Oleh Suyuthi Yusuf
10 September 2023, 01:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seberang JayaMahizan Husain diumumkan sebagai Sasterawan Negeri Pulau Pinang 2023 dalam majlis Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang (ASNPP) yang diadakan di Hotel The Light, Seberang Jaya, pada malam tadi. Penganugerahan tersebut melayakkan beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM10 000.

ASNPP diperkenalkan bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan penulis dan karyawan Negeri Pulau Pinang dalam dunia penulisan. ASNPP terdiri daripada tiga kategori, iaitu Anugerah Sasterawan Negeri Pulau Pinang, Anugerah Khas dan Hadiah Sastera (Hadiah Sasterawan Bukan Melayu, Hadiah Sasterawan Muda, Hadiah Sasterawan Harapan, Hadiah Cekal Sastera dan Hadiah Ketua Panel Juri Penilai).

Mahizan Husain menerima Anugerah Sasterawan Negeri Pulau Pinang 2023 daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak.
Penerima Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang 2023 bergambar bersama-sama dengan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak.

Anugerah yang julung kali diadakan tersebut telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak. Turut hadir dalam majlis yang sama ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Yang Berhormat (YB) Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang; YB. Dato’ Mohd Sayuthi Bakar; dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hazami Jahari. 

ASNPP dikendalikan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan DBP Wilayah Utara. Para panel penilai ASNPP bagi tahun 2023 ialah Dr. Mohd Hanafi Ibrahim (Ketua Panel Penilai), Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Dr. Mohamad Shaidan, Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M Zakir), Zainal Palit (Zaen Kasturi), Che Abdullah Che Ya, Saifullizan Yahya dan Mohd Fairuz Padoli.

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak semasa menyempurnakan perasmian Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang 2023.

YB. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang yang julung kali diadakan ini menjadi bukti bahawa kerajaan negeri sentiasa menyokong apa-apa sahaja kegiatan yang memberikan impak kepada pembentukan tamadun bangsa.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

ASNPP yang diadakan ini bertujuan untuk menyampaikan pengiktirafan kerajaan negeri kepada penulis, pengkarya dan karyawan negeri Pulau Pinang yang telah memartabatkan kesusasteraan tanah air. Pengiktirafan kerajaan negeri ini manfaatnya akan kembali kepada rakyat jua.

Selain itu, Anugerah Khas pula telah diberikan kepada Sasterawan Negara (SN), Yang Berbahagia (YBhg.) Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh. Anugerah Sasterawan Harapan pula menjadi milik Nur Adilla Abdul Rahim, manakala Anugerah Cekal Sastera diberikan kepada YBhg. Dato’ Haji Anuar Ahmad@Anuar Asmadi. Muhammad Afif Zulhusni pula merangkul Anugerah Sasterawan Muda.

SN, YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh semasa menerima Anugerah Khas.
YBhg. Dato’ Haji Anuar Ahmad, penerima Anugerah Cekal Sastera.
Penerima Anugerah Sasterawan Harapan, Nur Adilla Abdul Rahim.

Bagi penerima Anugerah Kategori A, setiap penerima membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2000. Pemenangnya adalah seperti yang berikut:

  • Sanusi Din (Kumpulan Puisi Kerana Manusia Bukan Kertas).
  • Azrin Fauzi (Kumpulan Cerpen Amok-Imago).
  • Mahizan Husain (Novel Menunggu Tuan Juragan yang Belum Pulang).
Penerima Anugerah Kategori A, Azrin Fauzi.

Penerima Anugerah Kategori B pula meraih wang tunai berjumlah RM1000 dan penerima anugerah tersebut ialah:

  • Sanusi Din (Puisi bertajuk” Dirangkul Masa Lalu”).
  • Nur Afrina Abd. Aziz (Puisi bertajuk “Firdausi Anak Maghribi”).
  • Wan Mohamad Taufik Wan Mohd Kamal (Puisi bertajuk “Pelita Umat”).
  • Nur Adilla Abd. Rahim (Cerpen bertajuk “Saudade”).
  • Muhammad Afif Zulhusni Azhar (Cerpen bertajuk “Ga Alif Ya Way Nga”).
  • Mahizan Husain (Cerpen bertajuk “Sang Kritikus”).
  • Siti Solehah Abd. Gyani (Skrip Drama bertajuk “Along”).
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.