

Ketika terbaca kisah penamatan kontrak seorang petugas popular dalam bidang penyiaran yang melintas secara terbuka ke ruang media sosial saya menyedarkan saya betapa sebagai manusia biasa yang normal, menerima kekalahan dan penolakan itu memang sukar, apatah lagi jika jauh di dasar sanubari kita, memang kita mengharapkan sesuatu.

Pada sisi yang lain juga, perasaan telah tidak dihargai setelah menaburkan jasa bakti dan diperlakukan seperti habis manis sepah dibuang memang amat menyakitkan perasaan sesiapa pun dalam kalangan kita.

Sebagai tindak balas awal dan demi memuaskan perasaan sendiri, siapa yang berasakan dirinya menjadi mangsa akan meluahkan rasa tidak puas hatinya secara terbuka di pelbagai media, di medan sosial atau yang konvensional, kerana sifatnya memang mencari dan menggemari segala sesuatu yang sifatnya sensasi akan dengan segera membantu menyebarluaskannya.

Tentu sahaja pihak yang merasakan telah dituding tidak akan berdiam diri. Mereka pun membalasnya dengan cara mengeluarkan dan mempamerkan segala bukti yang ada. Tujuannya pasti sahaja untuk membuktikan mereka tidak bersalah dan bukanlah pihak yang bertindak sedemikian kejam.

Maka, berlangsunglah episod drama tuding-menuding dan usaha menegakkan benang yang basah. Memanglah, tiada pihak yang mahu mengalah dan berasa di pihak yang betul. Episod ini akan berlanjutan hingga pada suatu tahap yang mungkin membabitkan perundangan.

Akhirnya, benarlah seperti kata pepatah, “Yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang!”

Semua ini lantaran sikap ujub dan tidak bersedia menerima kekalahan dengan hati dan jiwa terbuka.

Dalam dunia sastera dan penulisan tanah air kita pun hal sebegini turut berlaku. Tanpa mahu memihak kepada sesiapa, sikap keterlaluan seseorang yang mengkritik karya seseorang telah berlanjut kepada pengadilan undang-undang.

Dalam lingkup yang lebih bersifat mikro, adalah suatu yang normal untuk seorang penulis atau sasterawan berasa sedih dan kecewa jika karyanya yang dikirim kepada sesebuah penerbitan ditolak dan tidak disiarkan.

Peringkat awal menulis dahulu, sekitar usia muda dan remaja, demikianlah perasaan dan penerimaan saya. Penolakan bagi saya ketika itu dianggap sebagai bukti kegagalan diri sendiri sebagai penulis.

Rasa sedih dan kecewa merongrong perasaan dan jiwa. Lantaran keterlaluan melayan perasaan sedih dan kecewa, usaha menulis dan terus berkarya turut terabai. Pada waktu itu, tidak banyak karya yang berjaya dihasilkan dan telah disiarkan.

Saya tahu betapa bahayanya berterusan melayan perasaan negatif begitu. Pada waktu sama, saya turut menginsafi betapa karya saya tidak mudah menembusi ruang penyiaran, lantaran kecetekan ilmu yang dimiliki.

Mujur juga kesedaran mengenai kecetekan ilmu yang dimiliki oleh diri mendorong saya terus berusaha untuk belajar dengan pelbagai cara secara sendiri dan tidak mengabaikan interaksi yang berfaedah dan pembacaan.

Namun syukur. Seiring peningkatan usia, muhasabah diri dan pembacaan, perasaan negatif tersebut sedikit demi sedikit menghilang dan digantikan dengan kesedaran. Kegagalan dan setiap penolakan karya tidak lagi dianggap sebagai “jalan mati”. Sebaliknya, diterima sebagai cabaran dan dugaan yang mesti diterima serta perlu dihadapi dengan perasaan terbuka dan jiwa yang tabah.

Setelah semakin berusia, apabila setiap kali mengirim karya sama ada yang berbentuk eceran ataupun manuskrip untuk pertimbangan sesebuah penerbitan dan menerima keputusan penolakan, saya tidak mahu bazirkan waktu dan tenaga meluahkan rasa marah, sedih, kecewa diri sendiri, dan mempersoalkan kembali apa-apa alasan dan sebab penolakan (jika mereka memberikan sebab dan alasan) karya tersebut.

Saya memutuskan, daripada membazirkan waktu secara negatif demikian, lebih baik saya kembali meneliti karya yang telah ditolak itu, memperbaiki dan memperkemaskannya di mana yang dirasakan perlu. Setelah itu, karya tersebut akan dikirimkan ke penerbitan yang lain pula.

Akan tetapi, jika itu pun ditolak dan kiriman kepada beberapa penerbitan yang lain pun mengalami nasib yang sama, karya tersebut akan disimpan dan saya pendamkannya selama tempoh waktu tertentu untuk nanti akan kembali ditinjau atau memperbaikinya lagi dan mencari kemungkinan menerbitkannya dengan modal daripada poket saya sendiri.

Demikian juga dengan beberapa perkara lain yang melibatkan penilaian, permohonan dan kelulusan antara diri saya dengan pihak tertentu atau manusia lain.

Permintaan dan permohonan saya terhadap sesuatu, yang melibatkan penentuan sama ada diterima atau ditolak oleh pihak lain pun saya letak pada batasan yang sewajarnya, yang tidak sampai meletakkan diri saya sebagai seorang pengemis di mata orang atau pihak lain.

Jika keputusannya adalah ditolak, saya memaksa dan mengajar diri untuk menerima keputusan itu dengan hati dan jiwa terbuka sebagai suatu hakikat betapa memang bukan rezeki untuk diri saya. Oleh sebab itu, saya tidak akan merayu-rayu sehingga tahap mengemis dan mengharapkan simpati orang secara berlebih-lebihan.

Dengan cara bersedia dan mengajar diri menerima segalanya, kekalahan, penolakan dan rasa kecewa atau sebagainya yang bersifat negatif begini, saya sekurang-kurangnya dapat hidup dengan hati dan jiwa yang tenang, tanpa dibebani perasaan seakan-akan telah dipinggirkan, tidak berguna dan belas diri yang keterlaluan.

Tidak mengapa jika saya dikalahkan dan ditolak. Saya mengajar dan memaksa diri agar menerimanya dengan perasaan dan jiwa terbuka. Menerima hakikat bahwa tidak setiap kehendak dan keinginan manusia itu secara peribadi akan sentiasa tercapai dan dimakbulkan. Saya percaya dan yakin pada ketentuan rezeki yang ditetapkan oleh Yang Maha Berkuasa.

Mungkin cara saya ini tidak sepenuhnya benar dan tepat. Namun yang penting saya dapat hidup tenang dan bahagia sehingga kini.

Kredit Gambar: Art Institute of Chicago/Unsplash

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.