30 Ogos 2023, 14:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tangkak – “Program Mencari Hamka” merupakan salah satu inisiatif Persatuan Komuniti Buku Pengkarya Johor (KBKJ) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Cawangan Tangkak (PPAJ) dan Naskhah Karya dalam usaha merealisasikan perancangan menjadikan Daerah Tangkak sebagai Wilayah Buku.

Ujar Encik Salleh Hashim, Ketua 2 KBKJ dan pengurus projek serta pembimbing program ketika ditemubual di Perpustakaan Awam Cawangan Tangkak,

KBKJ menyasarkan daerah Tangkak sebagai Wilayah Buku. Salah satu program yang diusahakan ialah “Program Mencari Hamka”. Antara aktiviti yang dimuatkan dalam program ini ialah bengkel penulisan kreatif dan bukan kreatif, perkongsian ilmu tentang dunia penulisan, bedah karya, dan sesi bersama-sama penerbit dan editor buku serta majalah. Para peserta juga berpeluang melawat ke syarikat penerbitan dan pencetakan agar mereka dapat melihat sendiri proses penghasilan buku dan majalah.

Encik Salleh Hashim ketika memberikan perkongsian dalam Program Mencari Hamka di Perpustakaan Awam Cawangan Tangkak.

Menurutnya lagi, “Program Mencari Hamka” merupakan bengkel penulisan yang diadakan pada setiap hari Sabtu bermula pada 3 Jun hingga 28 Oktober. Program  penulisan ini terbuka kepada peserta seawal usia 12 tahun dan ke atas. Ujarnya lagi,

Program ini menandakan dedikasi KBKJ dalam membentuk generasi muda yang gemar membaca dan menulis, serta menyokong pembangunan literasi di Tangkak.

Encik Riduwan Wahab, Pengarah DBPWS (kiri) bersama-sama dengan Encik Salleh Hashim.

Seterusnya, matlamat utama program ini adalah bagi melahirkan lebih ramai penulis muda agar dapat mewarisi keintelektualan dan pemikiran Hamka dalam dunia penulisan dan perbukuan. Hamka merupakan tokoh besar dan karya-karyanya memberikan inspirasi kepada banyak orang. Program ini juga memberi peluang kepada peserta untuk menerbitkan karya dan mengikuti jejak perjalanan penulisan Hamka.

Encik Salleh Hashim sedang melakukan perbincangan dengan peserta program.

Kami berharap kelas bimbingan ini dapat memenuhkan kekosongan jiwa dan minda generasi muda dengan pengisian ilmu dalam bentuk penulisan kreatif yang akan melahirkan lebih ramai pengkarya hebat seperti Hamka. Kami cuba menarik minat anak muda menjadi penulis dan pemikir agar mereka membesar dan dewasa dengan karya kreatif yang mencapah akal pemikiran. Bangsa yang membaca dan mempunyai banyak manuskrip adalah bangsa yang maju dan bertamadun.

Encik Salleh Hashim bersama-sama peserta program.

Jelasnya lagi, pihak beliau sedang mengumpulkan karya dan membawa perancangan tersebut kepada kerajaan Negeri Johor untuk penambahbaikan dan sokongan dana. Lanjutnya lagi,

Besar harapan kami untuk melihat usaha ini direalisasikan kerana ia memerlukan perancangan yang teliti serta kos yang besar. Hal ini disebabkan kos penerbitan yang semakin meningkat. Oleh sebab itu, sokongan semua pihak amat kami perlukan agar dapat mengumpulkan dana yang lebih besar. Manfaatnya bukan untuk KBKJ sahaja tetapi untuk masyarakat di daerah Tangkak dan juga daerah di sekitarnya.

KBKJ yang diasaskan pada tahun 2020 merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang bergerak aktif dalam penganjuran program sastera dan penerbitan buku. Terdapat banyak karya yang diterbitkan melalui hasil pertandingan dan pengumpulan karya. Antara karya yang pernah diterbitkan termasuklah buku 50 esei Hari Guru, Antologi Puisi dan Cerpen Mengembalikan Silam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.