Oleh Suyuthi Yusuf
26 Julai 2023, 14:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bengkel Penyelidikan Kajian Kesusasteraan Melayu Moden (2000-2019) telah diadakan di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 25 Julai lepas.

Bengkel penyelidikan ini merupakan kesinambungan dan kajian bagi melengkapkan perkembangan kesusasteraan Melayu moden dari tahun 2000 hingga 2019.

Hasil penyelidikan kajian sebelum ini telah diterbitkan dalam bentuk buku untuk khalayak ramai. Antara buku tersebut ialah:

Kesusasteraan Melayu Moden (1920-1940).
Penelitian Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden 1940-1969.
Kesusasteraan Melayu Moden 1970-1979.
Kesusasteraan Melayu Moden 1980-1989.
Kesusasteraan Melayu Moden 1990-1999.

Selain itu, bengkel penyelidikan ini juga adalah untuk menghasilkan korpus penulisan kajian tentang perkembangan sastera kebangsaan, meneliti dan mendokumentasikan kajian tersebut serta akhirnya menerbitkan hasil kajian untuk rujukan umum.

Penyelidikan kajian perkembangan tersebut dibahagikan kepada beberapa genre, iaitu puisi, cerpen, novel, drama, dan esei kritikan.

Dalam mengulas tentang perkembangan esei dan kritikan, Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani menjelaskan bahawa terdapat beberapa kecenderungan yang signifikan berkaitan dengan kegiatan esei dan kritikan sastera Melayu moden 2000-2019.

Antara kecenderungan tersebut ialah keperluan untuk membina kerangka kritikan sastera sendiri, kemaraan kegiatan penerbitan novel popular yang mencairkan dikotomi sedia ada antara sastera serius dengan sastera popular, kemeriahan apresiasi sastera dan resepsi terhadap kegiatan sastera siber, dan kepentingan peranan organisasi tertentu melalui penerbitan, penganjuran sayembara/hadiah sastera serta bengkel penulisan.

Prof. Dr. Hashim Ismail dalam kajiannya menjelaskan novel yang terbit pada tahun 2000 hingga 2019. Beliau menjelaskan bahawa penulis dalam era tahun 2000-an menonjolkan ciri khas idiosinkrasi. Selain itu, novel-novel yang terbit pada tahun tersebut juga banyak yang telah diadaptasi ke bentuk drama dan filem.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.