Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJohor Bahru – Bengkel Penulisan Buku Informatif Kanak-kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dengan kerjasama Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja DBP, Kuala Lumpur telah disertai seramai 20 orang peserta di Lanai Pustaka, baru-baru ini.
Puan Shakira Khairudin dan Puan Siti Hanim Yunus telah dijemput sebagai pembimbing tentang panduan menghasilkan manuskrip buku informatif untuk kanak-kanak.
Dalam bengkel ini, peserta diajar cara penulisan buku informatif melalui persembahan tajuk buku yang mampu menarik perhatian kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.
Para peserta juga diajar tentang pembinaan struktur cerita, pembinaan watak dan pengembangan plot agak menjadi lebih menarik serta memikat pembaca kelak.
Setelah itu, mereka turut diminta untuk membentangkan papan cerita yang dihasilkan dalam sesi perbincangan.
Menurut Puan Shakira Khairudin, setiap peserta bengkel perlu memahami panduan penulisan papan cerita agar manuskrip tidak tersasar dan berlakunya pengulangan babak cerita yang dihasilkan.
Selain itu, penulis dapat menyusun kedudukan teks dan ilustrasi dengan lebih teratur agar dapat menghasilkan buku informatif yang baik serta menepati tempoh masa yang telah ditetapkan oleh DBP. Jelas beliau;
Bengkel Penulisan Buku Informatif Kanak-kanak adalah langkah positif dalam membimbing penulis baharu dalam menghasilkan manuskrip yang berkualiti.
Dengan pengetahuan dan panduan yang diberikan, para peserta akan lebih bersemangat dan yakin untuk menghasilkan penulisan dan menerbitkan manuskrip buku agar menjadi bahan bacaan yang mampu memberi manfaat kepada orang ramai terutama kanak-kanak.
Turut hadir, Puan Norzuzilawati Sulaiman, mewakili Pengarah DBPWS menyampaikan penyampaian cenderamata kepada penceramah dan sijil penyertaan kepada para peserta.