Oleh Marsli N.O
27 Mac 2023, 13:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O bercerita tentang titik awalnya menjadi seorang penulis, dan mencari jalan sendiri dalam langkah awal tersebut.

Atas minat dan cita-cita yang membara itu, saya mulai menjadi pembeli buku secara tetap pada setiap bulan apabila ke bandar. Menyisihkan beberapa ringgit untuk buku dan mengurangkan hobi menonton wayang atau membeli pakaian berjenama.

Tahun 1977. Ketika baru meninggalkan alam remaja dan saya mula belajar hendak jadi penulis, tiada sesiapa yang mengajar dan menjadi guru.

Ketika itu, saya sudah enam tahun meninggalkan bangku sekolah menengah, yang saya tinggalkan selepas selesai tingkatan satu dan untuk menafkahi hidup bersendirian, saya bekerja sebagai kuli di sebuah ladang kelapa sawit milik pemodal British.

Akan tetapi, menjadi kuli dan ceteknya ilmu tidak memudarkan semangat dan cita-cita saya hendak jadi penulis. Waktu malam, saya mengisi kesunyian di sekitar perumahan ladang tanpa radio atau televisyen itu dengan menulis apa-apa sahaja yang terdetak menyentuh perasaan: kegelisahan seorang remaja menuju ke alam dewasa dan berusaha keras menetapkan hala tuju hidupnya!

Atas minat dan cita-cita yang membara itu, saya mulai menjadi pembeli buku secara tetap pada setiap bulan apabila ke bandar. Menyisihkan beberapa ringgit untuk buku dan mengurangkan hobi menonton wayang atau membeli pakaian berjenama.

Demi minat dan cita-cita membara itu, kerana sedar keterbatasan diri, saya berusaha belajar daripada buku-buku yang saya baca dan melalui proses uji cuba, menulis dan terus menulis serta belajar daripada kesilapan tulisan saya sebelumnya, yang ketika dikirimkan ke akhbar dan majalah tetapi tidak pernah disiarkan.

Memang ada saya baca iklan kursus menulis secara pos di akhbar, tetapi walau yurannya sekitar RM15 atau RM20 sebulan, namun saya fikir duit itu lebih baik saya beli buku dan makanan.

Kehidupan tahun 1977 ialah dunia tanpa internet atau komunikasinya tidak semudah kini. Keadaan ekonomi yang terbatas juga hanya memungkinkan saya turun ke bandar dua kali sahaja sebulan. Ketika itulah saya bertandang ke kedai buku, berjalan sekitar bandar Kuantan dan menonton wayang.

Jadi begitulah. Oleh sebab sedar dan tahu segala kekurangan dan kepayahan itu, mahu tidak mahu pembelajaran menulis saya sepenuhnya bergantung pada buku-buku dan kecekalan semangat untuk berusaha dan terus bertahan sampai jaya.

Oleh sebab itu juga sampai kini pun, saya tidak begitu tersinggung atau mahu ambil pusing kalau ada yang mengejek saya sebagai penulis yang tidak bersekolah tinggi dan hanya mengandalkan dirinya kepada bakat alam.

Hakikatnya, memang itulah sebenarnya pertumbuhan saya sebagai penulis pada peringkat awal.

Apalagi saya hanya seorang anak yang tidak beribu atau berbapakan seorang sasterawan, tidak juga punya saudara-mara penulis terkenal yang dapat membantu dan menolong memudahkan perjalanan saya sebagai seorang penulis.

Hakikat yang saya kena terima dengan penuh sedar ialah saya ini seorang anak yang sudah tidak punya bapa sejak berusia tujuh tahun, jadi saya kena bersedia menghadapi apa-apa saja kemungkinan jika ingin berjaya dalam hidup.

Hari ini, ketika terus diberikan oleh Tuhan nikmat dan rahmat hidup pada abad 21, pada pelbagai media maya dan media sosial, saya melihat ramai orang mengiklankan pelbagai bengkel dan kursus penulisan dengan bayaran yuran yang pelbagai juga.

Saya tidak berkata kursus dan bengkel begini tidak bagus atau jangan disertai.

Akan tetapi, banyak buku mengenai penulisan yang sedia dijual di pasaran, jika benar-benar ditelaah dengan teliti, serta dibarengi dengan usaha bersungguh-sungguh untuk terus menulis oleh peribadi-peribadi berkenaan, duit yang dikeluarkan sebanyak RM100 hingga RM 200itu sebenarnya boleh digunakan untuk perkara lain, seperti membeli buku-buku yang bagus dan bermutu.

Malah, di ruang maya pula, jika rajin mencari serta menyelongkar, dengan fokus dan kawalan diri yang ketat, akan ditemui pelbagai laman atau portal yang memberikan pelbagai panduan serta petunjuk berguna kepada sesiapa yang berniat dan bercita-cita mahu menulis secara serius.

Akan tetapi, saya tidak kata jangan sama sekali menyertai bengkel penulisan. Sesiapa sahaja yang berminat, teruskan. Hal yang pasti, sikap suka berbelas diri dan sentiasa pada setiap waktu mengharapkan dukungan dan perhatian yang berlebihan, tidak akan menjadikan sesiapa pun anda sebagai penulis.

Kecuali jika memang niat awal kita memasuki dunia tulis dan menulis ini untuk jadi popular dan boneka mainan yang akan berpindah dari satu tangan ke satu tangan yang lain!

Kredit Gambar: Janaan Kecerdasan Buatan DALL-E

_________________________

Marsli N.O lahir di Kertih, Terengganu. Kini penulis sepenuh masa yang memilih bersendirian dan hanya ingin menjadi dirinya sendiri. Telah menerbitkan beberapa buku dan dapat dihubungi lewat e-mel [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.