Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Prof. Emeritius Dr. Muhammad Bukhari Lubis telah menjelaskan bentuk Puisi Mulamma’ ketika menjadi panel dalam Forum Bulanan Kesusasteraan Islam anjuran Liga Kesusasteraan Islam Antarabangsa Malaysia, Jumaat yang lepas.
Puisi begini melibatkan percampuran sekurang-kurangnya dua bahasa atau lebih melibatkan aksara yang sama. Sebagai contoh, karya syair Hamzah Fansuri yang menggabungkan bahasa Melayu dengan bahasa Arab.
Perkara ini hasil pengamatan dalam kesusasteraan bandingan yang mewujudkan nilai tambah dalam pengkaryaan sastera tanpa mengurangkan kedudukan sesuatu bahasa dan kesusasteraannya.
Beliau turut memuji karya Sastera Islam yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said yang berjaya menggubah puisi Melayu terpanjang berkaitan dengan riwayat kehidupan Rasulullah SAW.
Karya terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) tersebut diberi judul Al-Amin: Riwayat Hidup Rasulullah SAW Dalam Puisi mengandungi 317 halaman. Menurut Prof. Emeritius Dr. Muhammad Bukhari Lubis, usaha yang dilakukan oleh SN A. Samad Said telah membuka jalan kepada karyawan lain untuk menghasilkan karya besar dan penting sebegini dalam menzahirkan keindahan bahasa serta mengangkat keindahan isi yang perlu dihayati oleh khalayak pembaca.
Usaha mendalami bidang Kesusasteraan Islami Bandingan tidak boleh terhenti hanya melibatkan teori sahaja. Penghasilan esei-esei kajian berkaitan bidang Kesusasteraan Islami Bandingan perlu dipergiatkan khususnya oleh para penulis dan pengkaji muda.
Pada tahun 2007, beliau telah mengambil inisiatif menulis esei-esei tentang Kesusasteraan Islami Bandingan dalam ruangan Dewan Sastera. Katanya:
Tahun 2006 dulu saya Ahli Jawatankuasa Sastera DBP, saudara SN Baha Zain mencadangkan kepada saya supaya melatih pensyarah muda menulis esei untuk memperkenalkan kepada pembaca di Malaysia tentang karya dari Timur Tengah. Maka dalam setahun, empat bulan saya menulis tentang Sastera Turki dan Parsi, dan bulan-bulan seterusnya ditulis oleh akademia lain tentang Sastera Arab.
Penganjuran Forum Bulanan Kesusasteraan Islam diadakan bagi menyemarakkan wacana berkenaan dengan Sastera Islam. Majlis yang dijalan secara dalam talian turut disertai oleh Pengerusi Liga Kesusasteraan Islam Antarabangsa Malaysia, YBhg Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Chik dan dikendali oleh Dr. Wan Rusli Wan Ahmad, iaitu Timbalan Pengerusi Liga Kesusasteraan Islam Antarabangsa Malaysia.