Oleh Putraery Ussin
24 Mei 2023, 09:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – “Gaya penceritaan yang santai seolah-olah seorang bapa sedang memberi nasihat menjadikan buku ini sangat istimewa untuk dibaca oleh semua pendidik”, jelas Prof Madya Dr. Kasri Saidon, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ujaran beliau tersebut bersempena dengan program bicara karya buku terbaharu Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd Yusof Hasan, iaitu Menongkah Gelombang Globalisasi Memoir Yusof Hasan.

Dr. Kasri Saidon yang juga merupakan anak saudara kepada Prof Emeritus Datuk Dr. Mohd Yusof Hasan menceritakan tentang kesungguhan profesor tersebut dalam usaha menuntut ilmu yang bermula daripada seorang budak kampung yang membesar di Hulu Negeri Kedah, iaitu Hosba menjadi seorang ilmuwan yang berjaya dan terkenal di seluruh dunia.

Prof Emeritus Datuk Dr. Mohd Yusof Hasan sedang menceritakan tentang pengalaman hidupnya. Dr. Kasri Saidon (tengah) selaku pembicara dan Dr. Husairi Hussin yang bertindak sebagai moderator.

Menyentuh tentang kegigihan tersebut, Dr. Kasri Saidon yang juga merupakan pakar dalam bidang sejarah mengakui bahawa penceritaan bapa saudaranya tentang Kampung Hosba serta bahasa Samsam yang digunakan oleh penduduk di sekitarnya sangat berguna kepada sejarah negara.

Jelasnya lagi, bahasa Samsam iaitu campuran bahasa Thai dan Melayu menjadikan kawasan Hosba agak unik selain kampung tersebut yang terletak di pedalaman ketika tahun 1960-an dan 1970-an terkenal dengan sarang komunis.

Jadi, jika seseorang itu berjaya keluar dari kepompong itu, maka sudah tentulah sangat hebat dan dipandang tinggi. Selain itu, buku ini juga memerikan tentang perubahan sistem pendidikan di Malaysia sejak awal, iaitu daripada tahun 1950-an sehinggalah ke era milenium ini secara sangat terperinci.

Prof. Emeritus Mohd Yusof Hasan yang turut serta dalam bicara karya ini menjelaskan tentang hasrat dan tujuannya menghasilkan buku tersebut.

Beliau menegaskan bahawa hasratnya adalah untuk menceritakan tentang pengalaman dirinya sebagai orang kampung yang terkenal dengan kemiskinan pada masa itu kepada seseorang yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Prof Emeritus Datuk Dr. Mohd Yusof Hasan bergambar kenang-kenangan bersama-sama dengan para hadirin.

Beliau juga berharap agar memoir ini agar dapat dimanfaatkan oleh generasi sekarang dan akan datang. Titip beliau kepada hampir 300 orang bakal guru dalam majlis tersebut,

Manfaatkan masa dan tenaga yang ada untuk meneruskan pendidikan ke ijazah kedoktoran. Ilmu amat bermanfaat dalam kehidupan.

Dr. Husairi Hussin yang menjadi moderator mengakhiri bicara karya dengan kata-kata daripada dalam buku tersebut:

Ruang dan peluang yang ada sikit-sikit itu, rebutlah untuk menulis sesuatu untuk tatapan umum agar memberi manfaat kepada orang lain dan syafaat kepada kita kelak.

Bicara karya tersebut dianjurkan oleh Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU).

Majlis yang berlangsung selama satu jam ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Naib Canselor UUM, Prof Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Prof Dr. Yahya Don serta Pengarah DBPWU, Puan Nurul Julia Alani Henry.

Buku terbitan UUM Press ini boleh didapati di pasaran dengan harga RM45.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.