27 Jun 2023, 13:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru –  Karyawan, penulis prolifik dan novelis seperti Azimin Daud, Zamidah Hashim, Saharil Hasrin Sanin serta Shapiai Muhammad telah memenangi kategori Buku Kanak-Kanak Bergambar, Kumpulan Cerpen dan Kumpulan Puisi Terbaik dan novel terbaik dalam Anugerah Persuratan Selatan (APS) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), di Perpustakaan Sultan Ismail, baru-baru ini.

APS dianjurkan bagi mengiktiraf karya dan karyawan Johor dan Melaka yang banyak memberi sumbangan dalam bidang penulisan persuratan Melayu. APS telah menjadi projek perintis pada tahun 2021 dan dilaksanakan secara dwitahunan bagi memberi peluang dan persediaan kepada karyawan Johor dan Melaka membuat persiapan sewajarnya untuk mencalonkan karya masing-masing.

Para pemenang bersama-sama tetamu jemputan dalam Anugerah Persuratan Selatan yang diadakan di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru baru-baru ini.

Anugerah ini telah mengiktiraf karya yang terbaik untuk dijadikan rujukan dan bacaan kepada masyarakat sekali gus menyebarluaskan kandungan persuratan Melayu.

Lapan kategori telah dipertandingkan, iaitu novel terbaik, kumpulan cerpen terbaik, kumpulan puisi terbaik, buku kanak-kanak bergambar terbaik, skrip drama pentas terbaik, laporan tahunan jabatan terbaik, buletin jabatan terbaik dan majalah sekolah terbaik. Karya yang dicalonkan merupakan karya yang telah terbit bagi tahun 2021 dan 2022.

Bagi kategori Novel, pemenangnya adalah Zamidah Hashim dengan novelnya, Mahkota Duka, manakala Saharil Hasrin Sanin dan Shapiai Muhammad Ramly masing-masing memenangi kategori Kumpulan Cerpen dan Kumpulan Puisi Terbaik melalui karya Seluruh Alam dalam Sebutir Debu dan Daun Peralihan.

Azimin Daud, karyawan DBP telah diangkat sebagai penerima anugerah bagi kategori Buku Kanak-Kanak Bergambar. Karya beliau,  Asal Usul Batu Badak dan Batu Kerbau dipilih oleh juri sebagai pemenang, manakala Othman Ahmad memenangi kategori Skrip Drama Pentas Terbaik dengan skripnya berjudul “Tun Seri Lanang”.

Majlis Bandaraya Johor Bahru mengekalkan kedudukan sebagai pemenang bagi kategori Laporan Tahunan Jabatan manakala Perpustakaan Laman Hikmah dinobatkan sebagai pemenang anugerah bagi kategori Buletin Jabatan Terbaik. SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar pula diumumkan sebagai pemenang anugerah bagi kategori Majalah Sekolah Terbaik.

Majlis penyampaian APS 2023 telah disempurnakan oleh YB Prof. Datuk Dr. Kassim Thukiman, iaitu ahli penasihat Majlis Jemaah Diraja Johor. Turut menyerikan majlis adalah Encik Mohd. Riduwan Wahab, wakil rasmi Ketua Pengarah DBP dan YM Tengku Tarmizi Tengku Aziz, wakil rasmi Datuk Bandar Johor Bahru.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.