Diterbitkan pada 15 Februari 2025, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu Zaen Kasturi, penerima SEA Write Award 2010 menyantuni para penulis Sabah dalam dua program yang berbeza anjuran Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS) dan Ikatan Penulis Sabah (IPS).

Program pertama, Dialog Santai Sastera yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kesapang, Kota Belud pada 12 Februari 2025 membawakan topik Menulis untuk Apa?.

Dalam program yang dihadiri oleh aktivis teater dan para penulis yang pernah aktif berkarya dalam Dewan Sastera pada awal tahun 1980-an dan akhir 1990-an, beliau mengatakan bahawa suatu ketika dahulu sekitar tahun tersebut, daerah-daerah di utara Sabah merupakan lubuk sastera bagi negeri ini.

Saibil Madun bersama-sama Hasyuda Abadi pada tahun 1987.

Sebagai contoh, dalam era tersebut seorang penulis kelahiran daerah Kudat, Saibil Madun pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia melalui kumpulan puisinya berjudul Laut Sebuah Ayunan, sebuah karya yang sarat dengan nilai estetik dan sangat kuat menggambarkan sosiobudaya tempatan mewakili zamannya.

Beliau menyeru persatuan penulis agar bersatu untuk mewujudkan penulis pelapis, di samping mempertingkatkan kegiatan sastera dan bedah karya bagi mengembalikan kecemerlangan dan mengekalkan kegemilangan sastera di negeri tersebut.

Seterusnya pada 13 Februari 2025, program kedua iaitu Kuliah Bersama Zaen Kasturi: Kreativiti dan Inovasi dalam Sastera yang berlangsung di Rumah Puisi Hasyuda Abadi, Kota Kinabalu membincangkan usaha penterjemahan karya yang agak malap bukan sahaja di negeri Sabah, malah di peringkat kebangsaan. Ujarnya:

Karya Saibil Madun, Laut Sebuah Ayunan di samping karya Hasyuda Abadi, Balada Paduka Mat Salleh.

“Usaha penterjemahan karya sastera bukan sekadar soal bahasa tetapi juga soal pemeliharaan budaya, penyebaran ilmu, dan pembinaan jalinan antara masyarakat dunia.

“Saya sendiri telah menerima S.E.A Write Award pada tahun 2010, namun belum ada pihak menghubungi saya untuk menterjemahkan karya saya setelah lebih sedekad berlalu,” ujarnya.

Selain isu penterjemahan, antara persoalan seputar dunia sastera yang dibicarakan ialah kearifan tempatan sebagai “permata tersembunyi” yang dimiliki oleh para penulis Sabah.

Beliau mengakui akan lebih cerdik dalam berkarya, seandainya beliau lahir di negeri Sabah yang bukan sahaja kaya dengan keindahan alam dan biodiversiti, tetapi juga memiliki khazanah budaya yang tersembunyi dalam bentuk kearifan tempatan yang sekiranya diterjemahkan dalam karya, berpotensi melahirkan karya-karya besar.

Beliau merujuk pada novel A Child of The Northeast oleh penulis Thailand, Kampoon Boontawee yang menonjolkan tema universal walaupun hanya berfokuskan pada kehidupan desa di Thailand.

Selain daripada itu, beliau turut menyebut beberapa contoh karya besar dunia hasil tulisan Yasunari Kawabata, Gabriel García Márquez dan karya-karya hebat Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, A. Samad Said dan Arena Wati yang sebenarnya bermula dengan hal-hal kecil seputar diri dan citra budaya mereka sendiri.

Beliau merumuskan bahawa pentingnya penulis untuk kembali kepada akar iaitu menulis sesuatu yang dekat dengan diri sendiri sebagai alat atau senjata kreativiti dan inovasi dalam berkarya.

“Penulis harus kembali melihat hal-hal paling dekat dengan diri sendiri. Karya besar lahir di tempat dekat dengan penulis,” katanya.

Pihak penganjur melakar sejarah tersendiri kali ini dengan menganugerahkan Pingat Penulis Sabah (Panglima) kepada beliau dan Dayana Chacho, penulis prolifik dari pantai timur Sabah.

Sesi penganugerahan pingat kepada Zaen Kasturi.

Pada masa yang sama, antara penulis Sabah yang hadir mewarnai kuliah sastera tersebut seperti Nasiruddin Hassan (Nasser Mikraj) dan Ramli Jusoh menerima Pingat Penulis Sabah (Satria); Ilham Yusuf, Muhammad Ruzaini Awang, Rita Robert Rawantas dan Siban Antau (Siba Nita AS) menerima Pingat Penulis Sabah (Bintara); Amiruddin Mohd Rosdi menerima Sijil Kepujian Penulis Sabah; dan Kasmah Osingang dan Muhammad Hakimi Lasape menerima Sijil Bakti Penulis Sabah.

Pingat dan sijil disampaikan oleh Sasterawan Negeri Sabah, YBrs. Tuan Haji Sukor Haji Usin (Hasyuda Abadi) diiringi Ketua Satu IPS, YBrs. Encik Awang Abdul Muizz Awang Marusin dan Presiden PSBS, YBrs. Dr. Norawi Haji Kata.

Kredit Foto: Hasyuda Abadi dan Rita Robert Rawantas
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi